Home > 1 > Saiful bersumpah dengan nama Allah kebenaran tragedi LIWAT !!!

Saiful bersumpah dengan nama Allah kebenaran tragedi LIWAT !!!


Saiful (kanan) yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpahnya. -foto THE STAR oleh Azman Ghani
Saiful bersumpah ‘mubahalah’ di Masjid Wilayah

15-08-2008 07:56:17 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan dan bapa saudara Saiful, ‘Uncle Pet.’

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara ‘bermubahalah’ dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

“Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut….
A’uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi…Wabillahi….Wata’alahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam.

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful memeluk bapanya, Azlan dan terus bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.

Saiful memeluk bapanya, Azlan sejurus membacakan sumpah ‘mubahalah’.

Keadaan wajah Saiful yang tenang sewaktu upacara tersebut.

Saiful bersalaman dengan Imam Masjid Wilayah Persekutuan sebelum memulakan upacara bersumpah ‘mubahalah’.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Saiful pada Jun lepas.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majlis Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Tinjauan mendapati sebelum itu Saiful melakukan sumpah, pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar tadi setelah diberitahu upacara sumpah ‘mubahalah’ akan dilakukan oleh Saiful.

Sebelum itu, Saiful didapati telah hadir di masjid tersebut sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Dalam pukul 5.30 petang tadi, lebih kurang 30 wartawan cuba menyelinap masuk ke dalam Masjid Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang berlaku tetapi telah dihalau oleh pihak keselamatan pada mulanya.

Apabila ditanya kenapa wartawan dihalau, pihak keselamatan berkata itu, adalah arahan pihak atasan.

Bagaimanapun, pihak wartawan berjaya juga memasuki masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu masuk masjid sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna unggu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Difahamkan, Saiful telah ‘disorokkan’ di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama ‘Uncle Pet’ sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil ‘wudhu.’

Sejurus selepas itu, Uncle Pet memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

“Dia kat dalam…,” kata Uncle Pet tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cadangan ‘bermubahalah’ ini pertama kali diusulkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Julai lalu.

Gesaan ini dibuat untuk meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Anwar menghadapi tuduhan meliwat oleh Saiful Bukhari. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Menurut Asri, “kedua-dua mereka (Saiful dan Anwar), baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah kerana inilah cara yang pernah Nabi buat dulu.”

baca sumber asal di mstar.com.my

Categories: 1
  1. tigerchan
    19,August 2008 at 2:58 am

    Isu “Anwar Liwat Saiful” ini sudah membuka lembaran baru bagi semua pihak, terutama sekali ummat Islam di Malaysia. Apakah kaitannya dengan hukum-hakam Islam. Maka ia hangat diperkatakan. Secara rengkas, sungguhpun Saiful bersumpah untuk menghapus “fitnah” terhadap dirinya, tapi dia telah membuat satu kesilapan besar. Ini kerana dalam percaturan tuduh-menuduh, Anwar Ibrahim telah mendapat the upperhand.

    Ketika Saiful mendakwa “Anwar Meliwat” itu dalam hukum Islam masuk dalam bab QAZAF. Sekiranya Anwar betul-betul liwat, dan dikira bersalah seperti mana yang didakwa oleh Saiful, tapi Anwar untuk mengelak dia di hukum, dia lebih cerdik kerana cepat-cepat melaporkan perkara tuduhan liwat ke Mahkamah Syariah. Kemudian pihak Mahkamah Syariah kenalah menyiasat perkara ini. Ya, Anwar bersalah kerana meliwat pada pandangan dzahir, tapi pada hukum syara’ dia dikira tidak bersalah …kerana Saiful kena bawa 4 orang saksi yang melihat dengan mata mereka sendiri perbuatan liwat itu. Dalam hal hukum QAZAF, Saiful dikira bersalah walaupun dia bersumpah diluar Mahkamah bahawa Anwar benar-benar telah meliwatnya.

    Ya, Anwar telah berjaya memerangkap Saiful. Nanti Mahkamah Syariah akan memanggil Saiful atas laporan adakah benar atau tidak dia menuduh Anwar buat kerja liwat ? Maka Saiful boleh menarik balik tuduhan dia itu (sebab dia tak dapat cari saksi-saksi menurut hukum syara’), maka kes ini boleh digugurkan. Itu, sekiranya Saiful menarik balik atau menafikan sebelum kes itu bersabit di Mahkamah Syariah, dan Anwar boleh menarik balik laporan yang dibuat terhadap Saiful.

