Archive

Archive for February, 2008

Doa pilihanraya, doa yang disalahguna!

24,February 2008 Leave a comment

Nabi s.a.w dalam misi dakwahnya mengajak kaum musyrikin Mekah selalu menggunakan pendekatan hikmah dan kelembutan di dalam misinya. Nabi Musa yang sangat bengis pun diperintah untuk menggunakan perkataan lembut ketika bertemu denga sejahat-jahat manusia iaitu Firaun… ” Katakanlah ( wahai Musa dan Harun ) kepada dia ( Firaun ) perkataan yang lembut moga moga dia akan ingat atau takut…Surah Toha : 44

Di situ Allah menunjukkan seorang manusia yang tinggi tarafnya sebagai Nabi dan Rasul yang tergolong dalam golongan Ulul Azmi telah diperintahkan bersama saudarnya Nabi Harun untuk bertemu sejahat-jahat manusia yang pernah lahir di bumi hingga mendakwa dirinya Tuhan hingga dimasukkan kisahnya dalam Al Quran dan diulang-ulang ; untuk menjelaskan banyak perkara.

Antaranya ialah ALlah sifat Rahmat tidak menggunakan pendekatan kasar dalam memberi peringatan atau menakutkan hamba-Nya.. Meskipun ia seorang yang amat amat jahat dan tidak menyembah ALlah dan mengesakan-Nya.

Namun kita lihat PAS tidak sealim Nabi Musa atau setaraf dengan baginda, dan UMNO tidak pula seteruk firaun sehingga layak diletak dalam golongan kafir dan keluar dari agama, tetapi pendekatan PAS jelas sekali tidak selari dengan hujah yang dikemukakan Al Quran.

Mereka mengikut hawa nafsu bukan peringatan Al Quran dalam berdakwah sehingga kita dapat lihat politik kebencian berleluasa di Malaysia.

Meskipun sekarang masih terkawal namun sampai bila kita harus berdiam diri melihat satu persatu kemungkaran PAS dalam menjadi pendakwah dan pentadbir bagi membangunkan umat Islam di negara kita khususnya.

UMNO selalu diserang dan dikritik hingga membawa kepada datuk Pak Lah yang dikaitkan dengan golongan Badawi yang hanya pandai menjaga ternakan di padang pasir dan tidak berpendidikan. Itulah politik PAS dan itulah imej Islam yang digambarkan oleh PAS.

Doa pilihanraya yang disiarkan dalam tranungkite di alamat berikut : http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=6790

menarik perhatian saya di mana segala keburukan dipohon agar musuh PAS akan menderita dan ditimpa bencana seperti

Doa yang sepatutnya dihalakan kepada bukan Islam telah dihalakan muncungnya kepada musuh PAS yang tidak lain iaitu UMNO…

Mungkin PAS akan berkata siapa makan cili akan terasa pedasnya, tetapi realitinya ialah selain DAP MCA MIC dan parti komponen BN, UMNO adalah antara musuh PAS yang mana dicap sebagai parti sekular dan tidak Islam serta kafir lantaran tidak mahu menggunakan hukum hudud dalam perundangan negara.

Pembaca boleh berfikir sendiri apakah yang patut dibuat ketika memilih nanti kerana kita rasa sudah banyak kesilapan PAS yang dibuat berbanding kebetulan yang dilakukannya selama ini samada sebagai Parti atau Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu satu ketika dahulu.

Kita rasa perlu disedarkan semua bahawa PAS hanya menyebabkan Islam semakin hilang harumnya. Makin sirna dan makin kelam dalam pandangan bukan Islam.

Akhir sekali, kebaikan tidak bererti boleh menutup kejahatan jika kejahatan sudah memenuhi timbangan dan lebih berat dari kebaikan itu sendiri.

Doa ialah senjata mukmin, bukan muslim yang tidak akan berkesan senjatanya kerana masalah hati yang masih berkarat dan gelap dari cahaya Tuhan.

Wallahu A’lam wa ana Ajhal….

oleh : Pena Biasa

Advertisements
Categories: Blog Agama Tags: , , ,

SPR menipu – PRESIDEN PAS

23,February 2008 Leave a comment

Di KUALA LUMPUR, Pas membantah langkah SPR memperkenalkan peraturan baru pada saat akhir dengan mewajibkan semua calon mengemukakan Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) dengan duti setem pada hari penamaan calon.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa apa yang dilaksanakan itu jelas menunjukkan SPR ingin memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada pilihan raya umum kali ini.

“Perkara ini jelas menunjukkan SPR terbabit sama dalam menjalankan penipuan dalam pilihan raya ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata, arahan yang dikeluarkan pada saat akhir ternyata menyukarkan calon yang bakal bertanding dan sebagai badan yang ditubuhkan kerajaan setiap peraturan baru sepatutnya diumumkan sejurus Parlimen dibubarkan dan bukan pada saat akhir penamaan calon.

Bagaimanapun, katanya, Barisan Alternatif (BA) akan mengambil sikap untuk tidak memulaukan pilihan raya, sebaliknya menentang secara habis-habisan.

“Kami memberi amaran kepada SPR sekiranya terdapat bukti kezaliman disebabkan masalah teknikal yang dibuat suruhanjaya itu, kami akan tentang sehingga pilihan raya tamat,” katanya.

Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, peraturan baru itu akan memberikan kesukaran kepada pembangkang terutama bagi negeri yang cuti umum jatuh pada hari Jumaat.

