Home > 1 > Iran & agenda jahat Amerika/zionis – Terjemahan dari Lenggong Valley

Iran & agenda jahat Amerika/zionis – Terjemahan dari Lenggong Valley

Thursday, July 31, 2008

Terjemahan ucapan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu ke 62.

Luangkan sedikit masa untuk menghayati dan memahami dengan rendah diri dan dengan minda terbuka konsep Hak Asasi Manusia seperti yang diperturunkan dalam Al-Quran.

“Dengan Nama Allah, percepatkanlah kemunculan Imam Al-Mahdi dan limpahkanlah kepadanya segala kesihatan dan kemenangan dan jadikanlah kami pengikutnya dan pengikut mereka yang mempercayai kebenarannya”
Di dunia yang begitu kecoh dengan kecaman, ugutan dan ketegangan dan ketika kuasa-kuasa besar tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah semasa, ketika ketidakpercayaan semakin menggugat arena serantau dan antarabangsa, ketika rasa keselamatan psikologi masyarakat menjadi sasaran serangan pelbagai rancangan propaganda dan politik, dan kekecewaan sentiasa menghantui keberkesanan dasar dan tindakan organisasi-organisasi antarabangsa dalam usaha mewujudkan keamanan dan keselamatan berkekalan, dan ketika kawalan ke atas hak asasi manusia sedang dilemahkan, saya ingin menyentuh dan menerangkan punca dan cara-cara memboloskan diri daripada segala permasalahan ini dan seterusnya menyentuh mengenai beberapa cabaran utama yang dihadapi dunia masakini.

Saya juga akan menyentuh keperluan mengubah keadaan semasa, prospek masa depan yang lebih cerah, dan pengwujudan semula segala yang halus, indah dan terhormat, keadilan, kemekaran segala ciri kemuliaan manusia serta ketinggian cinta Tuhan dan kesedaran terhadap segala janjiNya seperti yang dinyatakan oleh para Nabi dan mubaligh. Kemudian saya akan menyerahkan kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan untuk menentu dan mengadili isu nuklear Iran sebagai satu realiti dan sebagai ruang menguji tahap kejujuran, keberkesanan, keazaman dan kemenangan. Segala cadangan saya akan dikemukakan di akhir ucapan ini.

Seperti maklum kita sedang menghadapi pelbagai cabaran penting yang di antaranya akan saya rujuk.

1 – Cubaan terancang memusnahkan institusi kekeluargaan dan merendahkan lagi status wanita


Keluarga itu institusi paling keramat dan berharga. Ia berperanan sebagai pusat kepada segala rasa cinta dan kasih-sayang ibu-bu, bapa-bapa dan anak-anak, dan ia juga satu alam yang selamat bagi mendidik dan membentuk generasi manusiaserta sebagai ruang subur bagi memekarkan segala sentimen dan emosi. Insitusi ini sentiasa dihormati semua bangsa, agama dan budaya.

Hari ini kita sedang menyaksikan satu serangan oleh penceroboh dan musuh kemanusiaan yang berazam meruntuhkan institusi keluarga. Mereka mensasarkan institusi yang begitu terhormat ini dengan mempromosikan kelucahan, keganasan dan meruntuhkan sempadan kehormatan dan peradaban.

Penjelmaan wanita sebagai kemuncak ekspresi kecantikan, kemurahan hati, cinta dan keluhuran menjadi sasaran untuk dieksploitasikan sejak beberapa dekad oleh kuasa-kuasa besar media dan kekayaan. Dalam sesetengah masyarakat, wanita terjerumus hingga menjadi hanya sekadar menjadi alat publisiti. Segala ciri kemuliaan, kebersihan dan kecantikan sebenar telah hilang – terhakis. Ini dianggap penderhakaan kepada tamadun manusia, kepada generasai-generasi akan datang dan tamparan kuat kepada kesepaduan masyarakat.