    Perbuatan Saiful bersumpah dikhalayak ramai sudah menjadi bukti bahawa dia MENUDUH Anwar liwat dan Mahkamah Syariah sudah mendapat bukti yang kukuh bahwa laporan Anwar itu benar, “terlaknatlah” Saiful mengikut hukum Islam, yang Saiful meminta dirinya dilaknat. Sumpahnya telah memakan dirinya mengikut hukum dan kaedah Islam. Saiful dikira bersalah dari segi shara’ , dia patut disebat 80 kali ..atau di penjara 3 tahun, lebih-lebih lagi dia kira sebagai “pembohong” yang kita tidak boleh berkawan dengan atau menyokong Saiful. In the Islamic sense, Saiful will be outlawed , considered a vile man and a liar …even if he thinks or declares he is telling the truth. We have Islamic laws. Jangan sekali-kali tuduh orang berzina atau liwat. Kita ada hukum-hakam Islam yang melindungi maruah seseorang Islam. Saya percaya Anwar liwat, tapi saya TIDAK BOLEH mengisytiharkan secara terbuka kerana itu QAZAF namanya. Saya boleh dihukum mengikut undang-undang Islam, fahamlah dan berimanlah.

    Sekali lagi, mungkin Anwar di pihak yang salah, tapi kita dikira oleh syara’ sebagai pembohong kerana tidak berjaya membuktikan di Mahkamah Syariah. Dalam isu ini Anwar telah berjaya memerangkap Saiful …dan mengusik jiwa kita, apakah kita ini, beriman atau kufur ?

    Tambahan pula ramai orang Melayu di Malaysia ini jahil tentang Islam itu sendiri. Suka mempersenda hukum-hakam Islam. Sila renungkan:

    Macam tersebut dalam Al-Qur’an: ” a fa tu’minuna bi ba’dhi _l-kitab wa ta’furuna bi _l-ba’dh ” = adalah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan kamu kufur kepada bahagian yang lain ? [Al-Baqarah (2) : 85].

    Kalau betul sekalipun Anwar meliwat dia, adalah lebih baik dia diam kerana perbuatannya ialah hukum QAZAF. Kalau dia engkar hukum QAZAF, ertinya dia menolak hukum Islam. Fahamlah sendiri.

    Apa yang Saiful buat, bersumpah di masjid bukan MUBAHALAH namanya. Dalam majlis mubahalah, kedua pihak yang saling menuduh mesti berdepan, berhujjah atas perkara ilmiah dan akhirnya bersumpah laknat jika kedua-kedua pihak menemui jalan buntu.

    Anwar tidak perlu bersumpah kerana dia sudah buat laporan di mahkamah syariah. Lagipun secara terbuka dia berkata dalam salah satu ceremahnya:

    Dia membaca ayat “wa makaruu wa makar ALLAH, wa ALLAHu khairu l-maakireen” = dan mereka mengatur tipu muslihat, dan ALLAH pula mengatur, dan ALLAH adalah yang sebaik-baik pengatur – tipu muslihat ..[Ali Imran (3) : 54]. Oleh itu secara tidak langsung Anwar bermaksud Allah akan bakal menghukum orang yang menipu. Jika Anwar yang menipu dia sendiri akan menerima akibatnya umpama dirinya sendiri akan dilaknat.

  2. tigerchan
    19,August 2008 at 11:32 pm

    Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUM PP) merujuk kepada isu sumpah (mubahalah) yang telah dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan (pendakwa – mudda’i) berhubung pertuduhan liwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

    PUM PP berpandangan adalah tidak wajar mempolitikkan isu sebegini dan pihak-pihak tertentu yang menggunakan nama Islam dan Syariah untuk kepentingan tertentu harus berhenti sama sekali dari berbuat demikian.

    PUM PP menyarankan agar isu ini diselesaikan mengikut peraturan dan Syariat Islam sepertimana yang digariskan dalam undang-undang Syariah Islam jika benar pihak terbabit ikhlas mahu menyelesaikannya mengikut lunas-lunas Islam.

    PUM PP menyatakan pendirian bahawa bersumpah dengan memegang al-Quran tidak ada dalam tradisi dan Syariat Islam dan tidak wajar dicampur-adukkan dalam sumpah yang dilakukan itu.

    PUM PP juga menyatakan bahawa pendakwa (Saiful) tidak ada keperluan untuk melafazkan sumpah memandangkan beliau adalah di pihak yang membuat pertuduhan.

