Home > 1 > Sedih memang sedih, tapi inilah masa sesuai untuk Tok Guru berundur

Sedih memang sedih, tapi inilah masa sesuai untuk Tok Guru berundur

sumber : http://www.detikdaily.net/v4/modules.php?name=News&file=article&sid=1836


Posted on Friday, April 04 @ 19:27:33 EST by reformis

Oleh Muhammad Abu Zahra

 Sememangnya sedih untuk melihat Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) berundur daripada jawatan Menteri Besar (MB) yang disandang beliau hampir 18 tahun yang lalu. Ketokohan dan kewibawaan beliau sebagai seorang ulama sekaligus sebagai seorang MB sememangnya diperakui sama ada oleh kawan dan lawan.

Malah boleh juga dikatakan faktor peribadi beliaulah antara salah satu sebab yang menjadikan PAS masih boleh bertahan di Kelantan. Dalam PRU ke 12 baru-baru ini, poster beliau sedang tunduk dan berdoa yang dinaikkan di seluruh negeri menjadi tarikan yang penting untuk PAS meraih undi paling kurang undi simpati sehingga memberi kemenangan besar kepada PAS.

TGNA adalah tokoh satu antara seribu yang dilahirkan oleh Allah swt untuk Malaysia secara khususnya dan untuk dunia secara umumnya. Sifat warak dan tawaduk yang ada pada beliau menjadi teladan kepimpinan yang terpenting sebagai piawai kepada mana-mana tokoh PAS yang menjadi MB di Kelantan dan di negeri-negeri yang lain.

Dari segi melaksanakan agenda pembangunan, beliau telah memperkenalkan satu konsep pembangunan yang tidak lari daripada prinsip-prinsip Islam, memalsukan mitos modern bahawa pembangunan dan agama tidak seiring. Beliau juga seorang ahli politik yang hebat bacaan politiknya dengan mengambil sikap lembut dalam sesuatu keadaan dan keras dalam keadaan yang lain.

Namun demikian, sehebat manapun TGNA akan tiba masanya beliau berundur daripada jawatan MB. Malah kemungkinan untuk beliau kembali menemui ALlah swt ketika memegang jawatan MB juga tiada siapapun dapat menghalangnya.

Usia TGNA sekarang kurang 3 tahun mencapai umur 80 tahun menyebabkan sekiranya beliau diberi pilihan, diyakini beliau sendiri sememangnya mahu berundur. Sekiranya tempoh pemerintahan Rasulullah saw selama 10 tahun di Madinah dijadikan kayu ukur, pemerintahan TGNA telah melebihi 8 tahun.

Hakikatnya semua ahli-ahli PAS dan rakyat Malaysia akan melalui saat itu, iaitu TGNA berundur sama ada semasa hidup ataupun beliau akan kembali ke alam baqa semasa memegang jawatan MB.

Persoalan yang timbul ialah bilakah saat itu? Sudah pasti sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam, PAS seharusnya memastikan saat pengunduran itu merupakan saat yang paling kondusif. Paling tidak pengunduran TGNA tidak akan menyebabkan kelemahan penguasaan PAS di Kelantan.

Sukar untuk dibayangkan bagaimanakah situasi politik di Kelantan sekiranya ALlah swt mengambil nyawa TGNA dalam tempoh penggal pentadbiran 2004-2008 yang lalu. Oleh sebab itu, mahu tidak mahu PAS seharusnya mempunyai perancangan bila waktu yang paling sesuai untuk TGNA berundur serta sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan yang tidak ingini.

Keselesaan politik yang wujud selepas PRU ke 12 baru-baru ini khususnya di Kelantan sewajarnya dijadikan peluang yang terbaik untuk membuat persediaan tersebut. Sebenarnya ketika inilah peluang yang terbaik untuk melepaskan pergantungan kepada faktor TGNA sebagai antara faktor terpenting politik Kelantan.

Sepatutnya telah ada tokoh bayangan yang berperanan sebagai MB de facto untuk menggantikan TGNA dalam tempoh masa terdekat. Tokoh tersebut sudah seharusnya mewarisi kewibawaan TGNA sehingga tiada sebab rakyat Kelantan untuk tidak menerimanya dalam PRU akan datang. Pilihan yang lain ialah kita menyerahkan semata-mata kepada ALlah swt tanpa perlu memikirkan bila saat yang paling sesuai.

Categories: 1 Tags: ,
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s