Home > 1 > Semua Orang Melayu mesti baca artikel paling menyentuh hati oleh Pak Habib ini !

Semua Orang Melayu mesti baca artikel paling menyentuh hati oleh Pak Habib ini !

News Item: : DENDAM JAMBATAN BENGKOK MAHATHIR MENGAMUK
(Category: )
Posted by Web Master
Saturday 24 May 2008 – 15:26:35

Shanoon.jpg

Suasana pagi dengan sinaran matahari dan angin yang berhembus nyaman memberikan saya inspirasi untuk memikirkan sejenak suasana politik di Malaysia yang terus bergolak menunggu sampai ke kemuncak. Sambil berdiri di tingkat 18 Hotel Sofietel Grand Plaza pandangan saya tertumpu kepada panorama Bandaraya Ho Chin Minh, yang dulu dikenali sebagai Saigon, Vietnam.

Sudah empat hari saya berada di luar negeri untuk mengedit buku terbaru saya, ‘Dunia Belum Kiamat (1), Pulang dari nuraka untuk jadi Presiden Republik Malaysia’.

Jam menunjukkan pukul 8 pagi, 19 Mei 2008. Sambil berjalan dari penjuru ke penjuru kolam renang di tingkat 18 di bandaraya dan melihat Sungai Saigon serta gabungan bangunan lama peninggalan kerajaan kolonial Prancis, saya teringat kepada Presiden Ho Chin Minh yang sewaktu mudanya pernah mengembara dan pernah bekerja sebagai pembuat roti di Amerika Syarikat dan bekerja sebagai tukang masak di England.

Kebetulan pada hari itu, selain dari Hari Vesak, hari memperingati Gautama Buddha yang diraikan oleh para penganut agama Buddha di seluruh dunia, pada hari sebelumnya, satu perjumpaan telah diadakan di Hanoi bagi memperingati ulangtahun ke-118 Presiden Ho Chin Minh. Biar pun Ho Chin Minh telah hampir 40 tahun meninggal dunia, namun namanya tetap harum di hati rakyat Vietnam. Inilah satu-satunya negarawan yang selain Mahathma Ghandi dan Imam Ayahtollah Khomeini di Iran yang dimuliakan sebagai pahlawan bangsanya walaupun sudah lama meninggal dunia.

Ho Chin Minh, adalah merupakan seorang perantau yang akhirnya menjadi seorang tokoh revolusi, tokoh yang berjaya menyatukan Vietnam Utara dengan Vietnam Timur dan negarawan ulung yang dinamakan oleh majalah Time sebagai antara 100 tokoh paling berpengaruh pada abad ke-20.

Bukan mudah mahu mendamaikan dua pihak bersaudara yang saling bersengketa dan bermusuhan terutama disebabkan perbezaan agama dan ideologi politik. Saya teringat sebulan yang lalu sewaktu saya berada di Sanaah. Kebetulan tarikhnya juga ialah 19 haribulan, tapi bulan April. Hari itu ialah hari terakhir saya berada di Yemen dan ia mengingatkan saya perang saudara antara Yeman Selatan dan Yeman Utara, perang yang disemarakkan akibat daripada permainan pecah dan perintah British akhirnya mereka bersatu.

Kalau nak dibandingkan politik Vietnam pada dekad 1960-an dengan politik Malaysia pada hari ini, tentulah politik Vietnam jauh lebih bergolak pada ketika itu. Rakyat Vietnam bukan sahaja berpecah belah menerusi ideologi politik sehingga mengakibatkan wujudnya dua Vietnam, Vietnam Utara dan Vietnam Selatan yang mendokong ideologi yang berlainan tetapi diancam pula dengan campur tangan Amerika Syarikat menerusi Perang Vietnam.

Pada hari yang sama ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menaiki MAS dan pulang ke tanah air, saya menerima pesanan SMS mengenai perisytiharan Tun Dr. Mahathir keluar dari UMNO. Saya tersenyum gelihati. Mahathir keluar dari UMNO ‘no big deal’, kecik punya hal lah. Sudah terkeluar duri dalam daging. Itu kata Musa Hitam. Tapi kalau ikut Shahnon Ahmad, macam mana yang ditulis dalam bukunya Shit, itu ‘kepala tahi’ sudah keluar. Bayangkan orang yang menahan nak terbuang air besar. Selagi dia tak ‘melepas’ selagi itu dia tak boleh buat macam-macam. Berpeluh-peluh. Boleh mengakibatkan macam-macam penyakit sebab simpan barang toksid, beracun dalam badan. Tapi bayangkan bila jumpa jamban, bila itu ‘kepala tahi’ sudah keluar. Syukur pada Tuhan, boleh buat doa selamat hantar satu tandan pisang ke surau. Bila agaknya ahli UMNO beramai-ramai nak hantar pisang ke surau?