    Dalam Syariat Islam, kes ini diklasifikasikan sebagai kes Hudud (dalam bab zina) dan pendakwa wajar membawa bukti mengikut Syarak bahawa perlakuan liwat berlaku dan perkara ini akan dibicarakan di mahkamah selaras kaedah feqah ‘al bayyinah alal mudda’i wal yaminu ala man ankara’ � pihak pendakwa perlu mengemukakan bukti (empat orang saksi) manakala yang menafikan dikehendaki bersumpah.

    Pada asasnya, Islam meletakkan peraturan yang jelas bagi memungkinkan keadilan dicapai melalui proses kehakiman dan pembuktian terlebih dahulu sebelum sebarang sumpah dilafazkan. Sumpah sebegini tidak wajar dilaksanakan sebelum proses kehakiman diselesaikan.

    Perkara yang berlaku ini akan memberi kesan buruk antara lain kepada perlaksanaan sistem kehakiman Syariah di Malaysia apabila pada masa akan datang pelbagai pihak boleh menggunakan ini sebagai ‘precedent’ bagi mendahulukan sumpah terutama dalam kes li’an sebelum proses kehakiman dapat dilakukan.

    Proses pembuktian dan pengadilan akan diketepikan dan pihak yang bersalah boleh memilih untuk menggunakan sumpah (yang tidak memerlukan pembuktian) bagi menyelamatkan diri dari penghukuman.

    PUM PP menyeru semua pihak agar tidak menggunakan nama Islam dan Syariah tanpa mengikuti peraturan Syariah yang sebenarnya bagi tujuan politik ‘Machiavelli’ mahupun kepentingan peribadi.

    PUM PP juga menyeru agar beberapa ulama dan agamawan untuk merujuk dan menerima pandangan ulama dan pakar lain sebelum membuat apa-apa kenyataan yang bakal memburukkan keadaan dan tidak memungkinkan proses keadilan dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan sempurna di negara.

    Dalam hal ini dan apa juga masalah semua pihak digesa untuk merujuk kepada prinsip ta’awun seperti mana yang ditekan oleh al-Quran.

    Penulis adalah Yang Dipertua PUM PP

  3. tigerchan
    19,August 2008 at 11:33 pm

    Syaikh Daud Abdullah al-Fatani menyebut dalam kitab Hidayatu al-Muta’allim[1]: ketika mengulas tentang perlaksanaan hukum hudud zina:

    “(Bermula ) zina yang wajib [hukuman] had itu iaitu orang yang melazimkan hukum [mukallaf] lagi mengetahui dengan haramnya [berzina] dengan memasukkan hasyafah [forehead] atau kadarnya [sekiranya zakar yang tidak mempunyai hasyafah] dengan faraj atau dubur yang haram bagi ‘ainnnya, lagi keinginannya pada tabiatnya [tidak dipaksa] dengan tiada syubhah…….”

    Syaikh Daud menyambung dengan menyebut pengecualian daripada hukum, yakni tidak sampai dihukum dengan hukum hudud tetapi ditakzirkan:

    “Tetapi tiada thabit [hukum had] dengan tiada masukkan [zakarnya] ke dalam faraj seperti bergurau-gurau jua atau dengan di wati isterinya pada masa haidhnya dan puasa atau di wati [disetubuhi] pada dubur[2] [isterinya] atau diwati sahayanya yang ada suaminya atau yang di dalam ‘iddah atau sahaya itu mahramnya atau diwati dengan tergagah [dipaksa] atau dihalalkan oleh orang alim [seperti fatwa ulama shiah tentang nikah mut’ah] atau diwati orang mati atau akan binatang, maka tiada [dilaksanakan] hukum had pada segala perkara itu” [m/s 300-301]

    2-Syaikh Daud Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Fathu al-Mannan[3] yang merupakan terjemahan kepada kitab Safwatu az-Zubad menyebu dengan jelas yang hukum hudud qazaf meliputi tuduhan liwat:

    Dan wajib atas melontar[4] dengan liwat dan zina* didera dulapan puluh bagi orang yang hurr [5] dan muhsana*

    dan bagi sahaya setengah ketahui engkau orang yang muhsana* iaitu orang mukallaf yang Islam lagi merdeheka tiada berzina*

    dan jika berdiri baiyyinah atas yang kena tuduh atas berzinanya* gugurlah seperti adalah benar bagi tuduh atau dimaafnya*

    (Dan wajib) atas orang yang menuduh akan seseorang semada laki-laki atau perempuan dengan liwat atau dengan zina seperti dikatakan “zanaita”, “latta” [yang bermaksud] zinah engkau, atau diliwat engkau atau “lat” bagi fulan , telah liwat dengan dikau sianu atau “ya zani” atau “ya la it”, dan yang menuduh itu orang mukallaf lagi dengan ikhtiarnya , yang bukan usulnya [yang membuat tuduhan bukan ayah atau datuk], maka tiada dihadkan [tiada dihukum dengan hukuman had] kafir atau kanak-kanak dan orang gla atau jahil ia akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau jauh daripada ulama’ atau tergagah [dipaksa] .