2. Perlanggaran Hak Asasi Manusia.,pengganasan dan pencerobohan yang berleluasa

Malang sekali hak asasi manusia dicabuli secara berleluasa oleh sesetengah kuasa besar, terutama mereka yang berpura-pura memperjuangkan kedaulatannya. Di antara contoh pencabulan termasuk pembinaan penjara-penjara tersembunyi, perbicaraan dan hukuman secara rahsia, mengintip perbualan telefon, membuka surat kepunyaan orang lain dan arahan serta saman supaya menghadirkan diri di balai-balai polis dan pusat-pusat keselamatan menjadi perkara biasa dan sering berlaku. Mereka menghukum para saintis dan ahli sejarah kerana mengutarakan pendapat berhubung isu-isu penting global. Mereka memberikan pelbagai alasan dan dalih untuk menceroboh dan menjajah negara-negara berdaulat dan seterusnya mencetuskan kekecohan dan perkelompokan, dan mereka menggunakan keadaan itu untuk meneruskan kependudukan di tempat-tempat tertentu.

Sudah lebih 60 tahun Palestin diletakkan di bawah penjajahan haram rejim Zionist sebagai ‘pampasan’ di atas segala kerugian puak Yahudi sepanjang Perang Dunia Kedua di Eropah.

Disebabkan ini rakyat Palestin menjadi musafir. Terpaksa berpindah-randah selain sentiasa menjadi mangsa tekanan kuasa ketenteraan, sekatan ekonomi dan di kurung dalam keaadaan yang daif dan kotor. Dikala semua ini berlaku pihak penjajah pula sentiasa dilindungi dan dipuji, sementara rakyat Palestin yang tidak berdosa bertubi-tubi dihimpit propaganda tentera dan politik.

Bekalan air, elektrik dan perubatan kepada penduduk Palestin dipotong kerana ‘dosa’ meminta kebebasan. Sebagai tindak balas kepada pemilihan kerajaan sah secara demokratik, penjajah zionis mensasar dan memangsakan pula kerajaan Palestin itu. Pengganas dikerah untuk melancarkan serangan ke atas kehidupan dan harta-benda penduduk dengan diselia oleh ahli politik dan pegawai-pegawai tentera kuasa besar.

Pihak zionis juga melancarkan operasi membunuh tokoh-tokoh dan individu Palestin tertentu di kediaman mereka dan di bandar-bandar. Kezaliman bukan dikecam tetapi sebaliknya dibalas dengan anugerah pingat keamanan kepada pengganas-pengganas tersebut daripada kuasa-kuasa besar. Di penjuru lain rejim zionis juga mengumpul ribuan orang Yahudi dari serata dunia yang dikatakan miskin untuk diberikan bantuan, pekerjaan, makanan dan seterusnya menempatkan mereka di wilayah-wilayah yang dijajah. Mereka didedahkan kepada suasana hidup yang begitu mencabar dari segi psikologi – tekanan yang memaksa mereka supaya sentiasa berseteru dengan penduduk Palestin yang dikatakan ganas, lantaran memanjangkan konflik dan krisis.

Iraq diceroboh dengan alasan kononnya untuk menggulingkan seorang diktator. Mereka  juga mendakwa kononya terdapat stok rahsia senjata pembunuhan beramai-ramai di negara itu. Diktator Iraq yang dulunya disokong penjajah yang sama seterusnya berjaya digulingkan dan sekali gus stok senjata pembunuhan beramai-ramai tidak dapat dikesan kerana sebenarnya ia tidak pernah wujud. Dan penjajahan berterusan di sebalik pelbagai alasan lain.

Hingga ke hari ini tiada sehari pun berlalu tanpa penduduk Iraq dibunuh, dicederakan ataupun diusir, dan pihak penjajah bukan sekadar enggan bertanggung-jawab dan berasa malu, malahan mendabik dada menyiarkan kepada media tentang pasaran baru untuk menjual senjata-senjata mereka berikutan tindakan pencerobohan ketenteraan ini. Dengan berdegil enggan mengaku kalah dan meninggalkan Iraq, mereka juga terus menentang perlembagaan, Majlis Perhimpunan Kebangsaan negara itu dan kerajaan yang dipilih secara sah dan demokratik oleh rakyat Iraq

Malang sekali apa yang kita lihat ialah hakikat bagaimana kuasa-kuasa besar tidak langsung menghormati mana-mana negara ataupun manusia. Apa yang mereka pentingkan hanyalah diri sendiri, kelompok dan kumpulan masing-masing. Pada mereka, hak asasi manusia hanya bererti keuntungan kepada syarikat dan kawan-kawan. Hak dan nama baik rakyat Amerika juga dikorbankan demi nafsu tamak.