“Kalau ada kes pencalonan ditolak disebabkan masalah teknikal ini, kami akan ‘mengamuk’ dan menentang,” katanya sambil menyifatkan pilihan raya umum kali ini sebagai yang paling kotor di Malaysia.

—————————————————————————————————————————

Pena biasa menyifatkan tindakan menuduh SPR menipu dan menyusahkan oleh PAS serta menggugut akan mengamuk jika pencalonan ditolak jelas menunjukkan kelemahan PAS yang sudah awal lagi ingin menunjukkan belangnya jika ditolak dalam pencalonan yang akan bermula pagi ini Ahad 24 Feb 2008.

Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu mungkin tidak sedar bahawa BN pernah ditolak pencalonannya pada PRU 2004 di DUN Senggarang akibat kesilapan mengisi borang hingga membolehkan PAS memenangi kawasan tersebut dengan percuma. Adakah di situ satu penipuan juga oleh SPR ?

Macam macam reaksi PAS apabila peraturan ini dilaksanakan dengan umum melihat PAS sudah merasai tekanan meskipun UMNO dan BN juga tidak kurang menghadapi tentangan dan bantahan dari rakyat ketika mana calon pilihan mereka tidak dikekalkan dan digugur dengan diganti oleh calon baru yang mungkin tidak menepati selera mereka pada pemilihan kali ini…

Isu terbaru berkaitan Husam yang dilaporkan menyuruh mendoakan musibah bagi pengundi yang berkonvoi pulang ke Kelantan bagi mengundi UMNO juga menampakkan lagi sifat tidak beretika PAS yang tidak ingin memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan mereka dengan bebas tanpa ditekan oleh mana mana pihak. Tindakan berdoa namun meminta musibah sesama saudara seagama ibarat meminum penawar dan racun pada masa yang sama. Ia boleh menjadi doa yang akan kembali kepada yang berdoa sendiri kerana setiap doa itu akan diamin oleh malaikat yang berkata : kamu pun seperti apa yang didoakan.

Kadang-kadang adalah lebih baik diam dari membuang masa melihat ‘lawak bodoh ‘ PAS yang semakin ditolak oleh rakyat walaupun ada juga yang tidak sedar mereka telah menyokong parti yang tidak akan membawa apa apa kepada agama melainkan permusuhan dan perbalahan sesama umat yang tentu tidak diredhai Allah dan Rasulullah serta sekelian orang soleh di mana sahaja mereka berada.

Jangan kerana politik dan sedikit kekuasaan menyebabkan agama kita menjadi mangsa keadaan…Fikirlah dengan tenang!

Categories: Politik Malaysia Tags: , ,

Pas janji benarkan demonstrasi jalanan – Presiden PAS Datuk Seri Hj Hadi Awang

19,February 2008 Leave a comment

KANGAR: Pas berjanji akan membenarkan orang ramai mengadakan bantahan melalui demonstrasi jalanan jika parti itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini dan dapat membentuk kerajaan.Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak akan menghalang demonstrasi jalanan kerana Pas mahu membentuk apa yang didakwanya kerajaan yang mengamalkan demokrasi sebenar.

Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa menghalang tunjuk perasaan atau demonstrasi jalanan tidak mencerminkan amalan demokrasi.

Abdul Hadi berkata, kerajaan demokrasi sebenar harus memberi kelonggaran kepada rakyat menyuarakan bantahan.

“Malah, amalan sedemikian juga memberi peluang kepada kerajaan membetulkan kesilapan.

“Jika tuduhan dibuat tidak betul, maka kerajaan perlu jawab. Kalau tidak, kerajaan tak akan tahu silap sendiri,” katanya dalam ceramahnya di sini, malam kelmarin.

Ceramah itu diadakan sempena kempen ‘Gelombang Kuning, Semarak Hijau’. Hadir sama, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din dan Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin.

Beliau mendakwa amalan demokrasi diamalkan Barisan Nasional (BN) tidak betul kerana bukan seperti di Amerika Syarikat yang membenarkan rakyatnya melakukan tunjuk perasaan walaupun di depan bangunan Rumah Putih.

“Ini bukan demokrasi yang betul. Apa salahnya buat demonstrasi? Bukannya dia orang bakar kereta, kalau bakar, ambil tindakan,” katanya.

Selain pembentukan negara demokrasi, Abdul Hadi turut menyentuh janji pembangkang itu untuk menubuhkan negara kebajikan yang didakwa gagal dilakukan BN.

Sementara itu, Abdul Hadi mengulangi hasratnya untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas yang menjadi kubu kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya memang berminat bertanding di Kepala Batas, tapi saya tak tahulah kalau PM nak lari ke kawasan lain pula,” katanya.

‘ Pena Biasa ‘ hanya mampu menggeleng kepala dan tersenyum membaca dan melihat kenyataan PRESIDEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA yang didaftar sebagai satu parti yang sah bertanding di Malaysia. Dengan kedudukan yang tertinggi di dalam hieraki parti yang mendakwa amat Islam dan komited , tentu kenyataan di atas tidak sesuai diungkapkan. Walhal mereka juga yang beria-ia menghalang dan memboikot barang-barang dari Amerika Syarikat. Namun atas tujuan menghalalkan tindakan tentu sekali ia tidak mengapa walaupun terpaksa menjilat kembali ludah yang dihambur sebelum ini. Datuk Seri Hj Hadi Awang nampaknya menyukai demokrasi di Amerika Syarikat yang difikirkannya menyokong kebebasan bersuara di kalangan rakyat. Dan juga membawa maksud bahawa perbuatan PAS adalah Islam sebenar dan tiada yang lebih Islam selain PAS…Walaupun mereka berdemontrasi di jalan hingga menyusahkan mana mana pihak yang berkaitan.