    3-Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani di dalam kitab Matla u’ al-Badraini menyebut:

    (Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia muhsan, dan dipukul dan didagangkan [buang daerah] akan dia jika tiada muhsan , atas yang mazhabnya [yakni mazhab Imam as-Syafi’ie] ialah yang mu’tamad-nya dan muqabalah-nya [yang tidak mu’tamad] bahawa sanya dibunuh akan dia mutlaqan[apa cara sekalipun], dan kaifiyyat membunuh akan dia itu beberapa wajah, salah suatunya dibunuh akan dia dengan pedang, dan keduanya direjamkan dia dan ketiga dirobohkan jidar [dinding] atasnya atau dicampakan dia daripada tempat yang tinggi, {hukuman bunuh] ini pada fa’il [pelaku] yakni yang meliwatnya, adapun yang kena liwat, maka dipukulkan dan didagangkan akan dia, jika ada ia mukallaf lagi taat [dilakukan secara rela] ia akan dia semada ia muhsan atau tiada, semada laki-laki atau perempuan , jika tiada mukallaf atau yang digagahi[ dipaksa] akan dia maka tiada dihadkan atasnya, maka makna liwat itu [ialah] wati pada dubur laki-laki , jika pada dubur sahaya yang laki-laki sekalipun, atau pada dubur perempuan . Dan wajib had padanya [kesalahan ini] pada yang lain daripada [meliwat] isterinya dan sahaya yang perempuan (m/s 195)

    Syaikh Muhammad Ismail menyebut dalam bab Qazaf dalam kitab ini:

    (Dan tertegah) maqzuf yakni orang yang dituduhkan dia daripada bersumpah kerana bahawa sanya harus bagi qazif yakni yang menuduh ia suruh maqzuf bersumpah atas ketiadaan berzinanya dan jika serta kuasanya atas baiyyinah sekalipun[6], pada [pemahaman] kebanyakan ulama maka [jika] bersumpah maqzuf , dihad-kan qazif dan jika tiada bersumpah maqzuf gugurlah had qazif (m/s:196)

    4-Tuan Tabal, Syaikh Abdul Samad Soleh al-Kelantani dalam kitabnya Minhatu al-Qarib[7] menyebut:

    (dan bermula) hukum liwat (yakni) wati pada dubur orang lain daripada isterinya, ini seperti hukum zina juga atas qaul yang mu’tamad (adapun liwat) pada isteri atau sahaya perempuannya maka ditakzirkan dia jua jika berulang-ulang, jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan padanya (m/s 215)

    5-Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani menyebut dalam kitabnya ‘Unwanu al-Falah, tentang perlaksanaan hukum hudud atasjenayah zina dan liwat, serta syaikh memilih salah suatu qaul daripada menyatakan hukuman liwat:

    Dan disyaratkan pada wajib had itu taklif maka tiada dihad-kan kanak-kanak dan orang yang gila bahkan dita’dibkan keduanya (dan hukum) liwat [sama dengan] hukum zina. Dan orang yang dikerjakan [ orang yang kena liwat] pada duburnya itu had-nya jild [sebatan] semada muhsan atau tiada (m/s 75)

    6- Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kasyafu al-Litham menyebut dalam bab Qazaf:

    (Furu) Harus yang menuduh itu menuntut akan yang kena tuduh itu suruh bersumpah atas tiada ia [orang yang kena tuduh] berzina , dan jika enggan ia [orang yang kena tuduh] daripada bersumpah gugurlah hadnya [had qazaf atas yang menuduh], dan jika bersumpah ia [orang yang kena tuduh]. Dihad-kan dia [yang menuduh] [inilah] kata kebanyakan ulama’, tiada didengarkan dakwa dengan zina dan bersumpah ia atas menafikan dia melainkan pada masaalah ini jua seperti kata dalam [kitab] Syarah Raudah[8]

    Dalam persoalan yang lebih menjurus dicatitkan:

    (Furu) Ditanya akan [Imam} Ramli daripada seorang yang mendakwa ia atas seorang yang lain bahawa sanya ia [yang kena tuduh] liwat dengan dia, maka engkar ia [yang kena tuduh], maka adakah [perlu] bersumpah ia [yang kena tuduh] yakni menuntut suruh bersumpah , dan apabila kamu kata tiada disumpahkan dia [yang kena tuduh enggan bersumpah], maka apabila tiada didirikan baiyyinah [saksi dan bukti yang secukupnya] dihad-kan dia [yang menuduh] yakni akan orang yang mendakwa itu? Apabila maaf maqzuf [orang yang kena tuduh] itu daripada [dilaksanakan hukum] had [ke atas yang menuduh], maka adakah bagi qazif tuntut suruh bersumpah akan dia atau tiada?