Dalam buku Shit, Pak Profesor Shahnon ibaratkan Mahathir sebagai itu… ‘kepala tahi’ dalam UMNO. Yang kita jadi ‘ribut’ pasal apa? Pelik orang UMNO ini, pergi cebuk dan bersihkan kotoran yang tinggal dan tengok siapa lagi najis-najis lain yang nak ikut keluar dari perut seperti mualnya najis yang di ilustrasikan oleh sasterawan negara dari Kedah itu.

Anda mungkin menganggap saya kejam, brutal, tak ada hati perut, bagaimana dengan tindakan dengan orang tua ‘sakit’ yang mengugut mahu menghancurkan ‘institusi’ Melayu? Mengajak ahli parlimen UMNO keluar beramai-ramai dari UMNO dalam keadaan ekonomi yang mengancam rakyat. Patutkah saya berpeluk tubuh?

Sebenarnya sebaik menerima pesanan SMS itu, saya mengucapkan “inna lillah wa inna ‘ilayhi raji’un. Ayat yang bermaksud “sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali)” dari Surah al-Baqarah ini bukan untuk disebut pada orang yang baru mati sahaja tetapi juga bagi mengucapkan rasa bersyukur kerana telah terlepas dari ‘musibah’. Allah selamatkan Datuk Seri Abdullah Badawi dan Allah selamatkan orang Melayu serta semua rakyat Malaysia. Allah selamatkan negara kita.

Syukur pada Allah UMNO yang menjadi parti pembela nasib orang Melayu sudah terlepas dari musibah yang paling besar. Good riddance to bad rubbish. Marah ke? Kesat sangat ke bahasa saya? Bagaimana dengan sikap Mahathir yang tak ada hati perut? Dalam keadaan UMNO tengah tenat tiba-tiba dia mengugut, inikah contoh seorang negarawan?

Bila kita berada didalam kekusutan dan berada didalam masalah, Imam Ali suruh kita cari punca masalah tersebut. Punca Mahathir menyinga bermusuh dengan Pak Lah sudah saya bukukan. Cuba baca semula Macam-Macam Ada (2) Mahathir Menggila Pak Lah Derita Antara Al-Quran, Al-Dollar Dan Al Kohol
, tahun 2006.

Dia patut membuat peristiharaan ini lebih awal dan memang sudah lama pun dia sepatutnya pergi main jauh-jauh dari UMNO. Dalam usia bonus ini lebih baik duduk di masjid buat ibadat. Tak payahlah menyusahkan diri, pergi sana, pergi sini ugut Pak Lah suruh berhenti. Tak payahlah tulis blog, lebih baik baca quran, baca yasin atau terus tunggang kuda.

Sudah baca ‘cokelat angin’ dari utara? Itu cerita mengenai dia, buka blog saya Shalattas.com Mungkin dia terlupa cerita ‘Crywolf’, kisah budak penjaga kambing yang kesunyian mempermainkan orang ramai dengan memberitahu kononnya ada serigala. Pada penghujung cerita bila betul datang serigala membaham kambingnya siapa pun tak percaya. Cukuplah Rafidah sampai patah tumit kasut pujuk bila tiba-tiba Tun M mengumunkan hendak berhenti.

Pelik sungguh Mahathir yang terpaksa melakukan ‘political sucide’ semata-mata kerana dendam terhadap Pak Lah tak mahu meneruskan jambatan bengkok antara Johor dan Singapura. Apa untungnya ikut jejak tiga orang Presiden UMNO terdahulu yang keluar dari UMNO? Arwah Dato’ Onn mencuba populariti dengan mengugut untuk keluar dari UMNO. Macam Mahathir, kali pertama orang UMNO pujuk, tapi kali kedua, sorrylah. Musa HItam masa jadi TPM pun cuba juga merajuk, mengugut supaya Mahathir berhenti tapi Musa hanyut. Musa adalah duri dalam daging
kepada Mahathir ketika itu. Baca buku saya ‘Musa Derhaka’. Dato’ Onn diikuti oleh anaknya. Kapten Hussein Onn ketika itu ialah sebagai Ketua Pemuda UMNO dia meninggalkan sayap UMNO itu terkapai macam itu sahaja. Lepas itu anak beranak tubuh Parti Negara, juga hanyut macam tu saja. Apalah nasib UMNO?