3. Keganasan terhadap budaya tempatan dan nilai kebangsaan

Budaya adalah ekspresi identiti. Ia juga kunci keselamatan sesebuah negara dan asas interaksi sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain. Dalam sesebuah pergerakan terancang, budaya tempatan yang menjadi penyampai fahaman kepercayaan kepada satu Tuhan, cinta dan persaudaraan kini menjadi sasaran serangan yang meluas dan membinasakan. Nilai-nilai kebangsaan, adat resam dicemuh sementara karekter negara dipersenda dan dimalukan. Tujuan semua ini ialah untuk mempromosikan agenda liberal, konsumerisme, ketidakpercayaan kepada Tuhan, meruntuhkan nilai kemanusiaan dan mencuri kekayaan negara mangsa oleh kuasa-kuasa besar.

4. Kemiskinan, buta huruf, sekatan bantuan perubatan dan jurang perbezaan di antara yang miskin dan kaya

Sebahagian besar kawasan alam semula jadi di Asia, Afrika dan Amerika Latin sedang dicabul melalui penguasaan politik dan ekonomi koleh uasa-kuasa besar tertentu. Keadaan ini menyebabkan kadar kemiskinan begitu membimbangkan. Bangsa-Bangsa Bersatu merekodkan statistik berikut:

  • Setiap hari hampir 800 juta orang kelaparan dan kira-kira 980 juta merengkuk dalam kancah kemiskinan dengan kuasa membeli kurang daripada satu dolar Amerika.
  • Penduduk di 31 negara, iaitu 9 peratus daripada jumlah penduduk dunia mempunyai jangka hayat hanya setakat 46 tahun – 32 tahun kurang berbanding sesetengah negara.
  • Nisbah di antara yang kaya dan yang miskin dibeberapa bahagian dunia dianggar 40 kali ganda.
  • Di banyak negara sedang membangun kadar kematian ketika melahirkan anak dianggarkan 450 bagi setiap 100,000 orang ibu. Nisbah ini hanya 7 di negara-negara maju dan nisbah kematian bayi dianggarkan 59 bagi negara-negara sedang membangun berbanding 6 di negara-negara maju.
  • Satu pertiga daripada kadar kematian di dunia, iaitu 50,000 setiap hari adalah disebabkan kemiskinan.

Saya percaya angka-angka ini mencerminkan dengan jelas keadaan tragis yang sedang mencengkam ekonomi dunia hari ini.

5. Sikap tidak mempedulikan nilai-nilai mulia dan mempromosikan penipuan dan muslihat.

Sesetengah kuasa besar sanggup mengorbankan nilai kemanusiaan, termasuk kejujuran, kesucian dan sifat amanah untuk kepentingan diri. Mereka menanam rasa curiga dan menggunakan penipuan dalam perhubungan di antara kerajaan dan rakyat. Mereka berdusta secara terang-terangan, mengemukakan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap orang lain, bertindak bertentangan dengan undang-undang dan seterusnya membunuh kepercayaan dan persahabatan. Mereka secara terbuka mengenepikan moral dan nilai-nilai mulia dalam semua perhubungan dan menggantikannya dengan sifat tamak, kesombongan, permusuhan, perseteruan dan penipuan.

Mereka mengorbankan segala yang baik dan yang luhur demi nafsu tamak.

6. Pencabulan undang-undang antarabangsa dan tidak menghormati komitmen yang dibuat

Ada di antara mereka yang pernah terbabit dalam tugas merangka undang-undang antarabangsa dengan secara terbuka mencabuli undang-undang itu dan menggantikannya dengan dasar-dasar diskriminasi. Mereka merangkakan peraturan pelucutan senjata, tetapi sebaliknya menjalankan ujian dan menambahkan senjata-senajata yang lebih berbahaya setiap hari. Mereka menggariskan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi tidak menghormati hak orang lain menentukan cara pemerintahan, kedaulatan dan kemerdekaan negara. Mereka dengan mudah membatalkan perjanjian-perjanjian rasmi dan enggan mematuhi undang-undang untuk melindungi alam sekitar. Kebanyakan perlanggaran tanggung-jawab antarabangsa ini dilakukan oleh segelintir kuasa besar dunia.

