Home > Politik Malaysia > Kena tunggu perkenan Agong- PM

Kena tunggu perkenan Agong- PM


Itulah jawapan PM tatkala ditanya tentang penafian beliau dan juga pembubaran Parlimen yang nampaknya seolah-olah bertentangan antara satu sama lain semalam. Selang sehari terus kita digemparkan dengan pembubaran Parlimen sedangkan sehari sebelumnya terdapat penafian tentang perkara tersebut oleh Pak Lah.

Ketika pembangkang sedang giat mengaitkan Pak Lah dengan tuduhan menipu ( walhal mereka belum mendengar penjelasan Pak Lah ) maka kita dapat melihat begitu cepat tuduhan dan cercaan mereka ditujukan kepada PM ( sementara ) sekarang. Patukan berbisa sudah berjalan merata rata agar ramai yang akan ‘mati’ dengan patukan tadi bagi mengurangkan gangguan dalam beraya tidak lama lagi…

Berbagai tajuk digunakan dalam berbagai laman web pro pembangkang untuk mengutuk Pak Lah yang tidak makan dipatuk….Sehingga dikatakan sebagai Munafik Besar seperti mana yang tercatat di dalam Harakahdaily tarikh 14 Feb 2008 waktu 8 : 54 : 09. MYT….Artikel yang disiarkan menunjukkan web pro PAS itu terang-terangan menggunakan kata kata tidak beradab dan menjatuhkan maruah serta peribadi pemimpin negara yang sudah banyak jasanya sejak menjadi ahli politik dan pentadbir untuk negara Malaysia…

Bayangkan jika cercaan dan kritikan tersebut diletak ke atas muka ayah kita tentu terus menyirap api kemarahan kita lantaran kebiadapan penulis yang sesuka hati menghambur gelaran dan mengaitkannya dengan peribadi seorang pemimpin yang kebetulan cucu kepada seorang ulama terkemuka tanah air. Inikah sikap seorang rakyat yang menggelarkan dirinya dengan gelaran ‘ketua perusuh’ di dalam membalas segala jasa seorang negarawan yang berjasa di atas kemajuan dan kestabilan negara dengan meletakkan gelaran sebegitu rupa? Adakah tidak ada lagi ruang menunggu penjelasan Pak Lah rasional pembubaran tersebut?

Jika begini artikel yang dipapar dengan bangganya di dalam harakah daily tentu kita merasa tertanya-tanya adakah akhbar rasmi PAS yang mendakwa membawa Islam yang dizahirkan itu betul betul meresap di dalam hati atau sekadar mainan mulut bagi meraih simpati? Adakah Islam itu menjadi agama yang dianut atau sekadar alat menipu rakyat agar mendapat sedikit kedudukan atau kuasa bagi menjadi orang ternama? Adakah parti ini yang akan kita sokong di dalam pilihanraya akan datang? Apakah kopiah dan janggut serta serban dan alunan ayat quran akan menutup kejahatan perkataan yang dilemparkan kepada pemimpin negara? Apakah keuntungan mereka berbuat demikian? Adakah ada orang yang mengguna kan agama untuk menipu?

Ini salah satu contoh artikel yang cuba dijadikan contoh dasar dan perlaksanaan Islam Hadharah ( seperti mana yang dibetulkan oleh Hj Hadi ) yang dibawa oleh PAS. Ia sekadar contoh imej PAS yang sedang menggunakan agama sebagai modal politik mereka sehingga Islam hanya pada PAS dan PAS itu Islam. Selain PAS bukan Islam atau Islam Munafik seperti kata kata para pemimpin PAS dan diulang kembali oleh rakyat pengikut mereka.

Jika orang Jahil agama menerima, kita pasti di sana masih ada yang tidak bersetuju dan akan melawan segala dakyah dan mainan politik murahan seperti itu dari merebak. Mereka semua pasti tidak sabar lagi menggerakkan pena menulis dan menyerang kembali sengatan berbisa agar kaum awam di negara kita tidak akan selamanya terpedaya dengan tipu daya mereka. Meskipun menggunakan tenaga dan masa tentu ia berbaloi bagi menyekat fahaman bahawa Islam itu hanya pada parti berlambangkan bulan sahaja dan tidak ada dalam parti berlambang keris…Sedangkan Islam jauh dari mana mana parti dan tersendiri merentasi parti, ideologi dan bangsa……

Ketika tiada isu yang kuat bagi meraih sokongan rakyat sekaran ini, kita dapati mereka telah menggunakan isu penafian dan pembubaran Parlimen itu untuk mengaitkan Pak Lah dengan imej menipu atau putar belit. Dengan sendirinya mereka cuba mengatakan bahawa Pak Lah dan Islam Hadhari gagasannya tidak mampu menjadi pilihan rakyat bagi meneruskan agenda pemerintahan pada penggal akan datang..

