Home > Uncategorized > Projek mega tak wajar korbankan peniaga Melayu – Berita Harian

Projek mega tak wajar korbankan peniaga Melayu – Berita Harian

Kompleks BB Plaza di kawasan segi tiga emas, ibu kota.Kompleks BB Plaza di kawasan segi tiga emas, ibu kota.

Bantahan terhadap syor awal UDA roboh BB Plaza patut jadi iktibar

Berikutan bantahan pelbagai pihak terutama peniaga Bumiputera, cadangan MRT Corporation dan UDA Holdings mahu merobohkan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) untuk memberi laluan kepada pembinaan BB Sentral sebagai stesen MRT (Aliran Transit Massa) akhirnya dibatalkan.

Dengan perkembangan itu, nampaknya pihak berkenaan terpaksa akur dengan bantahan pelbagai pihak terutama peniaga Bumiputera. Kalau tidak, kira-kira 167 peniaga dengan lebih 2,000 pekerja tentu akan gulung tikar jika tidak diberikan tempat lain untuk berniaga.

Mulanya bangunan mercu tanda di tengah pusat pelancongan sejak didirikan lebih 30 tahun lalu terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan BB Sentral itu. Bangunan itu didirikan di atas tapak BB Park iaitu satu-satunya pusat hiburan terkenal di ibu negara sekitar 60-an dan 70-an.

Berikutan cadangan awal MRT Corporation itu, UDA Holdings menerima cadangan daripada Tradewinds Corporation Bhd untuk mengadakan usaha sama bagi membangun semula bangunan itu. Nampaknya, UDA Holdings and MRT Corporation dengan sendirinya merancang merobohkan bangunan itu hingga menerima cadangan membangunkannya semula dengan bangunan baru yang disepadukan dengan BB Sentral.

Kedudukan peniaga Bumiputera
Cadangan itu memperlihatkan mereka tidak berfikir panjang, tanpa memberi pertimbangan terhadap kedudukan peniaga Bumiputera yang sudah lama menjalankan perniagaan di situ. Malah BB Plaza satu-satunya pusat beli-belah di segi tiga emas ibu kota yang memberi ruang peniaga Bumiputera di kawasan pelancongan Bukit Bintang.

Cadangan awal MRT Corporation mengingatkan kita kepada kecenderungan orang Malaysia sering mahu mendirikan sesuatu yang terbesar tanpa akur kepada akibatnya terhadap orang lain.

Berikutan tekanan kerajaan melalui Kementerian Kewangan serta desakan pelbagai pihak termasuk peniaga yang terbabit, suatu stesen yang sederhana boleh pula difikirkan. Mereka seolah-olah tidak mengendahkan rungutan orang Melayu terhadap kekurangan kedai milik Bumiputera di kebanyakan kompleks beli-belah di ibu kota, Petaling Jaya serta Subang Jaya.

Kalau dilihat di kompleks beli-belah mega di sekitar Lembah Klang seperti Megamall, Sungai Wang Plaza, The Curve dan Suria KLCC, berapa kerat sangat kedai milik peniaga Melayu? Sepatutnya usaha dilakukan untuk mendesak pengurusan semua pusat beli-belah di Lembah Klang menyediakan lebih banyak ruang untuk peniaga Bumiputera, bukan merobohkan kompleks yang menempatkan majoriti mereka.

Misalnya di Suria KLCC, beberapa tahun lalu hanya ada dua kedai milik Melayu. Malangnya satu sudah pun tutup kerana pengurusannya dikatakan tidak senang dengan kewujudan mereka.

Kelantan Delights satu-satunya restoran Melayu di kawasan pelancongan popular itu juga sudah disingkirkan, tanpa siapa dalam kalangan yang berwajib menghalang usaha ‘menghalau’ kedai makan popular itu, bukan saja bagi rakyat tempatan malah pelancong luar negara.

Sebuah lagi syarikat Melayu, Jeans Sdn Bhd, yang beroperasi di lantai pertama, menjual pakaian jenama Levis dan Dockers dipaksa berpindah ke tingkat atas kerana memberi laluan kepada syarikat Singapura yang meletakkan syarat memberinya ruang di lantai utama, jika mahu mereka membuka cawangan di Alamanda Putrajaya, yang ketika itu berusaha memenuhi ruang kosongnya. Alamanda adalah anak syarikat Suria KLCC.

Sebelum ini apabila ada saja ura-ura laluan MRT akan dibina membabitkan Jalan Petaling, dengan cepat ia dibantah peniaga Cina dan disokong pelbagai pertubuhan dan akhbar Cina hingga rancangan itu berkubur. Tetapi bagi peniaga Melayu ia memerlukan campur tangan kerajaan, barulah usaha pembangunan itu dapat diubah suai supaya bangunan tidak dirobohkan. Kita harap ia tidak akan menjadi kebiasaan orang Melayu boleh dengan mudah diketepikan tetapi peniaga Cina bagaikan sarang tebuan, tidak sekali-kali boleh diusik.

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s