Perbuatan yang sama dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein buat perkara yang sama ikut Tengku Razaleigh Hamzah, yang nak jadi Presiden UMNO tapi tak jadi sebab kalah lawan Mahathir dan keluar beramai-ramai tubuh Parti Semangat 46. Kemudian Ku Li kembali semula kepada UMNO.

Kalau Mukhriz pula buat perangai macam Mahathir macam mana Hussien Onn ikut bapanya dulu, la ni parti apa pulak mereka nak tubuh?

Karpal Singh kata tindakan Mahathir keluar UMNO membuktikan dia seorang ahli politik murahan dan bukannya seorang negarawan. Saya setuju. Seorang negarawan tidak akan keluar dari parti yang dianggapnya telah berjasa untuk bangsanya. Dulu Mahathir kata dia adalah ahli UMNO seumur hidup. Tapi belum mati, Mahathir dah keluar dari UMNO.

Mahathir perlu sedar bahawa rakyat hari ini sudah di dedah dengan dunia tanpa sempadan. Rakyat mampu menilai secara terang maupun senyap setiap tindakan yang dilakukan oleh Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri terutama mereka yang mempunyai roh Islam. Lupakah Mahathir yang beliau pernah dianggap sebagai Kamal Atartuk oleh orang Al-Arqam? Saya pernah tulis buku ‘Memo Untuk Mahathir’. Bila lagi mahu berhenti memecahkan perpaduan sesama Islam?

Kembalilah kepada ‘kebenaran
’, kebenaran itu amat pahit. Pak Lah perlu di adili sekiranya ia harus di adili. Terbukti Pak Lah masih menerima sokongan padu dari ahli Parlimen. Kenapa Pak Lah saja yang mesti berhenti? Kenapa tidak pemimpin lain yang ada dalam UMNO? Mereka juga perlu diadili sekiranya bertindak dalam kondisi yang sama dikenakan ke atas Pak Lah. Apa yang dilakukan oleh Pak Lah dalam kerajaan BN adalah ‘collective responsibility’.

Ramai ahli-ahli UMNO yang membesar dan berjuang dalam UMNO sewaktu Mahathir jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sedih dah marah dengan tindakan Mahathir. Ada yang menganggap tindakan Mahathir itu seperti habis madu sepah dibuang
. Mereka faham dan yakin bahawa berjuta orang Melayu, yang ahli UMNOnya dan yang bukan ahli UMNO dapat rasakan kemelut dan pergolakan yang sedang melanda UMNO hari ini terutamanya selepas PRU-12.

Ada yang bertanya apakah tindakan Mahathir keluar parti adalah satu tindakan orang pengecut dan memalukan? Mana perginya kata-kata Mahathir dalam kebanyakan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO dan dalam ucapan-ucapan di majlis UMNO yang lain kononnya “pemimpin tak penting tapi yang penting adalah parti“?
Salahkah orang Melayu bertanya kalau parti lebih penting dari pemimpin, kenapa keluar parti?

Sebagai orang Melayu yang beragama Islam serta sentiasa memilih dan melihat Islam sebagai teras kepada keharmonian, kesucian dan keadilan untuk semua hal tanpa mengira teman atau musuh. Sepatutnya Mahathir tak perlu melakukan ugutan.

Apakah tak mungkin dari sudut politiknya PAS mahukan UMNO dan BN terus melakukan kesilapan demi kesilapan kerana kesilapan itu akan menguntungkan PR dan Pembangkang akan mempercepatkan lagi proses Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri? Dan akhirnya UMNO menjadi tak releven. Siapa penyebabnya kalau bukan Mahathir?

Hakikatnya tidak lagi sesuai untuk diterjemah kepada rakyat yang hidup di abad ke-21 ini bahawa Mahathir saja yang betul, yang bijak dan beliau tak ada gantinya. Tak elok bila ‘ego is bigger than life’. Mempolitikkan setiap isu yang dianggap akan memberi keuntungan yang bersifat sementara dan bukan bertunas dari keikhlasan untuk membela rakyat, satu tindakan yang sia-sia.

