Home > Politik Malaysia > Jangan Biar Umno Musnah, Kata Ahmad Shabery

Jangan Biar Umno Musnah, Kata Ahmad Shabery

– BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Tragedi Umno diharamkan pada 1988 semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak harus dibiar berulang, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau turut menyarankan supaya Dr Mahathir berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan secara terbuka memandangkan parti itu dibatalkan pendaftaran dahulu kerana pelbagai kenyataan dikeluarkan secara terbuka.

“Saya rasa elok juga Tun (Dr Mahathir) lebih berhati-hati dalam kenyataan kerana kita tidak mahu kalau dulu di bawah kepimpinannya Umno mati, Umno musnah, dibatalkan pendaftaran dan mati dalam bentuk yang lain selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri di sini hari ini.

“Saya bimbang Umno semakin lemas dan kelemasan itu bermula pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir yang mana Umno diharamkan,” kata beliau.

Bercakap sebagai mengulas kritikan Dr Mahathir bahawa anggota Majlis Tertinggi pada masa ini tidak berani bersuara untuk menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan, Ahmad Shabery berkata bahawa pada masa kepimpinan bekas perdana menteri itu, banyak peraturan dibuat termasuk resolusi perhimpunan yang mana tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dan beberapa peraturan lain yang menyusahkan.

“Tidak ada pertandingan selepas 1987. Tetapi sekarang beliau kata ia tidak demokratik. Semua perkara ini orang Melayu tak lupa tetapi mungkin Dr M yang lupa. Saya sedih terpaksa bercakap hal ini tetapi ingatlah keterbukaan pada zaman Pak Lah jangan pula diambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata pada suatu ketika anggota Majlis Tertinggi tidak boleh dicabar di peringkat bahagian masing-masing dan anggota Majlis Tertinggi juga tidak boleh bertanding.

Ketua Bahagian di Kelantan pula tidak boleh ditentang yang pada ketika itu Dr Mahathir menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, katanya.

Ahmad Shabery berkata bekas presiden Umno itu juga pernah mengingatkan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 1997 bahawa kritikan perlu dibuat mengikut saluran parti iaitu melalui cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi tetapi bukan di luar parti.

“Itu kerana katanya kalau semua orang bercakap di luar mengkritik dan menghentam sesama sendiri, Umno boleh hancur dan saya bimbang kalau ini berlaku mungkin beliaulah orang yang boleh dianggap boleh menghancurkan Umno,” katanya.

Mengenai cadangan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa Umno yang mana agendanya untuk membincangkan prestasi Umno pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata Tun Dr Mahathir tidak boleh membuat kesimpulan bahawa peringkat akar umbi Umno sudah marah.

“Cawangan mana yang nak buat kita tengoklah. Sebenarnya dalam pilihan raya baru-baru ini akar umbi tidak ada masalah. Orang kampung yang terbabit dalam pertanian cukup gembira kerana harga jualan seperti getah dan kelapa sawit naik cuma orang yang tinggal di bandar mengundi melawan kita,” katanya.

Beliau berkata pada pilihan raya umum 1999 kemarahan sebenar (the real anger) peringkat akar umbi disuarakan kepada pucuk pimpinan iaitu Dr Mahathir tetapi beliau tidak pun mengambil langkah meletak jawatan.

Katanya, pengundi Melayu lebih banyak menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 1999 jika dibandingkan dengan pilihan raya 8 Mac lepas dan kekalahan beberapa negeri yang jatuh kepada pakatan parti pembangkang disebabkan antaranya termasuk undi dari kaum Cina dan India yang tidak memihak kepada BN kerana beberapa sebab.

Ahmad Shabery berkata dalam kebebasan bersuara, beliau juga terkilan dengan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sedangkan pada masa kepimpinannya (Dr Mahathir) ramai pemimpin Umno sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dilihat mengancam keselamatan negara tetapi mengancam kepimpinan beliau.

“Saya rasa perlu diingatkan dalam sejarah semasa pimpinan Tun (Dr Mahathir) lah ramai pemimpin Umno ditangkap di bawah ISA. Saya perlu sebutkan, seperti Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menjadi Ketua Pemuda Umno, ramai ketua bahagian, Datuk Kamaruddin Mohd Noor, Datuk Kamaruddin Jaafar, Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, ” katanya.

Categories: Politik Malaysia
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s