    Dan maka jawab ia dengan bahawa sanya ia [yang menuduh] iqrar atas dirinya dan menuduh ia[ yang menuduh] akan di fa’il [yang dituduh sebagai pelaku] , maka [ dalam keadaan ini] jika menuntut ia [yang kena tuduh] akan had qazaf-nya [terhadap yang menuduh], niscaya adalah baginya[yang kena tuduh] menyumpahkan [bersumpah] dia atas nafi liwatnya [meliwat si penuduh], dan jika [sekiranya ] tiada menuntut ia [yang kena tuduh] akan [hukuman] had-nya [dilaksanakan ke atas yang menuduh] maka tiada boleh dituntut bersumpah. (m/s:369)

    Syaikh Muhammad Ismail menyebut ‘rational’ fatwa ini dalam kitabnya yang sama:

    Bermula orang yang mendakwa itu orang yang mukhalafah [menyalahi] oleh [dengan perkataan] katanya akan zahir dan mudda’a ‘alahi [orang yang kena dakwa] itu orang yang muafakat akan yang zahirnya m/s: 455

    8. Sayaikh Daud Abdullah al-Fatani dalam kitabnya Furu al-Masail mencatitkan persoalan yang sama:

    (Soal radiyyallahu ‘anhu ) daripada seorang dakwa atas seorang [yang lain] bahawa ia liwat, maka engkar ia [yang kena tuduh], adakah ia [yang kena tuduh] bersumpah atas ketiadaannya [melakukan liwat tersebut] ? Dan jika kita kata tiada [kewajiban] atasnya bersumpah , makajika tiada [pula] didirikan baiyyinah [oleh yang menuduh] adakah didirikan [dilaksankan hukuman] had atas mudda’ie ? Dan apabila memaafkan oleh yang kena tuduh daripada hadnya [hukuman ke atas yang menuduh kerana qazaf], maka adalah bagi yang menuduh suruh ia bersumpah?

    (Maka dijawabnya) bahawa sanya ia mengaku atas dirinya [diliwat] dan menuduh ia bagi yang berbuatnya dengan dia [yang menuduh], maka jika menuntut [ oleh yang kena tuduh] akan dia [yang menuduh] dengan [dikenakan] had qazaf , harus ia [yang menuduh] menuntut suruh [yang kena tuduh] bersumpah atas menafikan liwatnya, manakala dimaafkan daripadanya [tiadalah dilaksanakan hukum had ke atasnya], dan jika tiada [menuntut hukum had qazaf ke atas yang menuduh] maka tiadalah boleh ia menuntut suruh ia bersumpah[9]. (m/s:323)

    9-Syaikh Abdul Rauf Singkel dalam kitabnya Mira atu at-Tullab menyebut:

    Bermula wajib had zina itu atas orang yang menetap [mukallaf] bagi segala hukum Islam lagi tahu ia akan haramnya dengan sebab memasukkan hasyafah atau kadarnya [bagi yang tiada hasyafah] ke dalam faraj semada faraj itu qubul atau dubur dan semada ia daripada lelaki atau perempuan dan adalah faraj itu faraj yang diharamkan ia kerana ‘ainnya lagi yang keinginannya pada tabiat yang sejahtera dan adalah masuknya itu dengan tiada syubhah dan ada yang empunya faraj itu diupah lagi menghalalkan dirinya atau mahramnya sekalipun. (m/s:447)[10]

    Lihat bagaimana keatanya syarat baiyyinah bagi menthabitkan perbuatan zina yang dijatuhkan hukuman hudud, Syaikh Abdul Rauf menyebut dalam kitab yang sama:

    (Soal) jika bertanya seorang apabila naik saksi orang yang diqabulkan [diterima] saksinya [kesaksiannya] padahal kurang daripada empat orang akan zina seorang, adakah thabit zina dengan dia [orang yang dituduh] atau tiada, maka apabila tiada thabit dengan dia [kesaksian yang tisak cukup empat orang] [kesalahan] zina adakah wajib atas sekelian saksi had atau tiada

