Assalamu’alaikum wr wbt,

Y.A.Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang saya kasihi,

1) Sebagai ahli UMNO, saya tidak pernah menganggap PRK KT sebagai tidak penting. Bagi saya selagi ia berlaku dalam UMNO, apatah lagi ketika UMNO perlu dipulihkan, semuanya sama penting. Penting atau tidak penting menurut perkiraan individu tidak wajar dijadikan ukuran oleh sebuah parti yang memerintah (pusat) seperti UMNO.

2) Calon UMNO perlu menang dan PAS mesti dikalahkan sebab kemenangan calon UMNO bererti kemenangan kepada UMNO (BN). Maruah UMNO terletak pada kemenangan itu.

3) Kita tidak boleh kata kerana ini PRK kita tak perlu bersungguh-sungguh dan kalau calon kita kalah pun tak mengapa sebab Terengganu memang tetap milik BN.Kalau semua orang berfikir seperti ini dan trend berfikir sebegini terbawa-bawa dalam PRK di tempat-tempat lain, suatu hari nanti bukan sahaja kita tak kan menang dalam PRK malahan apa yang ada dalam genggaman kita pun akan terlepas satu persatu.

4) Sebagai seorang yang sayangkan UMNO dan masih menganggap UMNO itu parti yang relevan, saya tidak akan membiarkan cara berfikir seperti itu berlaku dalam minda ahli UMNO, lebih-lebih lagi pemimpinnya.Biar cara berfikir seperti itu ada pada tuan seorang, tetapi itu bukanlah cara berfikir yang betul untuk semua orang.

5) Saya percaya tuan berkata begitu atas alasan Pak Lah per se. Calon itu dipilih di bawah era-Pak Lah sebagai PM dan tuan memang tidak pernah bersetuju dengan Pak Lah selagi Pak Lah masih menjadi Perdana Menteri Malaysia.

6) Jadi apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Pak Lah tuan tetap akan membantah termasuk dalam isu PRK KT. Kebencian tuan kepada Pak Lah atas apa jua sebab tidak wajar mengheret UMNO dalam kesukaran. Sudah berapa kali tuan melakukan tindakan provokatif yang hampir-hampir serupa menjelang saat-saat penting yang seolah-olah menggambarkan UMNO juga patut dihukum kerana UMNO sekarang mempunyai pemimpin yang tuan tidak sukai.

7) Apa yang tuan suka atau tidak suka tidak boleh dipaksakan ke atas semua ahli UMNO. Biarlah ahli UMNO sendiri dan rakyat KT yang menentukan pilihan mereka. Bagi saya masih ramai di sana ahli UMNO yang berfikiran lebih sempurna dengan memberi keutamaan kepada parti bukan calon itu sendiri.

8)Calon itu sendiri tiada kecacatan besar yang tidak melayakkannya menjadi pemimpin untuk masyarakat di KT sehinggalah tuan menyatakan calon itu calon terburuk. Tuanlah yang meletakkan kecacatan pada calon yang asalnya baik itu. Dan selepas ini tuan akan saksikan sendiri bagaimana percakapan tuan ini akan digunakan oleh pembangkang untuk menghentam UMNO dan menyingkirkannya.

9) Pembangkang yang tiada isu peribadi tentang calon, kini telah mendapat petunjuk daripada tuan lalu menggunakan kenyataan tuan ini dalam kempen-kempen mereka.Mungkin tuan seronok membuat pukulan pada saat-saat genting ini.Tuan mungkin mempunyai kegemaran suka melihat UMNO dalam keadaan terusik. Jika itu merupakan kebiasaan tuan, ternyata kebiasaan itu amat buruk untuk parti,malahan sangat bertentangan dengan pendirian tuan sendiri semasa menjadi PM dan pemimpin UMNO. Saya sekarang memperkatakan tentang tuan yang pernah menjadi ahli dan pemimpin tertinggi UMNO. Seorang individu yang pernah menjadi insan contoh, bukannya tentang seorang ahli UMNO biasa seperti saya yang tidak berpengaruh.

