Home > Politik Malaysia > ‘Rakyat Kelantan puas hati’ kata bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat

‘Rakyat Kelantan puas hati’ kata bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat

Di bawah ini petikan dari Berita Harian bertarikh 14 Feb 2008 dari bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat ( memandangkan Parlimen Kelantan sudah dibubar semalam )

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan janji Barisan Nasional (BN) membawa pembangunan yang rancak di negeri ini jika diberi mandat pada pilihan raya umum kelak sebagai menghina rakyat Kelantan.Menteri Besar itu berkata, janji pembangunan yang dibawa BN itu menjadikan rakyat negeri ini sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli.“Pembangunan yang dibawa ke negeri ini adalah sogokan yang menunjukkan pemimpin BN sama ada sedar atau tidak, sudah menghina rakyat Kelantan.

“Dia (BN) meletak rakyat Kelantan macam lembu, kerbau atau macam ayam atau itik yang boleh dijual beli. Program Pas selalunya tak dijanji, apa yang kami buat tak pernah dijanji.

“Saya yakin (menang), tiada sebab rakyat Kelantan tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat kerana apa yang kami buat selama ini, kadang-kadang tak pernah disebut,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan memberitahu pemberita di kediaman rasminya di sini, selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan serentak dengan pembubaran Parlimen, semalam.

Nik Abdul Aziz yakin Pas mengekalkan mandat pada pilihan raya umum akan datang walaupun mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi semua wakil rakyatnya di negeri ini.

“Apa yang kami buat selama ini berhasil membawa ketenteraman hidup antara kaum di Kelantan. Macam projek ladang rakyat dan skim kifalah, ia bukan janji,” katanya.

Beliau yakin rakyat Kelantan tidak akan terpengaruh dengan sogokan pembangunan yang dijanjikan BN kerana akan lebih berpuas hati apabila mengundi Pas yang memperjuangkan Islam.

Mengenai harapannya pada pilihan raya nanti, beliau berharap Pas terus berkuasa di Kelantan tetapi tetap mahukan suara pembangkang dalam DUN bagi memberikan teguran terhadap kerajaan negeri.

“Kalau boleh sapu bersih, (tetapi) saya tak suka juga sapu bersih… tak ada orang tegur. Pengalaman saya (Pas) masuk BN dulu, jadi lengang dan kosong, nak tegur macam mana sebab sesama kawan, perlu ada pembangkang tetapi jangan sampai menyusahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pas di Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, ia sudah siap dan pemerintahan Pas sebelum ini juga adalah manifesto parti itu.

Beliau enggan mengulas mengenai pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi menegaskan perbincangan dua parti itu sudah mencapai kesepakatan.

Ditanya sama ada beliau akan membenarkan anaknya, Nik Mohd Abduh bertanding kerusi DUN di Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, beliau mahu peluang itu diberikan kepada orang lain yang lebih layak.

____________________________________________________________________________________

‘Pena Biasa’ tertarik dengan dakwaan bahawa janji pembangunan oleh pihak UMNO untuk merancakkan pembangunan di negeri Kelantan sebagai satu tindakan menjadikan rakyat Kelantan sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli. Mungkin selaku rakyat Kelantan Datuk Nik Aziz ada hak untuk merasa demikian kerana selama ini pembangunan di Kelantan dilihat tidaklah begitu rancak kerana berlainan ideologi dan parti…

Ia juga seolah-olah satu sindiran kepada pihak PAS yang telah lama memerintah di negeri tersebut namun tidak berupaya membawa pembangunan yang rancak sehingga janji pembangunan yang rancak telah mengguris hati pemimpin tertinggi negeri Kelantan itu. Ia semestinya menyinggung hati seorang insan yang telah berusia dan sekian lama menjaga negeri Kelantan yang dirasa telah banyak membangun di bawah pimpinannya. Walaupun penulis merasa ia juga bukanlah kehendak beliau tetapi desakan dari pucuk pimpinan parti yang tidak mahu calon lain yang tidak berkaliber menduduki kerusi penting itu yang hanya dimiliki di Kelantan sahaja.