Dalam keriuhan dan kesibukan mengundi dan meraih undi serta berkempen tentu sekali semua pihak terlibat akan mengemukakan hujah dan fakta bagi memperlihatkan kepada pengundi bahawa parti mereka yang patut menjadi pilihan. Dalam keghairan ini tentu kadang-kadang ia menjalar dan melangkaui sempadan dan batasan yang dibenarkan kerajaan atau Islam. Ia disengaja atau dibuat buat tidak sengaja asalkan ia dapat menutup sebarang kelemahan atau kesilapan pihak yang terlibat. Akhir sekali rakyat akan menilai dan pemenang ialah mereka yang dapat meraih keyakinan dan undian rakyat samada ia terhasil dari tipu daya atau perang saraf dan sebagainya.

Kita percaya demonstrasi adalah satu perbuatan yang hanya menyusahkan. Tidak ada demonstrasi yang berakhir dengan aman jika ia sudah melibatkan ribuan peserta dan diprovokasi oleh pihak tertentu. Sukar keamanan dikekalkan jika demonstrasi menjadi mainan harian rakyat. Kegiatan mereka yang tidak terlibat dan berminat dengan demonstrasi akan terencat dan tentu juga sekali gus menutup peluang menjalankan kegiatan harian dengan bebas dan aman. Lebih lebih lagi para peniaga yang bergantung kepada pelanggan di dalam menjana keuntungan. Tentu tiada jawapan ya jika ditanya adakah mereka akan bersetuju dengan tindakan demonstrasi jalanan seperti mana yang diadakan sekarang samada dari parti politik atau Badan bukan Kerajaan ( NGO ).

Sentiasa ada pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas kemakmuran dan keamana negara kita. Tentu sekali tidak sedikit yang cuba menangguk di air yang keruh jika mereka dapati ada peluang terbuka luas di depan mata. Tindakan menghimpunkan ribuan manusia dan menunjuk perasaan tanpa ada kawalan akan menarik minat pengkhianat negara mencetuskan huru hara. Dalam zaman canggih sekarang, berita seumpama itu tentu menjadi tawaran menarika bagi melariskan serta memburukkan imej dan maruah negara di peringkat antarabangsa. Ibarat pergaduhan antara anak dibawa ke luar rumah hingga mencetuskan pandangan serong masyarakat tentu akan menyebabkan ibu bapa akan merasa terhina dan malu dengan tindakan anak mereka. Adakah itu yang mereka ingin lakukan dengan mencemar nama negara agar mereka akan mendapat sokongan undian dari rakyat ?

Cakap ingin menmbenarkan demonstrasi adalah cakap retorik semata-mata yang boleh jadi membuka hati pengundi menyokong atau menolak terus undi kepada mereka. Tindakan itu boleh menjadi senjata membunuh atau senjata makan tuan jika ia tidak dijaga bersungguh-sungguh. Kesan dari kenyataan itu amat teruk sekali sekarang apatah lagi jika dilaksanakan nanti jika PAS dipilih menjadi kerajaan memerintah Malaysia. Kerana bukan sebarang orang yang bercakap tetapi seorang yang amat tinggi dalam kedudukan sebuah parti Islam yang dikenali ramai di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tentu sekali jumlah peserta berdemontrasi akan menunjukkan dengan jelas berapa ramai yang sudah benci atau muak dengan kepimpinan masa sekarang yang dikata telah menyalahgunakan kuasa, menipu dan rasuah, dan lain lain lagi. Itulah sebabnya PAS dengan jelas ingin mendorong rakyat Malaysia agar menyokong mereka jika ingin mengadakan demonstrasi jalanan secara mingguan atau bulanan. Mereka boleh menggunakan undi bagi menolak BN yang sering menolak permohonan rakyat untuk berdemonstrasi walhal rakyat juga yang menjadi akan menanggung kesannya nanti jika demonstrasi diadakan seperti di negara jiran sehingga menyebabkan ketakutan dan kebimbangan di kalangan rakyat jelata lantaran aktiviti demonstrasi jalanan yang sering diadakan.

Macam macam lagi kita telah dan akan dengar kenyataan dari pemimpin bertaraf Ulama ini yang kita pun tidak pasti ulama dari golongan mana yang sebenarnya mereka ini. Kerana ulama pewaris Nabi tidak ada yang menyuruh ke arah demonstrasi atau huru hara bahkan merekalah yang menahan dari kekacauan dan kezaliman dengan memberi ilmu dan Hikmah kepada muridnya dengan harapan mereka akan menjadi alim yang takutkan Allah Taala dari pujian manusia. Yang susah mendengar kata kata nista dari mereka. Yang kuat amalannya hingga suka mendoakan musuhnya…Yang membalas kejahatan dengan kebaikan. Yang merasa amat berdosa bukan menjadi penjaga syurga… Yang amat suka kedamaian dan perpaduan …. Siap mencabar dan bersemuka dalam pilihanraya nanti meskipun tidak diketahui adakah betul cabarannya itu atau sekadar menunjuk jaguh di depan penyokong?

Moga pilihanraya kali ini yang terakhir bagi PAS dan dengan harapan agar PAS tidak lagi menjatuhkan hukuman sendiri kepada UMNO dan menjadikan mereka sebagai rakan yang perlu didekati bukan lawan yang perlu dimusuhi.