Rakyat generasi selepas merdeka hari ini bukan lagi memiliki mentaliti dan falsafah pemikiran generasi sebelum merdeka.

Tak berapa hari sebelum keluar dari UMNO dan semasa menyampaikan ucaptama ketika merasmikan laman web Johor MyKmu di Johor Bahru, ada tetamu yang bertanya kepada Mahathir kalau Pak Lah letak jawatan selaku PM dan Presiden UMNO, apakah UMNO boleh mengembalikan kegemilangannya pada pilihan raya umum akan datang, kerana yang ditolak oleh rakyat pada PRU-12 adalah BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP sedangkan siapapun yang memimpin UMNO, selagi parti komponen yang lain gagal mengambil hati rakyat, tak guna juga.

Jawab Mahathir, selagi UMNO kuat BN akan kuat. Tapi nampaknya Mahathir cakap tak serupa bikin bila bertindak keluar UMNO.

Orang Melayu yang taksub dengan Mahathir kena buat penilaian semula tentang orang tua crywolf ini. Sebagai Perdana Menteri yang paling lama berkuasa dan telah membuat macam-macam untuk Malaysia, namun apakah rakyat akan menyanjung dan mengenang Dr. Mahathir macam mana rakyat Vietnam mengenang Ho Chin Minh? Nasib baik Melayu ini baik, Mahathir tak jadi Suharto atau Saddam Hussein. Pada hal punyalah benci rakyat Malaysia pada Mahathir, Tuhan sahaja yang tahu. Nasib baik ada Dato Sri Abdullah Badawi yang terkenal sebagai Mr. Nice dan Clean Man muncul menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional di mana UMNO menjadi tulang belakangnya.

Macam manalah orang Melayu hendak angkat muka pada bangsa lain dan hendak bercakap tentang ‘ketuanan Melayu’ dan hendak marah jika kaum lain ‘menderhaka’? Air yang keruh dihulu akan keruh juga dihilir
.

Selain dari Tun Razak yang mati semasa jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, tiga Presiden yang lain sanggup berada di luar UMNO di penghujung usia mereka. Apa makna ini semua? Kenapa bila marahkan nyamuk kelambu mesti di bakar
?

Mahathir pandai, dia tahu Melayu mudah lupa, mereka lupa yang dia pernah digambarkan oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad, orang Kedah dalam bukunya ‘Shit’, makna P… M… yang dianggap sebagai ‘kepala tahi’ dari perut yang bergelumbang dengan najis yang busuk dan memualkan. Pelanduk lupakan jerat, jerat tak pernah melupakan pelanduk
.

Selaku seorang yang tahu bahawa kedudukan pemimpin nombor satu negara itu penting, maka menjadi tanggungjawab saya selaku rakyat mempertahan dan menyelamatkan institusi yang terpenting. Melayu cuma ada dua ‘institusi’, satu raja, satu Perdana Menteri. Saya tak peduli apa orang hendak kata dan saya tak menyesal menyabung nyawa mempertahankan Mahathir ketika dia adalah ‘institusi’. Dan saya tak setuju dengan cara Shahnon menghina Presiden UMNO lambang ‘ketuanan Melayu’. Tapi hari ini bila Mahathir menderhaka, mencabar dan cuba menghancurkan parti yang dianggapnya keramat satu masa dulu, saya terpaksa berperang dengan Mahathir untuk menyelamatkan ‘institusi Melayu’.

Saya perlu memberikan sokongan kepada Presiden parti yang menerajui kerajaan yang telah memberikan banyak kemudahan, menjamin keselamatan dan kemakmuran. Saya bukannya ada dua negara. Dan tak macam sesetengah rakyat Malaysia yang menjadi warganegara kepada dua Negara. Bagi saya bumi ini yang kita pijak maka langit ini yang mesti kita junjung
. Di mana saya pergi, saya tetap anak Malaysia biarpun keluarga dan tok nenek saya berasal di luar Malaysia dan saya adalah generasi pertama yang dilahirkan di Malaysia.