Fakta menarik tentang Kelantan yang kita semua telah maklum ialah kebanyakan penduduknya telah ramai keluar dari desa dan kampung menuju bandar bandar besar untuk mencari nafkah di sana.. Sudah semestinya mereka meninggalkan ibubapa dan sanak saudara yang setia di kampung untuk memastikan tahap kehidupan mereka akan terjamin di luar sana…Pemergian mereka dapat dilihat tatkala masa perayaan tiba di mana berbondong-bondong kenderaan berbagai jenis dan darjat pulang ke kampung untuk meluangkan masa menziarah ibubapa dan sanak saudara di sana.

Kebanyakan mereka yang berada di luar dari kalangan intelektual dan cendikiawan atau yang berkelulusan tinggi. Kesusahan hidup semasa kecil memotivasikan mereka untuk terus berusaha dengan gigih bagi mendapatkan keselesaan hidup menerusi pekerjaan yang mendatangkan gaji yang lumayan…

Tidak kurang juga yang bercita cita tinggi ingin mengubah nasib diri dengan mencari sumber pendapatan yang lumayan di kilang-kilang yang begitu banyak di Lembah Klang atau bandar seumpamanya di luar Kelantan.

Ini tidak bererti di Kelantan langsung tiada pekerjaan tetapi nisbahnya tidak begitu banyak berbanding di luar Kelantan..

Justeru, apabila saat pilihanraya tiba, hanya yang betul-betul ingin mengubah nasib politik sahaja yang berminat meredah perjalanan jauh antara 9-10 jam melalui jalan yang tidak serata dan seselesa lebuh raya , mengorbankan minyak dan penat serta bersedia merangkak-rangkak di celah himpitan kenderaan yang turut sama ingin pulang menunaikan kewajipan beraya sekali dalam tempoh 4 – 5 tahun…

Mereka ini bilangannya tidak begitu ramai kerana mereka sedar bahawa politik itu berpeluang menukar pemerintahan samada dari UMNO kepada PAS atau sebaliknya. Alhamdulillah sudah beberapa penggal PAS dipilih ( walaupun dakwaan SPR tidak adil terus diperkata ) dan mereka juga sudah merasa bagaimana empuknya kerusi di kota pentadbiran Darul Naim itu dan sudah menikmati ketinggian pujian dan sanjungan dari sekelian rakyat jelata….Walaupun mereka juga terpaksa berdepan dengan UMNO yang sentiasa mengintai kesilapan dan kelemahan pentadbiran mereka. Kali ini saat memilih tiba lagi dengan rakyat akan menjadi hakim menentukan siapakah yang akan menjadi taruhan kepimpinan untuk penggal yang akan datang di Kelantan dan Malaysia seluruhnya..

Antara ucapan Datuk Nik Aziz Nik Mat lagi ;

“Dia (BN) meletak rakyat Kelantan macam lembu, kerbau atau macam ayam atau itik yang boleh dijual beli. Program Pas selalunya tak dijanji, apa yang kami buat tak pernah dijanji.”

Jika benar kenyataan ini , ‘pena biasa’ merasa tidak ada guna kempen pilihanraya diadakan…Jika proses pengundian itu didahului dengan kempen selama 2 minggu tentu ia bukan waktu memacak bendera dan berseronok di warung kopi sahaja. Tentu ia menjadi waktu penting bagi setiap parti memperkenalkan calon masing-masing dan memberitahu apakah yang dijanjikan dan akan cuba dilaksanakan jika diberi peluang untuk memerintah pada penggal yang akan datang.

Tempoh kempen amat penting kerana setiap parti akan mengeluarkan Manifesto Pilihanraya yang mengandungi janji-janji yang akan dilaksanakan dalam penggal pemerintahan berikutnya. Barisan Alternatif dan Barisan Nasional masing masing memiliki buku janjinya yang tersendiri bagi memberi keyakinan kepada rakyat agar memberi peluang kepada mereka menjadi wakil mereka. Justeru berjanji adalah lumrah dan tidak menjadikan rakyat Kelantan seolah-olah dihina oleh mereka yang berjanji. Yang hina ialah bila janji tidak ditepati atau tidak mampu melaksanakan apa yang telah dijanji kerana kelemahan pentadbiran dan sebagainya.

Janji satu perkara besar di dalam Islam…Berjanji bermakna kita akan mengotakan apa jua janji yang diucapkan. Kecuali ada halangan besar yang tidak membolehkan janji tersebut dilaksanakan. Bukan berjanji dan berazam menipu dengan janji yang diberikan. Kerana Allah itu tidak ada sesuatupun yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya meskipun sekilas niat di hati manusia yang tidak bersuara dan didengari oleh sesiapa….