Entahlah apa yang menjadi pemikiran utama parti pembangkang yang dilihat tidak bermaya dan hanya popular di kawasan tradisi mereka sahaja walhal masih banyak lagi kawasan yang belum mampu ditawan hati dan undi. Meskipun PAS adalah musuh tradisi UMNO dari awal kemerdekaan sehingga sekarang.

Kita melihat perkara ini terjadi tidak lain kerana mereka sebenarnya diragui bakat dan kepimpinanan mereka selama ini sehingga tidak pernah memperolehi undi majoriti semua rakyat sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan Persekutuan sendiri.. Meskipun pernah menjalinkan kerjasama antara pembangkang melalui Barisan Alternatif selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1999 yang lalu.

Slogan kepimpinan Ulama sekadar modal iklan pilihan raya yang telah berjaya sekian lama menjadi teras kejayaan mereka. Namun dengan suasana sekarang mereka merasa perlu mengubah imej jika ingin meneruskan agenda ke peringkat Nasional. Dan tidak sedikit yang telah menonjolkan sikap terbuka bagi meyakinkan semua bahawa PAS ialah parti yang terbuka dan tidak tertumpu untuk umat Islam sahaja…Penerimaan bukan Islam amat penting kerana sejarah pilihanraya yang lalu menunjukkan bahawa DAP menang besar di peringkat Parlimen berbanding parti lain kerana mereka menunjukkan ketegasan menolak idea Negara Islam cadangan PAS.

Masyarakat tidak menolak Islam tetapi menolak perlaksanaan yang tidak tepat pada masa dan suasana sehingga menggerunkan bukan penganutnya untuk melihat kebaikan Islam itu sendiri…Alasan propaganda dan putar belit berita satu isu kecil kerana keharuman Islam tidak dapat disekat jika betul perjuangan dan praktikal yang kita laksanakan. Islam terus berkembang meskipun di bawah pemerintahan bukan Islam asalkan Islam membawa bersama akhlak dan taqwa dalam setiap saat langkah dakwahnya. Biasanya golongan Islam yang berhikmah berjaya membawa Islam dalam diri keluarga dan tempat mereka berada meskipun di negara Komunis seperti China satu ketika dulu.

Firman Allah Taala : Mereka mahu memadam cahaya Allah namun Allah tidak mahu kecuali menyempurnakan cahayanya meskipun dibenci oleh kafirun ( yang menentang )

Kita mengetahui bahawa dalam kaedah berdakwah tentu tidak dapat kita menggunakan paksaan dan juga menakutkan bukan Islam dengan berbagai jenis hukuman sedangkan masih banyak lagi aspek lain yang boleh diketengahkan bagi memikat mereka seperti mana yang telah kerajaan laksanakan menerusi perbankan Islam. Hingga kini hampir kesemua bank mempunyai kaunter perbankan Islam mereka sendiri sehingga ramai juga bukan Islam memilih menggunakan akaun tersebut yang jelas tidak mengandungi unsur riba dan gharar di dalam urusan mereka.

Jika dilihat sejarah kita tahu bahawa ulama adalah penasihat kepada pemerintah.. Mereka bukan alat kepada pemerintah tetapi penasihat yang memiliki kehebatan tersendiri. Masih ramai ulama pewaris SEBENAR Nabi menjadi penasihat kepada pemerintah di mana mana tempat di seluruh dunia dengan penglibatan mereka disembunyikan sesuai dengan gelaran mereka Al Akhfiya Al Atqiya Al Asfiya yang tidak disedari ketika hadir dan tidak dirasa ketika kepergian mereka.

Kebuntuan negara selalunya memerlukan ulama pewaris ini kerana mereka sahaja yang memiliki ilham dan kurniaan bagi mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

Mereka sebenarnya tidak sibuk membawa slogan parti sendiri atau memburuk-burukkan pihak lawan. Juga tidak bercita-cita menjadi ketua atau Pemimpin kerana mereka ingin redha Allah Taala yang lebih utama. Kerana tugas ulama bukan menjadi pemerintah tetapi memerintah dengan nasihat yang baik ( Basyiran ) dan peringatan dan ancaman ( Naziran ) bagi sesiapa yang ingkar dari mengikut arahan dan perintah Allah Taala ..tiada jawatan tidak bererti tugas dakwah mereka akan terhenti.