Moga Islam tidak akan tercemar dengan perbuatan pendusta dari ahlinya…. Moga imej Islam tidak layu di sebalik kekeringan iman dan kepanasan amalan ilmuan kita di akhir zaman ini. Moga Islam tetap unggul di tangan ahli yang sebenar-benar pewaris para Nabi a.s.. Amin Ya Rabb

Alasan kekalahan tanda kelemahan PAS menghadapi UMNO

16,February 2008 Leave a comment

Orang yang bagus dan berkebolehan tentu tidak akan mengaku kalah dan mencipta alasan demi alasan bagi menutup kekurangan atau kelemahan dirinya. Dia akan mencari jalan mencapai kejayaan bukan memberi seribu satu alasan di atas kegagalan.

Sifat rendah hati yang berlawan dengan ketinggian diri atau takabur adalah mengakui kesalahan dan kesilapan. Bukan mempertahankan segala apa jua yang dilakukannya. Dia akan mengaku dan membaiki kelemahan diri.

Seperti kisah Nabi Adam a.s yang membuat kesalahan lalu mengakui kekesalannya dan memohon ampun atas keterlanjuran lalu jadilah dia orang pertama melakukan kesalahan namun yang PERTAMA memohon taubat di atas kesalahan yang dilakukannya. Berulang kali serta berterusan usahanya memohon ampun kepada Allah atas kesilapan. Yang mana hikmah di sebalik itu ialah manusia mula tinggal di bumi yang menjadi tempat mereka menumpahkan darah dan menguruskan alam dengan menjadi hamba ALlah yang baik atau terpesong dari jalan yang benar sehingga ada yang menjadi hamba yang tidak baik kepada ALlah dengan menyembah selain-Nya.

PAS setiap kali pilihanraya memberi berbagai alasan bagi menutup kesalahan atau kesilapan politik mereka. Dengan alasan tersebut mereka merasa ia boleh menampakkan mereka terus gah dan hebat di kaca mata penyokong dan pendokongnya. Antara alasan mereka :

1. PAS tidak diberi peluang di media utama negara untuk menjelaskan agenda dan fahaman mereka

Ini bagi penulis adalah alasan sahaja yang sudah jarang didengar sekarang ini. Mungkin faktor ini diatasi dengan pembangunan internet dan teknologi GPRS, SMS, MMS dan lain-lain lagi yang memudahkan usaha menyebarkan fikrah mereka dengan cepat dan berkesan. Tambahan pula pengguna internet di Malaysia sekarang sehingga September 2006, pengguna internet di Malaysia adalah seramai lebih 11 juta orang! Kira-kira 40% peratus jumlah penduduk.

Peratusan pengguna internet di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia selepas Hong Kong, Jepun, Korea, Singapura dan Taiwan.

Bahkan kita boleh katakan bahawa pengguna internet adalah golongan yang celik IT dan bukan dari golongan biasa. Tentu mereka yang menggunakan internet ini amat berkesan dalam menjadi tapak menyebarkan pengaruh PAS menjalar ke segenap lapisan masyarakat.

Bagaimanapun kita tetap mendengar PAS memberi alasan tiada ruang diberikan kepada mereka…

2. SPR menjadi alat pemerintah

Ini juga alasan yang tidak kukuh bagi menutup alasan kekalahan mereka. Bagaimana pilihanraya 1999 menjadi bukti jelas bahawa mereka boleh menang dengan begitu banyak sekali bahkan hampir menyapu bersih semua tempat di Kelantan, Terangganu serta Kedah dan juga Selangor. Sentimen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat menaikkan kemarahan rakyat hingga mereka benar benar menolak kerajaan BN walaupun ia juga telah diubah ketika PRU 2004 yang lalu dengan kemunculan Pak Lah sebagai pemimpin BN yang terkenal dengan gelaran MR Clean selama ini…

Jika benar SPR menjadi alat tentu PAS tidak akan merasa langsung kerusi DUN dan PARLIMEN dan juga peluang memerintah di Kelantan dan Terangganu sebelum ini. Jadi di manakah rasional SPR menjadi kambing hitam dalam isu menutup kekalahan PAS di dalam pilihanraya umum sebelum ini?

Isu pengundi hantu juga dikaitkan dan digembar-gembur walhal kemenangan mereka tetap diterima dengan lapang dada di dalam kekecohan pengundi hantu yang saban kali timbul isunya di dalam detik menjelang pilihanraya…

3. UMNO memberi rasuah jutaan ringgit kepada rakyat

Ini juga satu slogan mengaburkan mata rakyat. Memberi bantuan menggunakan peruntukan kerajaan dikatakan sebagai rasuah pilihanraya. Adakah kenaikan gaji sebelum ini dikategorikan sebagai rasuah juga? jika benar rasuah tentu tidak halal mereka yang mengikut fatwa politik ini untuk memberi makan anak isteri mereka dari hasil kenaikan gaji ini.

Kerajaan di dalam tempoh berkempen adalah kerajaan sementara dan mereka tetap mendapat peluang menggunakan jentera kerajaan kerana penggal pemerintahan belum tamat sepenuhnya lagi. Tidak salah mereka menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan kerana jika tidak tentu mudah sahaja bagi pihak tertentu untuk mengambil peluang mencedera atau mengganggu pihak pentadbiran negara sehingga tidak mustahil ada nyawa yang akan melayan….Kabinet sementara sementara menunggu kabinet baru adalah sah dan mempunyai peruntukan sewajarnya bagi memudahakan urusan mereka sementara menunggu kabinet baru dibentuk selepas pilihanraya.