7. Peningkatan ancaman dan perlumbaan senjata

Sesetengah kuasa, apabila gagal melaksanakan sesuatu mengikut logik, dengan mudah merujuk kepada ancaman. Tangan-tangan sasa perlumbaan senjata melemparkan bayangan ancaman yang mencengkam dunia. Negara-negara di Eropah menjadi mangsa dua perang dunia besar, beberapa konflik serius dan selanjutnya terpaksa berhadapan dengan kesan Perang Dingin selama beberapa dekad. Hari ini orang Eropah masih lagi hidup di bawah bayangan ancaman. Segala harta milik mereka termasuk keselamatan sentiasa dalam keadaan tergugat ekoran perlumbaan senjata oleh kuasa-kuasa besar tertentu.

Satu kuasa besar yang terkenal dengan sifat membuli negara-negara lain memberikan dirinya hak untuk membina satu sistem peluru berpandu. Kesannya menggugat kestabilana sebuah negara lain. Kuasa besar itu juga sedang bersiap untuk menyertai perlumbaan senjata yang lebih intensif.

Ada negara yang secara luaran dilihat begitu gagah dan berkuasa, tetapi berkelakuan seperti kanak-kanak yang baru dihadiahkan pistol mainan air, lantaran berasa begitu gagah memancutkan air ke arah semua berhampiran selain sentiasa mengancam orang lain dan mencetuskan ketidaktenteraman.


8.Ketidakberkesanan mekanisme antarbangsa mengatasi cabaran dan mewujudkan keselamatan dan keselamatan dunia yang mantap

Organisasi dan mekanisme antarabangsa jelas tidak mempunyai keupayaan mengatasi segala masalah dan cabaran untuk merealisasikan perhubungan adil dan saksama, keamanan, persaudaraan dan keselamatan serantau. Tidak ada satu pun kerajaan atau negara yang meletakkan harapan terhadap mekanisme-mekanisme tersebut untuk mempertahankan hak, kemerdekaan, daulatan wilayah dan kepentingan mereka.

Kawan-kawan Semua,

Cabaran yang kita hadapi sebenarnya lebih hebat daripada apa yang telah saya sebutkan dan saya boleh mendedahkan banyak lagi jika mahu, tetapi saya memilih untuk menghadkan diri kepada apa yang telah saya bentangkan tadi. Yang penting sekarang ini ialah persoalan berhubung punca kesemua cabaran tersebut. Analisis rapi secara saintifik menunjukkan bahawa punca keadaan sekarang ini disebabkan dua faktor utama.

Tidak sangsi lagi, faktor pertama ialah perhubungan yang tercipta berikutan kesan Perang Dunia Kedua.

Pihak yang menang dalam perang itu melakarkan peta dan rancangan bagi menguasai dunia, tetapi bukan berdasarkan keadilan, sebaliknya bagi menentukan penguasaan mereka ke atas negara-negara yang ditundukkan. Oleh itu, mekanisme yang terbina daripada pendekatan ini dan dasar-dasar berkaitan tidak berupaya menyelesaikan masalaah-masalah dunia sepanjang 60 tahun lalu.

Ada di antara kuasa-kuasa besar yang masih berlagak seperti wira Perang Dunia. Mereka menganggap negara lain termasuk yang langsung tidak terbabit dalam peperangan sebagai pihak yang ditewaskan. Mereka menghina negara-negara lain dan memeras-ugut berdasarkan kedudukan hirarki sosial yang tidak ubah seperti sistem feudal. Dengan sombong dan bongkak mereka menganggap diri lebih tinggi daripada orang lain dan tidak perlu memberi penjelasan kepada mana-mana kerajaan atau badan antarabangsa di atas segala perlakuan mereka.

Kawan-kawan, Tuan Pengerusi,
Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Malangnya, di antara organisasi yang berkesan, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berada di kedudukan teratas. Mereka mewujudkan keadaan di mana beberapa negara diberikan hak eksklusif dan istimewa untuk menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan sebagai pendakwa, hakim dan tukang hukum tanpa mengambil kira sama ada sesuatu pihak itu yang tertuduh atau yang dituntut. Memang lumrah bagi negara-negara yang dimangsakan tidak mendapat pembelaan dari Majlis ini.