Jika kita lihat Nabi Sulaiman menjadi pemerintah dengan adil selepas mengambil alih kepimpinan dari ayahanda Nabi Daud… Talut juga menjadi pemerintah. Nabi Muhammad s.a.w juga menjadi ketua negara. Namun semua itu datang bukan dengan mencari atau melobi bagi merebut jawatan tetapi selepas masyarakat yang telah faham Islam meminta mereka menjadi ketua negara dan pemerintah kerana keadilan mereka menenangkan semua lapisan dan golongan termasuk bukan Islam. Kekuasaan itu datang bila Islam telah difahami sepenuhnya dan dilihat berjaya mengubah akhlak dan peradaban umat di ketika itu..Dan Allah lah yang membuka pintu hati rakyat memilih pemimpin mereka…

Ingatlah Sesiapa yang menginginkan jawatan itulah yang tidak akan layak memikulnya seperti kisah Sahabat bernama Abu Zar Al Ghifari ketika meminta jawatan di salah satu negeri taklukan kerajaan Islam …namun tidak diberikan sehingga akhir hayatnya.

Ingat lagi bagaimana Melaka telah berubah berkat kedatangan ulama pewaris Nabi di mana beliau datang dengan niat suci ingin mengajak umat menyembah Allah Taala dan meninggalkan selainnya. Dengan izin Allah Taala maka seluruh Melaka telah berubah bila Sultan telah berjaya dipikat hatinya menjadi penganut agama sehingga Melaka telah muncul menjadi negara yang terbilang ketika itu dan dituju semua bangsa dan agama…Ulama tersebut tidak datang merebut kekuasaan tetapi melembutkan hati Raja yang memerintah agar tunduk kepada Allah Taala dan beriman dengan-Nya.

Situasi sekarang menjadikan UMNO terpaksa meletakkan ahli agama sebagai calon kerana ingin memberi saingan yang sama dan seimbang bagi menghadapi tentangan PAS…Jika tidak tentu majoriti sukar diperolehi di negeri yang meletakkan ahli agama sebagai calon menentang kerajaan Barisan Nasional.

Namun kegigihan ahli agama bersemangant politik ini menjadikan krisis moral di negara kita masih di tahap yang belum pulih sepenuhnya. Mereka mudah menuding kepada kerajaan sedangkan kerajaan memerlukan sokongan dari akar umbi mencegah perkara ini..Di mana letaknya peranan ustaz dan ustazah dalam mendidik masyarakat jika dari awal lagi mereka sudah ditolak kerana perbezaan idea politik menjadikan perpecahan timbul di tempat mereka berada… Mereka amat disokong jika sama ideologi dan dibenci jika berbeza sama sekali.

Penerapan idea ulama berpolitik memburukan suasana sehingga kita dapati di peringkat universiti lagi samada dalam atau luar negera sudah ada gerakan tidak rasmi merekrut minda dan fizikal pelajar tersebut bagi menjadi pelapis kepimpinan politik dari kalangan ahli agama. Sedangkan waktu belajar tersebut patut diguna bagi menimba ilmu dan membanyakkan amal bagi menjernihkan hati sehingga mampu menyinari kegelapan hati umat ahli zamannya.

Jadi, bila masanya para ahli agama yang memiliki sedikit ilmu dan amal itu untuk bersinar terang menerangi alam yang kelam ini? Bila mereka akan dihormati jika ada pihak yang sudah berani menolak mereka kerana taksub yang amat tentang politik? Adakah umat menolak ulama atau ular dalam semak yang sentiasa berbisa dalam mematuk ?

Peranan pewaris Nabi sepatutnya menjadi penyatu antara yang bertelagah dan bukannya memecahkan perpaduan antara yang sudah aman dalam kemerdekaan. Mereka kena bersikap sederhana dan menjadi rujukan antara mana mana parti agar masyarakat tidak akan selamanya berpecah dan bertelingkah sesama bangsa dan agama.

Marilah sempena pilihan raya ini kita cuba memberi sokongan kepada mereka yang telah berjaya menguruskan kerajaan dari awal kemerdekaan sehingga sekarang. Kerana perpaduan antara umat Islam penting bagi membolehkan rakyat menentukan keamanan dan kestabilan akan berkekalan sehingga sempat dihirup sisanya oleh generasi kita akan datang. Lupakan kerusi kerana jika kita memiliki ilmu dan amal yang tinggi tentu tidak ada sebab Umara ( pentadbir ) akan meminggirkan kira melainkan kita sendiri yang mencipta alasana bagi membolehkan kita merebut jawatan seperti insan lain yang tidak berkesempatan mempelajari ilmu agama dengan mendalam….

Pena Biasa

14 Feb 2008

Categories: Politik Malaysia
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s