Sebarang peruntukan atau bantuan adalah mengikut kaedah dan cara yang diguna pakai bagi kelulusannya bukan diguna sebarangan untuk meraih undi rakyat….Bantuan adalah dari kutipan cukai rakyat dan dikembalikan kepada rakyat ketika pilihanraya atau selepasnya….Tidak timbul isu rasuah kerana yang menikmatinya adalah rakyat sendiri yang berhak menerimanya setelah menepati ciri ciri atau kriteria yang diperlukan.

4. Permit tidak diberikan kepada PAS memberi ceramah

Jika benar isu ini tentu kita tidak akan melihat poster ceramah bertebaran merata-rata di kubu kuat PAS selama ini. Tentu tiada juga aktiviti perniagaan VCD politik yang amat laris setiap kali ceramah umum diadakan. Tentu tiada langsung permit akan diberikan kepada PAS lantaran bukan parti pro kerajaan. Namun pihak berkuasa lagi arif dan teliti dalam memberi permit berdasarkan situasi terkini bukan cenderung kepada mana mana parti….Mereka mementingkan keselamatan dan ketenteraman awam melebihi cita-cita politik mana mana pihak.

Ada lagi alasan PAS namun rasanya tidak perlulah dipanjangkan lagi isu ini…kerana alasan akan sentiasa muncul dari mulut yang mahu menjadikan alasan make up terbaik menutup sebarang kekurangannya……

Categories: Politik Malaysia

Kena tunggu perkenan Agong- PM

14,February 2008 Leave a comment


Itulah jawapan PM tatkala ditanya tentang penafian beliau dan juga pembubaran Parlimen yang nampaknya seolah-olah bertentangan antara satu sama lain semalam. Selang sehari terus kita digemparkan dengan pembubaran Parlimen sedangkan sehari sebelumnya terdapat penafian tentang perkara tersebut oleh Pak Lah.

Ketika pembangkang sedang giat mengaitkan Pak Lah dengan tuduhan menipu ( walhal mereka belum mendengar penjelasan Pak Lah ) maka kita dapat melihat begitu cepat tuduhan dan cercaan mereka ditujukan kepada PM ( sementara ) sekarang. Patukan berbisa sudah berjalan merata rata agar ramai yang akan ‘mati’ dengan patukan tadi bagi mengurangkan gangguan dalam beraya tidak lama lagi…

Berbagai tajuk digunakan dalam berbagai laman web pro pembangkang untuk mengutuk Pak Lah yang tidak makan dipatuk….Sehingga dikatakan sebagai Munafik Besar seperti mana yang tercatat di dalam Harakahdaily tarikh 14 Feb 2008 waktu 8 : 54 : 09. MYT….Artikel yang disiarkan menunjukkan web pro PAS itu terang-terangan menggunakan kata kata tidak beradab dan menjatuhkan maruah serta peribadi pemimpin negara yang sudah banyak jasanya sejak menjadi ahli politik dan pentadbir untuk negara Malaysia…

Bayangkan jika cercaan dan kritikan tersebut diletak ke atas muka ayah kita tentu terus menyirap api kemarahan kita lantaran kebiadapan penulis yang sesuka hati menghambur gelaran dan mengaitkannya dengan peribadi seorang pemimpin yang kebetulan cucu kepada seorang ulama terkemuka tanah air. Inikah sikap seorang rakyat yang menggelarkan dirinya dengan gelaran ‘ketua perusuh’ di dalam membalas segala jasa seorang negarawan yang berjasa di atas kemajuan dan kestabilan negara dengan meletakkan gelaran sebegitu rupa? Adakah tidak ada lagi ruang menunggu penjelasan Pak Lah rasional pembubaran tersebut?

Jika begini artikel yang dipapar dengan bangganya di dalam harakah daily tentu kita merasa tertanya-tanya adakah akhbar rasmi PAS yang mendakwa membawa Islam yang dizahirkan itu betul betul meresap di dalam hati atau sekadar mainan mulut bagi meraih simpati? Adakah Islam itu menjadi agama yang dianut atau sekadar alat menipu rakyat agar mendapat sedikit kedudukan atau kuasa bagi menjadi orang ternama? Adakah parti ini yang akan kita sokong di dalam pilihanraya akan datang? Apakah kopiah dan janggut serta serban dan alunan ayat quran akan menutup kejahatan perkataan yang dilemparkan kepada pemimpin negara? Apakah keuntungan mereka berbuat demikian? Adakah ada orang yang mengguna kan agama untuk menipu?

Ini salah satu contoh artikel yang cuba dijadikan contoh dasar dan perlaksanaan Islam Hadharah ( seperti mana yang dibetulkan oleh Hj Hadi ) yang dibawa oleh PAS. Ia sekadar contoh imej PAS yang sedang menggunakan agama sebagai modal politik mereka sehingga Islam hanya pada PAS dan PAS itu Islam. Selain PAS bukan Islam atau Islam Munafik seperti kata kata para pemimpin PAS dan diulang kembali oleh rakyat pengikut mereka.