10) Ketika berdepan PRK KT, UMNO pada dasarnya berada dalam keadaan stabil dan tiada masalah besar sehinggalah kenyataan tuan tentang calon BN dalam pilihan raya kecil itu dikeluarkan. Tuan telah melakukan perkara yang sama dengan apa yang tuan lakukan semasa PRU ke-12 yang lalu.Semuanya dilakukan dengan satu tujuan iaitu untuk mengajar Pak Lah. Tetapi ternyata yang rugi bukan Pak Lah per se. Tetapi ialah UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri.

11) Saya tidak mahu mengajar tuan tentang apa yang tuan lebih tahu tentangnya. Tetapi sebagai anak bangsa yang membesar di bawah kepemimpinan tuan sebagai Perdana Menteri, serta teruja dengan cara berfikir dan bertindak tuan, saya tidak menyangka tindakan tuan telah pergi sejauh itu.

12) Sewaktu tuan mengisyhtiharkan diri keluar daripada UMNO, saya masih menghormati tuan, tetapi apabila tuan mengajak ahli-ahli UMNO keluar mengikut jejak tuan, itu tidak dapat saya terima. Apatah lagi alasan tuan keluar daripada UMNO itu adalah cukup peribadi iaitu untuk mengajar Pak Lah.

13) Ucapan-ucapan dan sikap tuanlah yang selama ini menanam rasa cinta yang mendalam saya terhadap UMNO, tiba-tiba tuan bertindak seperti UMNO itu musuh tuan. Yang sebenarnya UMNO itu bukan musuh tuan dan bukan juga musuh sesiapa, sebaliknya tuanlah yang dilihat menjadi musuh kepada UMNO sekarang ini.

14) Jika diambil kira tindak tanduk tuan sejak menjelang PRU ke-12 yang lalu, ajakan tuan supaya ahli UMNO keluar dari parti sehinggalah kenyataan tuan yang terbaru tentang calon BN dalam PRK KT, apakah lagi yang boleh dikatakan tentang tuan. Adakah dengan kenyataan itu saya masih boleh berpura-pura bersetuju dengan tuan sedangkan realitinya tindakan tuan itu sedikit sebanyak akan mencederakan parti UMNO sebabnya yang bercakap seperti itu adalan tuan.

15) Tidak semua tindakan tuan itu benar dan wajar diikuti. Cuma belum ada yang sehebat tuan yang berani mengatakan TIDAK kepada cara berfikir tuan.Bagi saya tindakan tuan walau apa pun bentuk dan tujuannya tetap terdedah kepada apa yang dikatakan sebagai ada yang betul dan ada yang salah. Apabila tuan mengajak ahli -ahli UMNO keluar daripada parti itu,tindakan tuan dilihat salah. Buktinya tidak ramai yang keluar darti parti itu. Dan apabila tuan mengatakan calon BN yang dipilih ini ialah calon terburuk, saya tidak nampak itu betul kerana alasan yang tuan gunakan dia ialah kroni Pak Lah.

16) Tuan berhak memberikan pandangan terhadap Pak Lah, tetapi janganlah meleret sehingga UMNO dan BN dihukum kerana itu. Dan bagi saya sendiri Pak Lah itu masih Perdana Menteri saya sehinggalah beliau benar-benar berundur. Dan saya pula melihat tuan sebagai mantan Perdana Menteri saya yang pernah berjasa besar kepada negara ini yang sejak akhir-akhir ini banyak “menyusahkan” UMNO.

17) Persetujuan saya dengan pendapat dan tindakan tuan hanyalah setakat mana persetujuan itu tidak menjejaskan parti UMNO, dan sekiranya UMNO boleh terjejas disebabkan pendapat dan tindakan tuan saya bersedia untuk mengatakan TIDAK kepada tuan.

18) Jangan sampai orang ramai berkata kepada tuan, ” lihat bekas Perdana Menteri yang hebat itu, dia yang membawa parti ke arah kegemilangan, namun sekarang ini dia perlahan-lahan membantu memusnahkannya,”. Kalau orang ramai melihat bahagian yang pertama itu selamatlah tuan, tetapi saya khuatir orang akan mengambil yang kedua itu.

Abd Bashid Harun

dari blog :

http://gurubashid.com/blog/politik-semasa/kepada-tun-dr-mahathir-mohamad.html