Juga malangnya manusia telah menyaksikan dalam kesemua perang besar seperti di Korea, Vietnam, perang Zionis menentang Palestin dan Lubnan, perang menentang Saddam dan rakyat Iraq dan perang etnik di Eropah dan Afrika, terdapat satu anggota Majlis Keselamatan di antara yang berseteru atau setidak-tidak pun menyokong satu pihak dalam konflik dberkenaan. Lihat saja kepada Iraq; Mereka bermula dengan pencerobohan dan hanya selepas itu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Majlis Keselamatan – majlis yang sama dalam mana pihak penceroboh mempunyai kuasa veto.

Oleh itu, kepada siapakah boleh rakyat Iraq mengadu dan kemanakah sepatutnya mereka membawa aduan dengan harapan mendapat pembelaan yang adil?

Kita telah menyaksikan bagaimana dalam menangani konflik di Lubnan sesetengah kuasa sengaja melengahkan keputusan Majlis Keselmatan dengan harapan memberi kemenangan kepada rejim zionis. Bagaimanapun, apabila mereka berasa marah dengan rejim tersebut barulah mereka meluluskan penguatkuasaan genjatan senjata, walhal tugas Majlis Keselamatan ialah untuk menghalang daripada berlaku konflik berleluasa selain mengenakan genjatan senjata, memupuk keselamatan dan keamanan. Kepada siapakah boleh rakyat Lubnan mengadu mengadu?

Segelintir kuasa besar cenderung memonopoli dan menyekat Majlis Keselamatandaripada menjalankan tugas mengawal keamanan dan melaksanakan keselamatan berteraskan keadilan. Kredibiliti Majlis Keselamatan itu kini tercemar dan keberkesanannya dalam usaha mempertahankan hak anggota telah dimusnahkan. Ini menyebabkan banyak negara tidak lagi yakin dengan Majlis itu.

Juga terdapat mekanimse-mekanisme lain, seperti mekanisme kewangan dan perbankan yang turut berada dalam keadaan pincang. Mekanisme-mekanisme ini dijadikan alat bagi memaksa penerimaan kehendak kuasa besar ke atas negara-negara lain.


Terbukti mekanisme-mekanisme tersebut tidak berupaya menangani keperluan masa kini dan menyelesaikan segala cabaran untuk mewujudkan perhubungan adil dan berpanjangan.

Kawan-kawan sekalian,

Tiada sangsi bahawa faktor kedua dan yang lebih penting ialah sikap kuasa-kuasa besar yang tidak memperdulikan isu moral, keagamaan, pengajaran para Nabi dan Rasul dan seterusnya hala-tuju yang ditetapkan Allah selain batasan-batasan dosa dan pahala. Dalam keadaan sebegini bagaimana agaknya manusia berdosa mengawal dan mengurus hal kemanusiaan jika diri sendiri pun tidak mampu ditangani.

Malang sekali, mereka menganggap diri sebagai Tuhan! Mereka hanya berjuang untuk memenuhi segala keinginan dan nafsu sendiri. Bagi mereka, nyawa, maruah manusia dan segala harta kepunyaan orang lain tidak lagi penting.

Tubuh kemanusiaan kini tercedera teruk akibat perbuatan kuasa-kuasa besar yang tamak dan tidak berhati-perut. Hari ini, segala masalah yang dihadapi penduduk di seluruh dunia berpunca daripada ketiadaanrasa hormat kepada nilai kemanusiaan, moral dan juga pengurusan adil dan bijaksana oleh mereka yang berkuasa.

Kawan-kawan, Puan-puan dan Tuan-tuan,

Satu-satunya cara terbaik untuk kesejahteraan manusia ialah dengan berpandukan ajaran-ajaran para Nabi, kerpercayaan kepada satu Tuhan, menghormati maruah manusia dan sentiasa menjalinkan rasa cinta dan kasih-sayang dalam semua perhubungan, pertalian dan peradaban. Kesejahteraan akan dengan sendirinya pulih berdasarkan struktur ini.

Bagi mencapai matlamat ini, saya mempelawa anda semua supaya berkerjasama membina satu gabungan persaudaraan, kewarasan dan pemupukkan keamanan berpanjangan berdasarkan kepercayaan kepada satu Tuhan dan keadilan di bawah nama “Pakatan Keamanan.” Pakatan ini akan kebal daripada sebarang pencerobohan, kebiadabaan dan seterusnya menjana budaya kemesraan dan kesaksamaan. Dan dengan ini, saya mengumumkan dengan bantuan dan kerjasama semua negara merdeka, berdaulat dan yang cintakan keamanan dan keadilan supaya menjejaki arah yang akan dipimpin oleh kami, Republik Islam Iran.