Jika orang Jahil agama menerima, kita pasti di sana masih ada yang tidak bersetuju dan akan melawan segala dakyah dan mainan politik murahan seperti itu dari merebak. Mereka semua pasti tidak sabar lagi menggerakkan pena menulis dan menyerang kembali sengatan berbisa agar kaum awam di negara kita tidak akan selamanya terpedaya dengan tipu daya mereka. Meskipun menggunakan tenaga dan masa tentu ia berbaloi bagi menyekat fahaman bahawa Islam itu hanya pada parti berlambangkan bulan sahaja dan tidak ada dalam parti berlambang keris…Sedangkan Islam jauh dari mana mana parti dan tersendiri merentasi parti, ideologi dan bangsa……

Ketika tiada isu yang kuat bagi meraih sokongan rakyat sekaran ini, kita dapati mereka telah menggunakan isu penafian dan pembubaran Parlimen itu untuk mengaitkan Pak Lah dengan imej menipu atau putar belit. Dengan sendirinya mereka cuba mengatakan bahawa Pak Lah dan Islam Hadhari gagasannya tidak mampu menjadi pilihan rakyat bagi meneruskan agenda pemerintahan pada penggal akan datang..

Entahlah apa yang menjadi pemikiran utama parti pembangkang yang dilihat tidak bermaya dan hanya popular di kawasan tradisi mereka sahaja walhal masih banyak lagi kawasan yang belum mampu ditawan hati dan undi. Meskipun PAS adalah musuh tradisi UMNO dari awal kemerdekaan sehingga sekarang.

Kita melihat perkara ini terjadi tidak lain kerana mereka sebenarnya diragui bakat dan kepimpinanan mereka selama ini sehingga tidak pernah memperolehi undi majoriti semua rakyat sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan Persekutuan sendiri.. Meskipun pernah menjalinkan kerjasama antara pembangkang melalui Barisan Alternatif selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan pada tahun 1999 yang lalu.

Slogan kepimpinan Ulama sekadar modal iklan pilihan raya yang telah berjaya sekian lama menjadi teras kejayaan mereka. Namun dengan suasana sekarang mereka merasa perlu mengubah imej jika ingin meneruskan agenda ke peringkat Nasional. Dan tidak sedikit yang telah menonjolkan sikap terbuka bagi meyakinkan semua bahawa PAS ialah parti yang terbuka dan tidak tertumpu untuk umat Islam sahaja…Penerimaan bukan Islam amat penting kerana sejarah pilihanraya yang lalu menunjukkan bahawa DAP menang besar di peringkat Parlimen berbanding parti lain kerana mereka menunjukkan ketegasan menolak idea Negara Islam cadangan PAS.

Masyarakat tidak menolak Islam tetapi menolak perlaksanaan yang tidak tepat pada masa dan suasana sehingga menggerunkan bukan penganutnya untuk melihat kebaikan Islam itu sendiri…Alasan propaganda dan putar belit berita satu isu kecil kerana keharuman Islam tidak dapat disekat jika betul perjuangan dan praktikal yang kita laksanakan. Islam terus berkembang meskipun di bawah pemerintahan bukan Islam asalkan Islam membawa bersama akhlak dan taqwa dalam setiap saat langkah dakwahnya. Biasanya golongan Islam yang berhikmah berjaya membawa Islam dalam diri keluarga dan tempat mereka berada meskipun di negara Komunis seperti China satu ketika dulu.

Firman Allah Taala : Mereka mahu memadam cahaya Allah namun Allah tidak mahu kecuali menyempurnakan cahayanya meskipun dibenci oleh kafirun ( yang menentang )

Kita mengetahui bahawa dalam kaedah berdakwah tentu tidak dapat kita menggunakan paksaan dan juga menakutkan bukan Islam dengan berbagai jenis hukuman sedangkan masih banyak lagi aspek lain yang boleh diketengahkan bagi memikat mereka seperti mana yang telah kerajaan laksanakan menerusi perbankan Islam. Hingga kini hampir kesemua bank mempunyai kaunter perbankan Islam mereka sendiri sehingga ramai juga bukan Islam memilih menggunakan akaun tersebut yang jelas tidak mengandungi unsur riba dan gharar di dalam urusan mereka.

Jika dilihat sejarah kita tahu bahawa ulama adalah penasihat kepada pemerintah.. Mereka bukan alat kepada pemerintah tetapi penasihat yang memiliki kehebatan tersendiri. Masih ramai ulama pewaris SEBENAR Nabi menjadi penasihat kepada pemerintah di mana mana tempat di seluruh dunia dengan penglibatan mereka disembunyikan sesuai dengan gelaran mereka Al Akhfiya Al Atqiya Al Asfiya yang tidak disedari ketika hadir dan tidak dirasa ketika kepergian mereka.

Kebuntuan negara selalunya memerlukan ulama pewaris ini kerana mereka sahaja yang memiliki ilham dan kurniaan bagi mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

Mereka sebenarnya tidak sibuk membawa slogan parti sendiri atau memburuk-burukkan pihak lawan. Juga tidak bercita-cita menjadi ketua atau Pemimpin kerana mereka ingin redha Allah Taala yang lebih utama. Kerana tugas ulama bukan menjadi pemerintah tetapi memerintah dengan nasihat yang baik ( Basyiran ) dan peringatan dan ancaman ( Naziran ) bagi sesiapa yang ingkar dari mengikut arahan dan perintah Allah Taala ..tiada jawatan tidak bererti tugas dakwah mereka akan terhenti.