Saya teringat bagaimana Saidina Ali, sahabat dan menantu Rasulullah SAW menyuruh kedua puteranya Saidina Hassan dan Hussein masuk ke dalam istana Khalifah Usman Ibni Affan ketika rakyat yang memberontak mahu membunuhnya. Kemarahan rakyat tak dapat ditahan lagi, bencinya rakyat kerana amalan nepotisme, kronisme dan kehidupan yang bermewah yang dilakukan oleh Khalifah Usman. Namun Usman tetap merupakan ‘institusi’ yang mesti dipertahankan.

Walaupun akhirnya Usman dibunuh oleh pemberontak, namun Saidina Ali dan kedua puteranya setidak-tidaknya telah melakukan sesuatu bagi mempertahankan institusi khalifah pada ketika itu. Kita jangan lupa, siapa kita yang mahu melawan qadak dan qadar? Siapa yang pilih Usman menjadi Khalifah seperti siapa yang pilih Tun Mahathir ketika itu dan Pak Lah ketika ini? Kita perlu mengucap dua kalimah syahadah jika kita tak percaya, tidak bergerak sesuatu melainkan gerak dari Allah SWT
. Allah saja yang maha kuasa.

Rasa peduli, rasa kasih sayang penting antara pemimpin dengan rakyat, dan rakyat dengan pemimpin, pemimpin terhadap anak bangsa dan negaranya. Inilah sebenarnya yang membangkitkan timbulnya rasa ‘patriotik’ dan jiwa nasionalis di dalam diri rakyat. Saya sentiasa bersyukur dengan yang sikit. Saya bukan ahli UMNO, tak pernah jadi walaupun pernah dilantik menjadi AJK UMNO Pusat, pernah menghadiri mesyuarat AJK UMNO bersama-sama Tun Mahathir selaku Presiden di pejabatnya di Putrajaya.

Disebabkan ‘institusi kekhalifan’ diruntuhkan bermula dengan Omar ibni Khatab dibunuh dan kemudiannya Usman yang menggantikannya sebagai khalifah dibunuh dengan kejam seterusnya Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah keempat juga dibunuh sewaktu dalam perjalanan menunaikan solat subuh di masjid, maka akhirnya lenyaplah institusi kepimpinan tertinggi Islam selepas Nabi SAW itu.

Bila hancurnya institusi kekhalifahan itu ia digantikan pula oleh kerajaan fuedal yang dimulakan oleh Muawiyah Abu Suffian yang menggunakan pedang supaya Yazid dilantik sebagai Putra Mahkota dan seterusnya bermulalah satu dinasti menggantikan khalifah hingga ke hari ini.

Sejak dari pilihan raya 1982 setiap kali diadakan pilihan raya umum saya turut hadir sama untuk mengiringi Presiden parti Tun Mahathir ketika itu ke pusat penamaan calon bagi memberikan sokongan ‘moral’ kepada pemimpin nombor satu kerajaan yang menjadi ‘institusi’ Melayu yang mesti dipertahankan. Penulis ibarat pembawa bendera di medan perang, biar nyawa melayang, bendera tak boleh tumbang.

Kalau dulu saya ke Kubang Pasu, Kedah setiap kali pilihan raya umum untuk mengiringi Tun Dr. Mahathir ke pusat penamaan calon, kali ini saya ke Kepala Batas, Pulau Pinang pula bagi turut sama mengiringi Dato Seri Abdulah ke Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang di hari penamaan calon. ‘Kasihan Pak Lah’.

Tapi hari ini ramai sangat yang kutuk, maki, hamun, sumpah seranah Pak Lah seolah-olah dia seorang saja yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku di dalam negara. Ramai yang terlupa dia ambil alih negara dari Mahathir yang selepas 22 tahun memerintah macam diktator seperti dapat kereta buruk yang sudah patut ditimbang kati dan dijual sahaja kepada pada peniaga besi buruk. Baca balik ‘Shit’, kalau hendak tahu betapa busuknya keadaan UMNO ketika Pak Lah ambil alih UMNO dari Mahathir.

Saya teringat sewaktu bersalaman dengan Pak Lah. Kami bersalam dua tangan berpegangan. Saya melihat ke dalam dirinya. Pak Lah, saya lihat tak berdaya. BN di bawah pimpinannya berada di dalam bahaya terutama di negerinya sendiri. Orang Cina mempunyai rancangan yang panjang. Mereka sudah sedia tukar baju dari BN kepada DAP. Berapa ramai orang Melayu yang bersedia menjadi ahli PAS atau PKR? Cina tak rugi apa-apa, ekonomi berada di tangan mereka. Robert Kwok masih tetap Raja Gula. Mereka ada tanah besar Cina, Melayu yang buta politiknya yang akhirnya ternganga.