    (Jawab) tiada thabit zina dengan dia dan wajib atas sekelian saksi itu [hukuman] had supaya jangan jatuh pekerjaan [practice] itu membinasakan hormah [kehormatan/maruah] manusia dengan rupa saksi. Dan demikian lagi jikalau naik saksi akan zina itu sekelian perempuan atau segala sahaya atau ahli az-zimmi , niscaya wajib [hukuman] had atas mereka itu kerana bukan mereka itu ahlu as-syahadah (yakni) yang bukan patut akan [menjadi] saksi (m/s 450)

    10-Syaikh Muhammad Nur Bin Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kifayatu al-Mubtadi menyebut:

    (Dan) hukum (liwat) iaitu memasukkan hasyafahnya atau kadarnya (pada) dubur (lelaki) dan jika sahayanya atau pada dubur perempuan yang bukan isterinya atau gundiknya [sahaya perempuannya sama dengan] (hukum zina) maka direjamkan fa’il yang muhsan dan dipukulkan yang tiada muhsan dan didagangkan dia [dibuang daerah] sepeerti yang telah lalu sebutnya. Adapun yang kena perbuat maka dipukulkan dan didagangkan dia semada muhsan atau tiada, maka iaitu atas mazhab, maka ialah yang mu’tamadnya pada [hukuman] liwat dan muqabalahnya [pendapat yang tidak mu’tamad dalam mazhab] dibunuhkan fa’il-nya dan kaifiat membunuhkan dia itu bersalah-salahan padanya, kata setengahnya dengan pedang dan kata setengahnya direjamkan dia dan kata setengah dirobohkan jidar atasnya dan kata setengah dicampakkan akan dia daripada puncak gunung yang tinggi[11] m/s 310-311

    !1- Dalam Kitab ‘Umdatu as-Salik , sebuah kitab feqah mazhab Imam as-Syafi’ie berbahasa arab, karangan Syaikh Ahmad Ibn Naqib . Terdapat edisi kitab ini yang dibuat ta’liqat oleh Syaikhuna Nuruddin al-Banjari. Kitab ini juga telah diterjemaholeh Syaikh Nuh Hamim Keller ke dalam bahasa inggeris dengan baik sekali. Terjemahan yang saya fahami adalah lebih kurang:

    Apabila membuat tuduhan (qazaf) oleh seorang yang baligh, beraqal dan dengan pilihannya [tidak dipaksa] sedangkan dia seorang muslim, atau seorang zimmi atau seorang yang murtad atau seorang kafir yang diberi jaminan keamanan terhadap seorang yang muhsan, bukan anak kepadanya dengan tuduhan zina atau liwat dengan jelas [sarahah] atau dengan simbolik [kinayah] beserta dengan niat maka dikenakan hukum had

    Khulasah

    Jelaslah dalam matan-matan kitab yang telah dirujuk menunjukkan hukuman hudud bagi jenayah liwat adalah di bawah bab jenayah zina dan hukumannya sama bahkan lebih berat. Sementara tuduhan zina ke atas seorang yang muhsan membawa kepada jenayah qazaf, sudah tentu tuduhan liwat, yang disebut oleh Imam al-Mawardi yang liwat itu adalah perlakuan yang lebih dahsyat daripada zina itu juga diambil kira sebagai qazaf.

    Sementara jika ada seorang yang mengaku dirinya diliwat tanpa mendatangkan baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf syara’ ,sedangkan orang yang kena tuduh itu pula menafikan tuduhan tersebut dan dia meminta kepada qadi agar orang yang menuduh itu didakwa sebagai orang yang melakukan qazaf. Dan orang yang menuduh itu kerana menguatkan hujjahnya, dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh itu bersumpah menafikan yang dia telah meliwat orang yang menuduh. Maka apabila orang yang kena tuduh itu bersumpah maka orang yang menuduh itulah yang dijatuhkan hukuman had qazaf.

    Sekiranya orang yang menuduh itu mempunyai baiyyinah atau qarinah, sepatutnya dia menthabitkan jenayah orang yang kena tuduh itu dengan menggunakan baiyyinah dan qarinah tersebut, jangan diminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, kerana sekiranya orang yang dituduh itu bersumpah menafikan yang dia meliwat orang yang menuduh, maka hukuman had qazaf jatuh ke atas orang yang menuduh. Itulah kefahaman kebanyakan ulama dalam mazhab Imam as-Syafi’ie. Ini kerana apabila dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, implikasi undang-undangnya ke atas orang yang membuat tuduhan ialah dia mesti menerima butiran sumpah yang dibuat oleh orang yang kena tuduh

    Bagaimana pula sekiranya orang yang membuat tuduhan itu tidak mempunyai baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf oleh syara’ dan mendesak agar orang yang kena tuduh bersumpah? Tidakkah dia takut kepada hukuman lapan puluhan sebatan thabit ke atas zimmahnya, serta dia akan dikira sebagai seorang yang pembohong di sisi hukum syara’. Mengikut Imam as-syafi‘ie dan sebahagian ulama yang lain, sekiranya orang yang melakukan qazaf ini bertaubat sekalipun, maka taubatnya itu di antara dia dan Allah, dari segi perlaksanaan hukum syara’ dia dikira sebagai ‘fasiq’ sampai bila-bila.