Jika kita lihat Nabi Sulaiman menjadi pemerintah dengan adil selepas mengambil alih kepimpinan dari ayahanda Nabi Daud… Talut juga menjadi pemerintah. Nabi Muhammad s.a.w juga menjadi ketua negara. Namun semua itu datang bukan dengan mencari atau melobi bagi merebut jawatan tetapi selepas masyarakat yang telah faham Islam meminta mereka menjadi ketua negara dan pemerintah kerana keadilan mereka menenangkan semua lapisan dan golongan termasuk bukan Islam. Kekuasaan itu datang bila Islam telah difahami sepenuhnya dan dilihat berjaya mengubah akhlak dan peradaban umat di ketika itu..Dan Allah lah yang membuka pintu hati rakyat memilih pemimpin mereka…

Ingatlah Sesiapa yang menginginkan jawatan itulah yang tidak akan layak memikulnya seperti kisah Sahabat bernama Abu Zar Al Ghifari ketika meminta jawatan di salah satu negeri taklukan kerajaan Islam …namun tidak diberikan sehingga akhir hayatnya.

Ingat lagi bagaimana Melaka telah berubah berkat kedatangan ulama pewaris Nabi di mana beliau datang dengan niat suci ingin mengajak umat menyembah Allah Taala dan meninggalkan selainnya. Dengan izin Allah Taala maka seluruh Melaka telah berubah bila Sultan telah berjaya dipikat hatinya menjadi penganut agama sehingga Melaka telah muncul menjadi negara yang terbilang ketika itu dan dituju semua bangsa dan agama…Ulama tersebut tidak datang merebut kekuasaan tetapi melembutkan hati Raja yang memerintah agar tunduk kepada Allah Taala dan beriman dengan-Nya.

Situasi sekarang menjadikan UMNO terpaksa meletakkan ahli agama sebagai calon kerana ingin memberi saingan yang sama dan seimbang bagi menghadapi tentangan PAS…Jika tidak tentu majoriti sukar diperolehi di negeri yang meletakkan ahli agama sebagai calon menentang kerajaan Barisan Nasional.

Namun kegigihan ahli agama bersemangant politik ini menjadikan krisis moral di negara kita masih di tahap yang belum pulih sepenuhnya. Mereka mudah menuding kepada kerajaan sedangkan kerajaan memerlukan sokongan dari akar umbi mencegah perkara ini..Di mana letaknya peranan ustaz dan ustazah dalam mendidik masyarakat jika dari awal lagi mereka sudah ditolak kerana perbezaan idea politik menjadikan perpecahan timbul di tempat mereka berada… Mereka amat disokong jika sama ideologi dan dibenci jika berbeza sama sekali.

Penerapan idea ulama berpolitik memburukan suasana sehingga kita dapati di peringkat universiti lagi samada dalam atau luar negera sudah ada gerakan tidak rasmi merekrut minda dan fizikal pelajar tersebut bagi menjadi pelapis kepimpinan politik dari kalangan ahli agama. Sedangkan waktu belajar tersebut patut diguna bagi menimba ilmu dan membanyakkan amal bagi menjernihkan hati sehingga mampu menyinari kegelapan hati umat ahli zamannya.

Jadi, bila masanya para ahli agama yang memiliki sedikit ilmu dan amal itu untuk bersinar terang menerangi alam yang kelam ini? Bila mereka akan dihormati jika ada pihak yang sudah berani menolak mereka kerana taksub yang amat tentang politik? Adakah umat menolak ulama atau ular dalam semak yang sentiasa berbisa dalam mematuk ?

Peranan pewaris Nabi sepatutnya menjadi penyatu antara yang bertelagah dan bukannya memecahkan perpaduan antara yang sudah aman dalam kemerdekaan. Mereka kena bersikap sederhana dan menjadi rujukan antara mana mana parti agar masyarakat tidak akan selamanya berpecah dan bertelingkah sesama bangsa dan agama.

Marilah sempena pilihan raya ini kita cuba memberi sokongan kepada mereka yang telah berjaya menguruskan kerajaan dari awal kemerdekaan sehingga sekarang. Kerana perpaduan antara umat Islam penting bagi membolehkan rakyat menentukan keamanan dan kestabilan akan berkekalan sehingga sempat dihirup sisanya oleh generasi kita akan datang. Lupakan kerusi kerana jika kita memiliki ilmu dan amal yang tinggi tentu tidak ada sebab Umara ( pentadbir ) akan meminggirkan kira melainkan kita sendiri yang mencipta alasana bagi membolehkan kita merebut jawatan seperti insan lain yang tidak berkesempatan mempelajari ilmu agama dengan mendalam….

Pena Biasa

14 Feb 2008

Categories: Politik Malaysia

‘Rakyat Kelantan puas hati’ kata bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat

14,February 2008 Leave a comment

Di bawah ini petikan dari Berita Harian bertarikh 14 Feb 2008 dari bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat ( memandangkan Parlimen Kelantan sudah dibubar semalam )

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan janji Barisan Nasional (BN) membawa pembangunan yang rancak di negeri ini jika diberi mandat pada pilihan raya umum kelak sebagai menghina rakyat Kelantan.Menteri Besar itu berkata, janji pembangunan yang dibawa BN itu menjadikan rakyat negeri ini sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli.“Pembangunan yang dibawa ke negeri ini adalah sogokan yang menunjukkan pemimpin BN sama ada sedar atau tidak, sudah menghina rakyat Kelantan.

“Dia (BN) meletak rakyat Kelantan macam lembu, kerbau atau macam ayam atau itik yang boleh dijual beli. Program Pas selalunya tak dijanji, apa yang kami buat tak pernah dijanji.