Kepercayaan kepada satu Tuhan, keadilan dan kasih-sayang di antara manusia seharusnya mejadi keutamaan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, dan pertubuhan ini juga perlu dijadikan punca rujukan soal-soal keadilan di mana setiap anggota boleh menikmati sokongan kerohanian dan perundangan yang saksama.

Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai suara rasmi masyarakat antarabangsa akan dianggap komponen paling penting dalam pertubuhan itu. Ia perlu bebas daripada sebarang tekanan dan ancaman kuasa-kuasa besar. Ia perlu mengambil langkah serius menstruktur semula dirinya, terutama menukar status Majlis Keselamatan dan mendefinasikan struktur baru berdasarkan keadilan dan demokrasi dengan hasrat menjadikannya satu badan yang proaktif kepada keperluan semasa selain mampu meneyelesaikan segala cabaran masa kini. Semua ini akan membawa kepada pengwujudan keselamatan dan kestabilan dunia yang berpanjangan.

Tuan-Tuan yang dihormati,

Isu nuklear Iran merupakan contoh jelas prestasi dan pemikiran mekanisme-mekanisme yang saya maksudkan.

Seperti anda semua maklum, Iran adalah ahli rasmi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, IAEA, dan sentiasa mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang termaktub. Selain itu Iran juga telah begitu lama berkerjasama dengan agensi tersebut dalam pelbagai aspek. Kesemua projek nuklear kami adalah telus dan hanya untuk tujuan keamanan.

Menurut undang-undang IAEA, semua ahli mempunyai hak dan komitmen. Semua ahli wajib menjalan aktiviti secara aman dan di bawah pengawasan pihak agensi berkenaan. Ahli-ahli juga berhak disokong oleh agensi selain memperolehi kitaran bahan bakar dengan bantuan agensi dan ahli-ahli lain.

Setakat ini, Iran telah memenuhi semua kewajipannya tetapi masih dikecualikan daripada menerima bantuan teknikal daripada ahli-ahli, dan ada kalanya sokongan daripada pihak agensi sendiri. Dan dalam pada itu, kuasa-kuasa besar yang telah saya sebutkan tadi sentiasa cuba menafikan negara Iran haknya sebagai ahli dengan cara memberi tekanan ke atas agensi.

Mereka berusaha menggagalkan hak sah Iran untuk membina kemampuan tenaga nuklear dan mempolitikkan suasana untuk keepentingan sendiri.

Iran sememangnya bersungguh-sungguh dalam usaha membina keyakinan. Bagaimanapun, tiada apa pun yang dapat memuaskan kehendak kuasa besar selain memberhentikana sepenuhnya projek nuklear termasuk aktiviti-aktiviti berkaitan seperti program kajian akademik di universiti.

Matlamat mereka ialah menafikan hak sah negara Iran. Dan dengan itu juga kesemua stesen nuklear yang tidak ada kaitan dengan usaha mengitar-semula bahan nuklear juga diarah tutup. Dan selepas tiga tahun berunding dan mencuba membina keyakinan, negara Iran akhirnya meneyedari apa yang sebenarnya diinginkan oleh kuasa-kuasa besar tersebut bukanlah mengaggalkan apa yang sengaja disifatkan sebagai penyalahgunaan tenaga nuklear, tetapi sebaliknya untuk menyekat Iran daripada maju dalam lapangan sains.

Jika ini berterusan tiada peluang lagi untuk Iran menikmati segala haknya walaupun menunggu lagi 20 tahun. Oleh itu, Iran mengambil keputusan untuk terus memperjuangkan haknya melalui undang-undang sebagai ahli IAEA dan menafikan rancangan pincang kuasa-kuasa besar terhadapnya.

Melalui cara-cara sah ini juga Iran akan sentiasa bersedia untuk duduk semeja bagi menerangkan kedudukan dan mempertahankan haknya.

Dengan menyalahgunakan Majlis Keselamatan, kuasa-kuasa besar yang bongkak ini bertubi-tubi menuduh Iran selain menggunakan ancaman ketenteraan terhadapnya sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun, dengan berkat keimanan dan perpaduan rakyat, Iran kini mula mengorak langkah ke arah kemajuan. Iran kini diiktiraf sebagai sebuah negara dengan keupayaan penjanaan dan mengitar-semula tenaga nuklear untuk tujuan aman.