Mungkin tindakan Mahathir boleh membawa rahmat kepada orang Melayu dan Malaysia. TV3 dalam siaran beritanya melaporkan akhbar Asian Wall Street journal mengatakan dengan tiadanya lagi Mahathir di dalam UMNO, ekonomi Malaysia akan lebih berkembang kerana dasar ekonomi yang lebih terbuka berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh Mahathir selaku PM.

Pesan Tuhan pada manusia jika mahu selamat, jika takut dilaknat oleh Tuhan manusia mesti tahu berterima kasih kepada apa yang didapati dari manusia. Ini kerana itu tanda kita bersyukur dengan yang sedikit dari Tuhan. Allah SWT akan menambah tapi mereka yang tak tahu bersyukur akan dilaknat. Sebagai rakyat Malaysia, saya takut tak berterima kasih pada UMNO kerana UMNO telah banyak menabur jasa pada bangsa. Kerana UMNO, Malaysia Merdeka. Sebab itu saya bersama Presiden UMNO, tidak kira siapa sekalipun yang menjadi Presiden UMNO.

Entah kenapa saya terasa begitu hiba. Apa pun yang terjadi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak ada gunanya
. Kenapa semua kesalahan akan dilonggokkan ke bahu Pak Lah? Semua jari akan menuding ke arah Pak Lah dan KJ menantunya. Ada sesuatu yang tak kena. Selaku penganalisa yang sentiasa bersama dengan musuh-musuh politik Pak Lah, saya tahu apa yang mereka akan lakukan terhadapnya.

Semuga Allah selamatkan Pak Lah. Saya melihat Dr. Mahathir macam Dr. Jekyll dan Mr Hide. Dulu semasa berlaku pergolakan dalaman dalam UMNO, ada yang berprasangka dalam UMNO, ada Brutus yang mahu membunuh Mahathir yang ketika itu dianggap Ceaser. Tapi kini apakah dalam diri Mahathir tidak terdapat Ceaser dan Brutus bila dia cuba membunuh Pak Lah?

Pak Lah hanya seorang manusia biasa. Seorang pentadbir yang tak terfikir, apa lagi cita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri. Politik Pak Lah tak ligat macam politik Mahathir namun bila diberi tanggungjawab dia akan melakukan sesuatu mengikut kemampuannya. Siapa pilih Pak Lah ganti doktor Mahathir? Kenapa Mahathir pilih Pak Lah? Mahathir tahu Melayu mudah lupa, lupa segala dosa dan kesalahan jika dia berjaya memburuk-burukkan Pak Lah dan menantunya.

Sambil menunggu keputusan penamaan calun saya memberi tumpuan kepada TV3 yang menunjukkan Najib di Pekan yang juga sedang menunggu dengan penuh debaran kerana akan ditentang oleh seorang anak muda. Seperti Pak Lah, Najib juga tak pernah terfikir di umur yang terlalu muda dia terpaksa menerima tanggungjawab menjadi ahli politik seperti bapanya, Arwah Tun Razak, Perdana Menteri yang kedua dan yang mati semasa menjadi Perdana Menteri.

Jika dibandingkan jauh lebih ramai mereka yang mengiringi Dato’ Najib jika berbanding dengan Pak Lah dan inilah pertama kali gambar Timbalan Presiden diletak sama penting dengan gambar Presiden seperti ada sesuatu yang mahu disampaikan.

Pelik perangai orang UMNO yang boleh setuju segala tuduhan Mahathir kononnya Pak Lah mengutamakan diri, keluarga, kronis, tidak pada parti, apa lagi bangsa dan tanah air sendiri. Bagaimana dengan Mahathir? Apakah keluarganya bukan macam keluarga Suharto? Bagaimana dengan pemimpin UMNO yang lainnya yang bersekongkol dengan Mahathir yang mahu menghancurkan politik Pak Lah dan menantunya?