Yang penting dakwaan menghina rakyat Kelantan ini mesti diucapkan dengan hati-hati. Kerana kita bimbang ketokohan Datuk Nik Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS tercalar dengan dakwaan bahawa UMNO telah menghina rakyat Kelantan. Sedangkan beliau sendiri yang selalu berkata ; jika diberi gula kacau, kain pakai, lembu sembelih …Apakah apa yang ‘dihulur’ itu bukan satu bantuan yang diperlukan oleh rakyat Kelantan? tentu ia diperlukan kerana pembangunan memerlukan jalinan kerjasama yang erat di antara dua kerajaan iaitu Negeri dan Pusat.

Pemberian kepada rakyat adalah tugas kerajaan memerintah bagi memastikan mereka akan diingati dengan kebaikan dan kebajikan semasa pemerintahan mereka. Tiada kerajaan yang tidak ingin membantu rakyatnya selagi mana ia masih dalam kemampuan dan kawalan mereka. Semakin banyak rakyat menerima  tentu semakin banyak mereka akan bersyukur atas limpahan kurniaan yang diberikan oleh pihak yang menerima amanah memerintah kerajaan..

Ibarat otak dan anggota badan yang akan bertindak mengikut arahan otak jika isyarat dihantar dari tempat yang sama bukannya dari pusat kawalan yang berbeza.

Sudah semestinya masa sudah tiba bagi kita semua melihat pula apakah yang boleh dibawa oleh Barisan Nasional di Kelantan…Apakah ia setanding dengan limpahan kemakmuran di Terangganu yang sudah pesat membangun dan meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi? atau apakah Kelantan akan kembali memiliki disko disko dan pusat judi serta rumah urut jika Barisan Nasional menjadi teraju utama negeri? Atau akan meriah dengan program pendidikan dan pembangunan ?

Rasanya dengan slogan dan perlaksanaan Islam Hadhari, kita boleh meletakkan sedikit harapan kepada Barisan Nasional agar berkekalan menjaga keutuhan agama yang majoriti penduduk dari bangsa Melayu yang Islam luarannya.(moga dalaman pun sama ).. Tentu kita telah melihat kesungguhan Pak Lah memerah keringat dan idea untuk merealisasikan impian Islam Hadhari berjaya di semua peringkat dan negeri di Malaysia…Bagilah peluang kepada Barisan Nasional menerajui sepenggal yang berikutnya kerana kita sudah melihat gaya pentadbiran kerajaan Pusat sekarang yang sudah jauh bezanya dengan nada dahulu yang agak menekan dan meminggirkan negeri dan rakyat Kelantan.

Meskipun tidak berjaya dalam pilihanraya, PAS tetap boleh menjadi pembangkang samada dari dalam Dewan Negeri atau luar menerusi ceramah politik, agama , media cetak dan sebagainya. Mereka tetap boleh memberi idea dan teguran dengan penuh hikmah dan berkias agar tiada hati yang akan terasa dengan teguran yang diberikan. Kerana tentunya ketinggian adab itu melambangkan kesucian hati yang lahir dari ketakwaan dan keimanan seseorang. PAS yang sarat dengan ilmu-ilmu tentang Islam tentu dapat menyalurkan idea membangun ummah melalui dakwah yang terancang yang TIDAK akan berhenti sekiranya mereka tidak lagi menjadi wakil rakyat atau pemimpin pentadbiran negeri ..

Moga siapa pun yang dipilih adalah yang terpilih antara pilihan dan calon yang semuanya tidak akan dipilih kecuali dengan izin ALlah Taala…Kita yakin sesiapa yang menjadi pilihan nanti ada kebaikannya yang hanya diketahui dengan tepat oleh Allah akan hikmahnya. Kerana calon yang amanah dan ikhlas dari apa jua parti akan melekat di hati rakyat dan menjadi pilihan serta taruhan bagi pemerintahan untuk penggal akan datang…

Marilah kita Istikharah…..solat dua rakaat memohon siapakah yang akan menjadi payung yang akan menahan kita dari panahan matahari dan kesengsaraan hidup di era moden dan harga melambung tinggi.. Kita mohon yang terbaik akan naik menjadi wakil kepada suara rakyat. Kita harap keamanan dan kestabilan akan berkekalan di Malaysia dan dunia semuanya. Amin

Categories: Politik Malaysia
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s