    Begitulah perincinya hukum Islam, alhamdulillah keperincian perbincangan hukum itu juga dikupas oleh ulama-ulama jawi dalam kitab-kitab mereka. Kita diwariskan dengan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan mendalam sifatnya, rugilah bangsa yang tidak tahu menilai warisan sendiri serta dalam kejahilan mereka itu pun , mereka sanggup memandang orang tua mereka sebagai orang yang tidak memahami Islam yang luhur dan lengkap-melengkapi sebagaimana yang mereka faham sekarang. Aduhai bangsaku, adakah ini nasib kita selepas 51 tahun merdeheka…..

    Alhamdulillah selesai membuat catitan selepas zuhur satu Syawal 1429H. Ia diselesaikan dengan segala keterbatasan ilmu dan faham dan rujukan tetapi memandang dengan sangka yang baik terhadap ‘inayah dan taufiq dari Allah , semoga catitan ini memberi manafaat kepada pencatit yang serba kekurangan dan saudara-saudaranya yang mahu memahami dan menghayati kebenaran.

    ——————————————————————————–

    [1] Naskhah yang dirujuk dicetak Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1312 H. Alhamdulillah ianya adalah naskhah yang lengkap.

    [2] Anal-sex yang tidak dijatuhkan hukuman hudud itu ialah dengan isteri atau sahaya, bagaimanapun ditakzirkan

    [3] Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1330H. Matan Zubad diterjemah dalam bentuk puisi serta diikuti oleh syarah di dalam bentuk prosa. Sedang kitab asalnya yang berbahasa ‘arab ditulis oleh Syaikh Ahmad ibn Raslan dl-Dimasyqi.

    [4] Melontar maksudnya menuduh

    [5] Hurr orang yang merdeka-bukan sahaya

    [6] Apabila si penuduh meminta agar orang yang kena tuduh bersumpah, bererti dia mengiktiraf apa yang disumpah oleh orang yang kena tuduh.

    [7] Naskhah yang dirujuk di cetak oleh Di. Ya Ikhwan

    [8] Cetakan tahun 1345H

    [9] Naskhah yang dirujuk cetakan Matba’tu al-Misriyyah pada 1307H

    [10]Siap ditulis pada tahun 1184H. Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’atu Ummu al-Qurra pada tahun 1309H.

    [11] Naskhah yang dirujuk cetakan Dar al-Maarif, Pulau Pinang (t.t)

  4. tigerchan
    20,August 2008 at 8:49 pm

    Kali ini ialah reaksi saya terhadap kenyataan akhbar yang berbunyi: “Sumpah Saiful sah, pegang al Quran tak tiru Kristian- Mufti Wilayah Persekutuan”. Bagi saya samada Saiful bersumpah mengikut cara Islam atau tidak , itu bukan persoalannya. Apa yang saya tekankan di sini memang SAH si Saiful yang bodoh itu, pengakuannya dikira sebagai QAZAF. Ertinya…Saiful menuduh melalui sumpahnya bahawa Anwar Ibrahim berzina/meliwat.

    Yang saya hairan, si mufti yang bernama Datuk Wan Zahidi Wan Teh tidak menyatakan apakah implikasi sumpah Saiful itu. Datuk Wan Zahidi Wan Teh kebetulan adalah seorang yang hardcore UMNO disebalik pangkatnya sebagai seorang mufti. Ya…memang sah Saiful bersumpah dengan Al-Qur’an , di atas masjid , didepan banyak saksi, tetapi sumpahnya bagaimanapun adalah tetap QAZAF. Siapa kata bukan QAZAF ? Banyak orang Melayu suka mempermain-mainkan Islam. Adakah dengan bersumpah dengan Al-Qur’an sudah selesai semua masalah ? Jadi kita semua sebagai orang Islam mesti yakin dan percaya bahawa Anwar Ibrahim meliwat orang ? Sekiranya saya sendiri berceramah di khalawak ramai dengan menyatakan bahawa Anwar Ibrahim meliwat orang, bukankah saya dikira sebagai membuat QAZAF kerana terpengaruh dengan sumpah Saiful ?

