Home > Uncategorized > Perutusan PM Dari Mekah Sempena Aidil Adha 1432 Hijrah

Perutusan PM Dari Mekah Sempena Aidil Adha 1432 Hijrah

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan sifat Rahman dan RahimNya maka kita dianugerahkan lagi dengan sambutan Aidiladha. Kita berada di hari ibadat dengan penuh kegembiraan dengan mengingati Allah S.W.T. Kita diharamkan berpuasa selama empat hari berturut-turut sebagai menyatakan kegembiraan kita. Ketahuilah bahawa, Syariat Aidiladha jelas membawa bersamanya banyak mesej dan pengajaran kepada umat Islam.
Pada bulan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mengagungkan Allah S.W.T. yang telah mengurniakan kemakmuran, keamanan, ketenteraman serta kestabilan ekonomi negara kita. Dengan demikian kita dapat beramal dan melaksanakan tugas harian kita dengan sempurna. Ekonomi negara kita semakin berkembang dan kita hidup dalam suasana aman damai.
Justeru, tidak ada amalan yang paling mulia pada bulan ini melainkan membelanjakan harta benda dan wang ringgit dalam batas yang sewajarnya dengan melakukan ibadah korban pada tanggal 10 hingga 13 Zulhijah. Ianya merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah S.W.T. serta sama-sama dapat membantu orang lain khususnya fakir miskin dalam menikmati daging korban tersebut.
Sesungguhnya, pengajaran terpenting yang terkandung dalam Aidiladha ini adalah kesatuan ummah. Walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, umat Islam adalah umat yang satu di mana sahaja mereka berada. Ia adalah umat yang bersatu dengan menghadap satu kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu Allah S.W.T. Maka sudah sewajarnya kita melahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana mengurniakan kepada kita perayaan Aidiladha dengan syariatnya yang jelas membawa mesej kesatuan umat adalah tunjang kepada kekuatan Islam.
Banyak perkara dapat dilakukan apabila kesatuan dapat diwujudkan dalam kehidupan kita. Kekuatan yang ada juga dapat dipertahankan jika kesatuan ummah berdiri kukuh sama ada di dalam mahupun di luar negara. Lihatlah bagaimana Allah S.W.T. mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat dengan niat yang satu dan mengucapkan ucapan talbiah, tahmid dan zikir yang sama. Ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang bersatu.
Sememangnya, konsep kesatuan dan kesamaan amat penting dalam Islam untuk membina kasih sayang dan silaturrahim sesama umat. Ia terlalu penting sehingga Rasulullah S.A.W. memperingatkan umatnya ketika Baginda menyampaikan khutbah wada’ di bumi Arafah 1400 tahun yang lalu. Maksud sabda Baginda “ Wahai Manusia!Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan sesungguhnya asal kamu adalah satu. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang yang bukan Arab dan tiada juga kelebihan bagi orang bukan Arab atas orang Arab. Orang yang berkulit hitam juga tidak ada kelebihan atas orang yang berkulit kemerahan dan begitu juga sebaliknya kecuali dengan Takwa. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa”.
Akhirnya, saya dan isteri serta keluarga yang sekarang berada di Mekah Al-Mukarramah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di mana jua berada. Di Tanah Suci ini juga, saya mendoakan kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia. Saya turut mendoakan agar kita di beri kemurahan rezeki bagi membolehkan ekonomi diri, keluarga dan negara terus berkembang dan negara kita kekal dilimpahi kemakmuran.

Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha ini melalui semangat 1Malaysia yang turut memperlihatkan kepentingan nilai-nilai pengorbanan untuk agama, bangsa dan negara.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ucapan di atas disalin dari blog rasmi YAB Perdana Menteri di sini http://www.1malaysia.com.my/

Manakala gambar dari blog   http://www.haji1432.com/

 

http://penembak-tepat.blogspot.com/2011/11/perutusan-sempena-hari-aidil-adha-1432.html

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s