Mereka yang dekat dengan pucuk pimpinan dari awal sudah tahu Radzi Sheikh Ahmad tak buat kerja, tak menyelesaikan masalah yang sepatutnya. Tapi siapa pun tak menuding jari terhadap Setiausaha Agung UMNO yang juga menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tapi bila tak pilih jadi menteri serta-merta letak jawatan parti

Bayangkan di saat akhir sesama sendiri berebut calon. Radzi Sheikh Ahmad selaku Setiausaha Agung ada calon, Najib ada calonnya sendiri, Pak Lah ada calon. Sebagai parti yang sudah memerintah negara selama 50 tahun, 12 kali pilihan raya, semua orang patut sudah siap kerja tapi bila Presiden tanya sudah siap sedia, semua jawab, “sudah“. Akibatnya apa jadi dengan UMNO dalam PRU-12?

Saya teringat tahun 1988 UMNO mati. Baca buku saya ‘Talqin Untuk UMNO’ ketika itu Tan Sri Sanusi adalah Setiausaha Agungnya. Apakah UMNO perlu ditalqinkan lagi? Mungkinkah Radzi yang menyebabkan UMNO lumpuh, Perlis jadi celaru dan haru biru? Yang jelas Pak Lah tak punya pahlawan macam Mahathir semasa berkuasa dulu.

Sekarang pun Mahathir tak kuat, cuma ada Sanusi Junid, Megat Joned sudah arwah. Mahathir sudah tempang, tunggu tergelincir pasti tumbang. Mahathir dulu ada Sabaruddin Chik, Megat, Sanusi, Rais. Semua orang pendek panjang akal, cerdik yang Pak Lah tak ada, ada Norzah Zakaria tak diterima duduk dalam Kabinet.

Pak Lah tak sepatutnya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya sebab banyak lagi perkara yang masih belum selesai. Bayangkan duit yang sepatutnya dibelanjakan untuk pilihan raya, ada pemimpin yang simpan untuk dibelanjakan bagi merebut kerusi Majlis Tertinggi di Perhimpunan Agung UMNO. Ketika orang sibuk kempen pilihanraya umum, mereka awal-awal lagi sudah berkempen untuk pemilihan pucuk pimpinan UMNO.

Rupa-rupanya Melayu tak mahu berubah, dari dulu hingga ke hari ini. Ramai antara orang Melayu yang masih jadi duri dalam daging
, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut. Ramai yang telunjuk lurus, kelinking berkait. Harapkan pagar, tapi pagar yang membinasakan padi.

Undi kaum Cina tak akan di beri pada Melayu, ini dijelaskan oleh DAP supaya jangan undi MCA kerana MCA bersama Melayu. Melayu beri undi pada Cina dan India, tidak pada UMNO.

Mereka letak calon Cina seperti yang terlibat dengan kes Lingam tetapi tak boleh bertutur bahasa Malaysia, tak tahu taat setia pada Malaysia dan boleh menang. Inilah undi protes untuk ajar pemimpin UMNO dan BN yang angkuh. Bagaimana dengan Samy Vellu dan pemimpin MCA? Kenapa UMNO aje? Akibat membiarkan pendusta dan penabur fitnah oleh mereka yang hajatnya tak tercapai, Melayu berpecah belah dan Melayu jadi huru-hara.

Buat apa letakkan kesalahan kepada Pak Lah sedangkan proses menyombongkan orang Melayu sudah berlaku lama sebelum Pak Lah jadi Perdana Menteri? Cuba kita fikir, tak kan dalam empat lima tahun sahaja kebanyakan pemimpin UMNO boleh berubah, dari prihatin kepada rakyat kepada sombong dan tidak mahu mendekati rakyat. Siapa yang biarkan budaya ini menular dalam UMNO sehingga lebih dari 20 tahun?

Tiga puluh tahun selepas Timbalan dan Presiden duduk di kerusi kuasa barulah keadaan politik meledak. Pilihan raya kali ini BN kalah bukan kerana pembangkang kuat, bukan kerana harga minyak naik tapi akibat marah yang tidak dipedulikan bertukar menjadi ‘sakit hati’, ‘kecil hati’ akhirnya berjauh hati yang mana api kebencian ini dinyalakan oleh Mahathir dan para blogger serta ahli politik yang termakan dengan cakap Che Det. Rakyat yang tak tahu politik akhirnya memberikan undi protes pada pembangkang.

