Home > 1 > Kata Mengata dari Anwar dan Ketua Pemuda PKR isu minyak !

Kata Mengata dari Anwar dan Ketua Pemuda PKR isu minyak !

Kenyataan Anwar Ibrahim Mengenai Kenaikan Harga Minyak

Rakyat pastinya dirundung kehidupan rumit. Bermula dari harga minyak, menjalar ke bil eletrik, tertekan parah dengan kos pengangkutan dan harga barang keperluan lainnya.

Arakian subsidi minyak dikurangkan, tetapi persoalannya keuntungan Petronas yang jenuh melimpah tertiris dan bocor ke mana? Tidak ada pertanggungjawaban waima kepada Parlimen sekalipun. Yang arif mengenai kedudukan kewangan Petronas hanya Perdana Menteri dan yang terserlah adalah Projek mega dan Koridor!

Rakyat bukan sahaja dinafikan maklumat malah limpahan dan habuan dari khazanah utama negara tidak dirasakan. Kemanfaatannya adalah buat keluarga dan kroni yang sekonyong-konyong dianugerah kontrak dan projek.

Inilah yang kami sering ungkapkan sebagai pengurusan ekonomi yang lembab dan tidak bertanggungjawab!

Amalan hidup pimpinan negara terus boros, pembaziran dan rasuah terus berleluasa.

Justeru itu kami membantah keras dasar Kerajaan Umno-BN yang mengabaikan tanggungjawab dan membebankan rakyat. Setelah gagal mengurus ekonomi dan menjamin keselesaan hidup rakyat, pimpinan Umno-BN seharusnya berundur!

Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi. Dasar tersebut harus menjurus kapada pertumbuhan segar dan pantas, namun tetap prihatin terhadap kehidupan rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas tindakan kerajaan Barisan Nasional kerana meneruskan ‘tradisi membebankan rakyat’ berikutan kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing pada kadar RM2.70 dan RM2.58 seliter berkuatkuasa semalam.

Ini juga disusuli dengan kenaikan tarif elektrik yang bakal menyusul pada tarikh 1 Julai 2008.

Pengumuman Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi seperti biasa akan disusuli oleh kenyataan ‘Malaysia masih lagi menjadi antara negara  yang menawarkan harga bahan api terendah di rantau ini’, dengan membandingkan Malaysia dengan Singapura dan Thailand yang bukan merupakan negara pengeluar minyak.

AMK yakin tindakan kerajaan yang meletakkan beban di bahu rakyat untuk menanggung kenaikan minyak mendadak pasti akan disusuli dengan kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan di seluruh negara.

Semasa membentangkan Bajet 2008, kerajaan telah memperuntukkan RM12 bilion hasil daripada penjimatan subsidi petrol serta diesel untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam dan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) namun hasil yang diharap-harapkan belum tercapai. Malah, baru-baru ini diumumkan kadar tambang bas pula akan dinaikkan. Justeru wujud kesangsian sama ada usaha-usaha kerajaan ini yang kononnya mahu membelanjakan penjimatan subsidi petrol dan diesel ini ke arah kesejahteraan rakyat adalah benar atau sebaliknya memandangkan Perdana Menteri begitu ghairah dengan projek-projek mega dan koridor ekonomi yang menelan belanja puluhan billion ringgit?

Tindakan terbaru kerajaan ini jelas menggambarkan tiada kepedulian sosial yang diambil oleh kerajaan di dalam mengurus ekonomi negara. Pastinya generasi muda ialah kumpulan sasar yang paling terkesan hasil daripada kenaikan mendadak ini dalam keadaan inflasi terus parah tanpa kawalan bijak oleh kerajaan.

Ini juga menggambarkan bahawa pengurusan ekonomi negara berada di tahap yang lemah, dalam keadaan pelaburan asing jatuh merudum pada aras 4% dan indeks Gross Domestic Product (GDP) hanya di aras 9% berbanding negara-negara Asia yang lain sebagaimana yang didedahkan oleh Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Singapura 20 Mei lepas.

AMK menggesa agar perincian menyeluruh Laporan Kewangan Tahunan Petronas, termasuk sumber keuntungan dan perbelanjaan didedahkan kepada umum melalui Parlimen agar rakyat boleh menilai keupayaan kerajaan mentadbir urus keuntungan Petronas dengan saksama.

AMK juga ingin menegaskan komitmen AMK untuk menggerakkan protes rakyat di seluruh negara hasil daripada kenaikan mendadak ini agar kerajaan dapat melihat ketidakcekapan mereka mengurus ekonomi negara sama sekali tidak boleh diterima majoriti rakyat Malaysia.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

sumber : Malaysia Today

Apa kesimpulan anda dapat ?  Pembangkang memang suka menghuru harakan negara agar PM akan digantikan dengan in waiting leader iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim ( baca : boleh jadi Hj Hadi atau Lim Kit  Siang )

Segala tindakan dan rancangan jangka masa panjang tidak diketahui oleh pembangkang ini sedangkan mereka yang berhempas pulas memikirkan kaedah terbaik sedang pembangkang pula tidak pedulikan itu semua asalkan tercapai niat mereka untuk mereka reka persepsi berbeza dan meninggalkan imej negatif di mata dan hati warga negara….

Di saat senang semua diam. Di saat susah semua bising.. Sedangkan perintah menghormati Ulil Amri – pemerintah – adalah teras kepada keamanan dan kestabilan yang sangat dicemburui oleh banyak negara yang tidak sefahaman dengan negara dan agama kita.

Anda tidak perlu terpengaruh dengan hasutan sebegini. Dan menghasut untuk berdemonstrasi tidak akan menjanjikan kebaikan di dalam mengatasi kenaikan harga minyak yang semakin tinggi di pasaran dunia sekarang ini..apakah ini tidak ada peruntukannya di dalam Akta Hasutan ?

Anda bebas berfikir dan saya hanya bebas memberi ruang untuk minda anda berfikir lagi….Selamat berjuang menentang kenaikan harga minyak dengan mengecilkan penggunaannya dan membanyakkan penjimatannya dengan mengelakkan dari menggunakan kereta dengan begitu kerap atau menukarkan tangki kepada gas NGV yang akan berselerak stesennya sebanyak 200 lagi tahun ini……

Fikirlah dan jangan banyak kerenah kerana kerajaan sangat mengharapkan anda terus menunggu pelan tindakan dan anda boleh memberikan cadangan jika merasa ada sesuatu idea yang boleh dikongsi bersama di dalam menangani kenaikan yang sangat tinggi ini..

Walau apapun terima kasih di atas pemberian tunai kepada pemilik kenderaan kerana ia sekurang kurangnya mengurangkan bebanan dan memberi kita sedikit harapan agar kenaikan ini tidak lama. semakan sebulan sekali tentu melegakan kita yang tentu tidak pernah lupa berdoa dan bersolat hajat setiap kali ingin meminta sesuatu dari Tuhan yang Maha Esa.

DI SERI KEMBANGAN, SELANGOR: foto Mstar Online

Categories: 1
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s