Keadaan menyebelahi kami kerana baru-baru ini pihak IAEA telah cuba mendapatkan kembali peranannya sebagai penyokong hak semua ahli dan sebagai penyelia aktiviti-aktiviti nuklear. Kami menyambut baik perubahan itu. Sebelum ini, mereka dengan cara tidak sah telah cuba mempolitikan kes tenaga nuklear Iran, tetapi hari ini, terima kasih kepada semangat ketahanan negara Iran, isu tersebut kembali ke tangan pihak agensi. Dengan ini saya dengan rasminya mengumumkan bahawa di pihak kami isu nuklear Iran ditutup dan hanya menjadi perkara biasa. Dan hari ini banyak persoalan ditimbulkan oleh beberapa kuasa besar berhubung aktiviti-aktiviti nuklear Iran di bawah peraturan agensi. Persoalan-persoalan ini akan dikaji secara rapi. Iran sentiasa bersedia untuk berbincang secara konstruktif dengan mana-mana pihak.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang telah berusaha membantu mempertahankan hak sah Iran dan saya juga menghargai peranan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), sahabat-sahabat dalam Majlis Keselamatan, Lembaga Gabenor IAEA, pakar-pakar yang komited dan menyanjungi undang-undang dalam agensi berkenaan dan juga tidak terkecuali Ketua Pengarahnya di atas pendiriannya mempertahankan kami. Saya juga ingin mengumumkan bahawa berbeza dengan hasrat tamak kuasa-kuasa besar, Iran sentiasa bersedia menghulurkan bantuan pengalaman kepada mana-mana ahli dalam bentuk pogram latihan selari dengan kewajipannya di bawah undang-undang dan peraturan agensi.

Dan sekarang saya ingin menujukan hujah saya kepada mereka yang memangsakan Iran sepanjang lima tahun lalu. Mereka yang telah melukakan hati rakyat Iran dan menuduh kami yang telah ribuan tahun telah menyumbang kepada pembangunan tamadun manusia dan sejarah dunia. Saya menasihatkan mereka mengambil iktibar daripada segala kesalahan mereka. Mereka telah menganaiya negara Iran tetapi mereka perlu berhati-hati supaya tidak mengulangi perbuatan yang sama ke atas negara lain dan jangan mengorbankan integriti organisasi-organisasi antarabangsa demi kepentingan diri. Hari ini negara-negara di dunia telah terjaga dari tidur. Mereka lebih bersedia, bertenaga dan mempunyai semangat ketahanan yang kental. Jika anda menukar cara hidup anda, seluruh dunia akan mencontohinya.

Pada dasarnya semua negara adalah baik belaka dan boleh hidup dengan penuh harmoni. Yang penting mereka menumpu kepada usaha membantu rakyat sendiri dan bukan mencampuri hal negara lain.

Ini bukan zaman dan masanya untuk kuasa-kuasa besar kembali ke jalan kebongkakkan dorongan syaitan. Ini masanya untuk kembali kepada jalan benar.

Apakah dalam segala ketaksuban ini mereka tidak lagi ingin dibersihkan daripada segala pencemaran dan dosa? Kepercayaan kepada Tuhan bererti mempercayai keikhlasan, kesucian, keadilan dan mencintai semua!

Mereka pasti akan mendapat keuntungan dan keberkatan daripada pendirian yang ikhlas, jujur, suci dan menghormati sesama manusia. Pasti lambat laun mereka akan dianggap kuasa yang dihormati dan bernilai di mata dunia.

Inilah sebenarnya tawaran yang dibuat oleh para Nabi dari Adam, Noh, Ibrahim, Musa, Isa dan Mohammad s.a.w. Dan sekiranya mereka menyahut tawaran ini, mereka nescaya akan diselamatkan dan jika mereka enggan, malapetaka yang telah dijatuhkan ke atas golongan yang terdahulu akan juga menimpa mereka.

Seperti mana yang disebut dalam Al Quran: ” Mereka yang tidak menyahut seruan Allah tidak sepatutnya menganggap dirinya telah menundukkan Tuhan di bumi ini; baginya tiada sahabat selain Allah dan mereka akan sentiasa diselubungi kegelapan”.