Pemimpin bukan boleh dibentuk, dirancang untuk menjadi Perdana Menteri seperti Raja Muda dan Tengku Mahkota selepas Sultan dan Raja mati. Itu yang terjadi selepas tiga khalifah Islam dibunuh dengan kejam. Institusi Khalifah hancur hingga ke hari ini apabila Muawiyah menggantikan Imam Hassan dan terus menjadikan diri sultan dan keturunannya memegang tampuk kuasa.

Kalau nak berkhidmat dengan baik untuk agama, bangsa dan negara, tak perlu jadi orang politik, seorang pegawai kerajaan yang baik dan berdedikasi jauh lebih baik dari pemimpin parti yang hidupnya penuh korupsi.

Mahathir mengharapkan cukup satu penggal bagi Pak Lah. Betulkah Mahathir ada ‘gentlement agreement’? Dia sendiri pun tak gentleman. Lepas satu penggal Pak Lah mesti serah kerusi PM pada Najib. Mahathir terhutang budi pada Najib kerana Najib pada tahun 1987 selaku Ketua Pemuda di saat-saat akhir menyokong Mahathir. Kalau tidak Tengku Razaleigh Hamzah yang jadi Perdana Menteri. Saya teringat kata Mahathir, a known devil is better then an unknown angel.

Tok Guru.jpg

Jadi Perdana Menteri ini bukan sebab seseorang mahu sangat jawatan tersebut. Bertanding bagai nak gila tapi kalau Tuhan tak mahu bagi kerusi PM, tak jadi juga. Pak Lah pun bukannya nak jadi PM sangat. Nak aktif dalam politik pun beliau keberatan. Tuhan pilih ikut jadual Allah. Kalau Nik Aziz yang Tuhan nak pilih ganti Pak Lah, Nik Aziz akan jadi PM. Lagi pun kalau ikut teori RAHMAN, nama Nik Aziz pun mula dengan huruf ’N’. Kalau orang melayu tak nak Anwar jadi PM kerana takut dia akan jadi Presiden Republik Malaysia dan tak nak teori RAHMAN itu jadi lebih panjang RAHMAAN, maka boleh lah pilih Nik Aziz. Tok Guru adalah spiritual advisor kepada sebuah parti yang mempunyai roh Islam, parti yang dianggotai oleh orang Melayu, jadi apa orang Melayu nak takut kalau Nik Aziz jadi Perdana Menteri. Nik Aziz jadi MB Kelantan dah 18 tahun bukan setakat Melayu, Cina dan India pun sayang dia.

Apa susah?

Saya teringat kata-kata Syed Jamaluddin Al-Afhani yang saya petik dari buku;

“Islam tidak akan memberikan kesempatan memimpinnya menurut ahli waris, tidak menurut keturunan bangsa atau kabilah suku, begitu juga tidak dengan melihat kepada kekuatan badan atau kekayaan harta-benda, tetapi pimpinan Islam hanya dicapai oleh orang-orang yang taat pada hukum syariatnya, hanya dicapai oleh orang-orang yang kuasa melaksanakannya, hanya dicapai dengan kerelaan umat. Maka yang dapat mengendalikan Islam itu pada hakikatnya ialah syariat ketuhanannya yang suci, yang tidak membezakan antara bangsa dengan bangsa, yang dapat mempersatukan pandangan dan fikiran umat. Tidak ada tinggi dan rendah ukuran iman dan agamanya, kecuali tidak sungguh atau sungguh-sungguh hendak mempertahankan kemurniaan dan kesucian syariat Tuhan.”

Sayang, Mahathir tak boleh jadi macam Ho Chin Minh yang sentiasa di kenang oleh rakyat Vietnam sebagai seorang pemimpin yang ikhlas dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi. Rakyat Vietnam mengabadikan kenangan ke atas tokoh terulungnya dalam wang kertas dengan wajahnya. Apakah gambar Mahathir akan dibubuh dalam wang kertas atau Mahathir akhirnya dianggap sebagai kertas tisu? Apa jadi jika akhirnya rakyat percaya tulisan Shanon dalam buku SHIT yang Mahathir adalah ’Kepala tahi’. Alangkah sedihnya kerana dendam jambatan bengkok, Mahathir membuang dirinya dari UMNO.

sumber : Laman Pak Habib ( http://www.shalattas.com/print.php?news.44 )

p/s – sebarkan idea dan pandangan Pak Habib ini di mana sahaja anda mampu….

untuk Agama Bangsa dan Negara kita….

Categories: 1
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s