    Apa gunanya ada Mahkamah Syariah ? Apa gunanya ada undang-undang Islam jika ia tidak relevan di Malaysia ? Apabila Anwar Ibrahim melapor kepada Mahkamah Syariah, dia berhak berbuat begitu atas membela dirinya. Cerita fasal bermubalah atau bersumpah di luar mahkamah adalah tidak perlu. Jalankanlah proses perbicaraan secara adil di Mahkamah Syariah. Hukum QAZAF adalah tetap QAZAF.

    Apa yang dipermainkan oleh media-massa dan ulama-ulama pro-UMNO ialah hukum QAZAF tidak relevan dan tidak boleh dipakai ataupun kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim itu bukan dalam bab Qazaf ? Ataupun adakah dengan sumpah Saiful itu dengan sendirinya membatalkan tuduhan QAZAF ? Saya melihat pemimpin-pemimpin UMNO beriya-iya mencabar Anwar Ibrahim bersumpah dengan Al-Qur’an bahawa dia tidak melakukan liwat. Tidakkah orang-orang UMNO faham bahawa Anwar Ibrahim sudah melaporkan kepada Mahkamah Syariah bahawa dia liwat orang ? Buat apa cabar dia bersumpah pula…bukankah Mahkamah Syariah ialah untuk menjalankan undang-undang Islam ? Adakah undang-undang Islam tidak adil ?

    =======

    Sumpah Saiful sah, pegang al Quran tak tiru Kristian- Mufti Wilayah Persekutuan

    19-08-2008 10:09:35 PM
    KUALA LUMPUR: Perbuatan Mohd Saiful Bukhari Azlan memegang kitab suci al-Quran di tangan kanannya ketika melafazkan sumpah laknat di Masjid Persekutuan pada 15 Ogos lepas tidak bercanggah dengan syariat Islam dan tidak boleh dianggap meniru cara agama Kristian, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh hari ini.

    Beliau berkata kewujudan persamaan zahir dengan apa yang dilakukan oleh penganut Kristian tidak boleh dianggap meniru agama itu.

    “Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah “Amin” (Amen) ketika melakukan upacara sembahyang di gereja, maka umat Islam tidak boleh dianggap meniru Kristian ketika menyebut kalimah “Amin” dalam sembahyang dan ketika berdoa,” katanya.

    Beliau berkata sumpah Mohd Saiful juga adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan atau “alyamin qhairul qadhaiyah” dan bukan sumpah “mubahalah” seperti yang disiarkan oleh media.

    “Ini kerana “mubahalah” memerlukan persetujuan pihak kedua seperti yang dinyatakan dalam ayat 61 Surah Ali Imran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Mengenai hukum memegang al-Quran ketika bersumpah, Wan Zahidi memetik sumber dari kitab “Fatwa Syarriah” oleh AlSheikh Hasanin Muhammad Makhluf, mantan Mufti Mesir dan Sheikh Muhammad Abu Zuhrah dalam bukunya “Fatawa alSheikh Muhammad Abu Zuhrah.

    Beliau berkata AlSheikh Hassanin dalam kitabnya telah memetik pendapat AlImam AlAin iaitu “Jika seseorang bersumpah dengan mushaf, atau meletakkan tangan ke atasnya, atau berkata: Demi Quran ini maka ia adalah sumpah yang sah.”

    Wan Zahidi berkata ini berupakan pendapat Imam Shafie, Imam Hanafi dan Imam Hambali.

    Katanya Sheikh Muhammad Abu Zuhrah dalam kitabnya telah menyatakan bahawa “Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf adalah sumpah yang sah.”

    “Daripada huraian itu dapat disimpulkan bahawa sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful adalah harus dilakukan dan tidak bercanggah syariat Islam,” kata beliau.

    Pada 15 Ogos lepas, Mohd Saiful melakukan sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh bekas majikannya yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas.

    Baca artikel asal di mstar.online

  5. penulis_cyber
    26,August 2008 at 5:45 am

    Mufti tak sokong PKR adalah hardcore UMNO ?

    Mufti mana tak sokong UMNO ?

    Mufti mana sokong PKR ?

    Siapa sanggup sokong yang nak buat IFC kat malaysia ?

    Siapa sanggup sokong parti perjuangkan pluralisme ?

    Siapa ???

  1. 17,August 2008 at 12:45 pm
  2. 18,August 2008 at 9:38 am

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s