Mereka tidak mempunyai sebarang apa yang boleh diertikan sebagai hak sendiri dan mereka tidak akan dapat melarikan diri daripada kuasa Allah. Dalam perhimpunan agung ini saya rasa terpanggil untuk mengingatkan mereka ayat-ayat Allah yang disebut dalam Al Quran:

“Apakah mereka tidak melihat kepada kuasa dan kerajaan yang mendahului mereka? Jika golongan yang lalu memiliki sesuatu, pasti mereka telah menyimpannya dan tidak akan membenarkan kamu memilikinya kini. Allah membinasakan mereka kerana dosa mereka dan tiada siapa pun mampu melindungi mereka daripada kehendak Allah.”

Mereka perlu sedar bahawa segala cara dan tradisi berasaskan pemangsaan, tekanan dan ketidakadilan akan musnah akhirnya. Apakah mereka tidak dapat melihat tanda-tanda berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, sikap dermawan dan semangat keadilan di antara negara-negara di dunia? Apakah mereka tidak menyedari akan keruntuhan empayar-empayar? Saya harap jemputan dan tawaran ini akan mendatangkan hasil yang berkesan.

Hadirin sekelian,

Semua negara tidak perlu patuh kepada sikap ketidakadilan sesetengah kuasa besar yang tamak itu. Berdasarkan sikap simbong dan bongkak, kuasa-kuasa besar ini kini telah hilang keupayaan untuk memimpin dunia.

Dan dengan itu saya mengisytiharkan dengan rasminya zaman pincang yang muncul daripada debu kesengsaraan dan keruntuhan Perang Dunia Kedua serta pemikiran materialistik yang sombong dan bongkak kini berakhir.

Kemanusiaan telah melepasi jeram yang berbahaya dan kini zaman kepercayaan kepada satu Tuhan, kesucian, persaudaraan, menghormati orang lain, keadilan dan keamanan sebenar telah bermula.

Inilah janji Allah bahawa kebenaran akan membawa kemenangan dan dunia ini akan diwarisi oleh mereka yang benar. Anda sebagai warga dunia yang bebas perlu beriman kepada Allah. Anda yang inginkan nilai tertinggi di mana jua anda berada perlu bersiap bagi dipenuhi segala janji Allah ini dengan cara berjasa kepada manusia dan mencari keadilan.

Zaman kegelapan akan berakhir. Tawanan akan kembali ke rumah dan kampung halaman, jajahan yang dicerobohi akan dibebaskan, Palestin dan Iraq akan memboloskan diri daripada cengkaman penceroboh dan rakyat Eropah akan dibebaskan daripada segala tekanan zionis. Kerajaan-kerajaan yang berhati lembut dan cintakan kemanusiaan akan menggantikan kerajaan yang agresif dan yang memangsakan pihak lain. Maruah manusia akan ditebus kembali. Keharuman segar keadilan akan mula menembusi seluruh pelusuk dunia dan manusia akan hidup aman dalam suasana persaudaraan.

Perjuangan cara murni untuk kebenaran dan apa yang telah dijanjikan sebenarnya penawar akhir bagi mengubati luka-luka kemanusiaan, penyelesaian kepada segala masalah dan pengwujudan rasa cinta, keindahah, keadilan dan kegembiraan di seluruh dunia. Kepercayaan dan usaha ini adalah kunci kepada perpaduan dan interaksi konstruktif di kalangan negara-negara, masyarakat dan semua yang cintakan keadilan.

Tidak sangsi lagi, apa yang yang dijanjikan – bahawa Penyelamat dan Pesanan terakhir akan diperturunkan. Di kalangan semua yang mempercayai ketentuan Allah, keadilan dan yang mencari keberkatan, Dia akan mewujudkan masa depan yang cerah selain memenuhi dunia dengan keadilan dan keindahan. Inilah janji Allah dan ia nescaya akan dipenuhi.

Marilah kita mainkan peranan dalam usaha ke arah merealisasikan saat kemenangan dan keindahan ini.

Saya mengharapkan masa depan yang cerah, dan pancaran fajar kebebasan dan emansipasi bagi semua manusia di mana budaya cinta serta kasih-sayang menular di serata dunia serentak dengan penghapusan sikap penindasan, kebencian dan keganasan. Saya percaya harapan ini akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi.

Blog Lenggong Valley di sini

Categories: 1
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s