“Saya yakin (menang), tiada sebab rakyat Kelantan tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat kerana apa yang kami buat selama ini, kadang-kadang tak pernah disebut,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan memberitahu pemberita di kediaman rasminya di sini, selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan serentak dengan pembubaran Parlimen, semalam.

Nik Abdul Aziz yakin Pas mengekalkan mandat pada pilihan raya umum akan datang walaupun mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi semua wakil rakyatnya di negeri ini.

“Apa yang kami buat selama ini berhasil membawa ketenteraman hidup antara kaum di Kelantan. Macam projek ladang rakyat dan skim kifalah, ia bukan janji,” katanya.

Beliau yakin rakyat Kelantan tidak akan terpengaruh dengan sogokan pembangunan yang dijanjikan BN kerana akan lebih berpuas hati apabila mengundi Pas yang memperjuangkan Islam.

Mengenai harapannya pada pilihan raya nanti, beliau berharap Pas terus berkuasa di Kelantan tetapi tetap mahukan suara pembangkang dalam DUN bagi memberikan teguran terhadap kerajaan negeri.

“Kalau boleh sapu bersih, (tetapi) saya tak suka juga sapu bersih… tak ada orang tegur. Pengalaman saya (Pas) masuk BN dulu, jadi lengang dan kosong, nak tegur macam mana sebab sesama kawan, perlu ada pembangkang tetapi jangan sampai menyusahkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pas di Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, ia sudah siap dan pemerintahan Pas sebelum ini juga adalah manifesto parti itu.

Beliau enggan mengulas mengenai pembahagian kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi menegaskan perbincangan dua parti itu sudah mencapai kesepakatan.

Ditanya sama ada beliau akan membenarkan anaknya, Nik Mohd Abduh bertanding kerusi DUN di Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, beliau mahu peluang itu diberikan kepada orang lain yang lebih layak.

____________________________________________________________________________________

‘Pena Biasa’ tertarik dengan dakwaan bahawa janji pembangunan oleh pihak UMNO untuk merancakkan pembangunan di negeri Kelantan sebagai satu tindakan menjadikan rakyat Kelantan sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli. Mungkin selaku rakyat Kelantan Datuk Nik Aziz ada hak untuk merasa demikian kerana selama ini pembangunan di Kelantan dilihat tidaklah begitu rancak kerana berlainan ideologi dan parti…

Ia juga seolah-olah satu sindiran kepada pihak PAS yang telah lama memerintah di negeri tersebut namun tidak berupaya membawa pembangunan yang rancak sehingga janji pembangunan yang rancak telah mengguris hati pemimpin tertinggi negeri Kelantan itu. Ia semestinya menyinggung hati seorang insan yang telah berusia dan sekian lama menjaga negeri Kelantan yang dirasa telah banyak membangun di bawah pimpinannya. Walaupun penulis merasa ia juga bukanlah kehendak beliau tetapi desakan dari pucuk pimpinan parti yang tidak mahu calon lain yang tidak berkaliber menduduki kerusi penting itu yang hanya dimiliki di Kelantan sahaja.

Fakta menarik tentang Kelantan yang kita semua telah maklum ialah kebanyakan penduduknya telah ramai keluar dari desa dan kampung menuju bandar bandar besar untuk mencari nafkah di sana.. Sudah semestinya mereka meninggalkan ibubapa dan sanak saudara yang setia di kampung untuk memastikan tahap kehidupan mereka akan terjamin di luar sana…Pemergian mereka dapat dilihat tatkala masa perayaan tiba di mana berbondong-bondong kenderaan berbagai jenis dan darjat pulang ke kampung untuk meluangkan masa menziarah ibubapa dan sanak saudara di sana.

Kebanyakan mereka yang berada di luar dari kalangan intelektual dan cendikiawan atau yang berkelulusan tinggi. Kesusahan hidup semasa kecil memotivasikan mereka untuk terus berusaha dengan gigih bagi mendapatkan keselesaan hidup menerusi pekerjaan yang mendatangkan gaji yang lumayan…

Tidak kurang juga yang bercita cita tinggi ingin mengubah nasib diri dengan mencari sumber pendapatan yang lumayan di kilang-kilang yang begitu banyak di Lembah Klang atau bandar seumpamanya di luar Kelantan.

Ini tidak bererti di Kelantan langsung tiada pekerjaan tetapi nisbahnya tidak begitu banyak berbanding di luar Kelantan..

Justeru, apabila saat pilihanraya tiba, hanya yang betul-betul ingin mengubah nasib politik sahaja yang berminat meredah perjalanan jauh antara 9-10 jam melalui jalan yang tidak serata dan seselesa lebuh raya , mengorbankan minyak dan penat serta bersedia merangkak-rangkak di celah himpitan kenderaan yang turut sama ingin pulang menunaikan kewajipan beraya sekali dalam tempoh 4 – 5 tahun…

Mereka ini bilangannya tidak begitu ramai kerana mereka sedar bahawa politik itu berpeluang menukar pemerintahan samada dari UMNO kepada PAS atau sebaliknya. Alhamdulillah sudah beberapa penggal PAS dipilih ( walaupun dakwaan SPR tidak adil terus diperkata ) dan mereka juga sudah merasa bagaimana empuknya kerusi di kota pentadbiran Darul Naim itu dan sudah menikmati ketinggian pujian dan sanjungan dari sekelian rakyat jelata….Walaupun mereka juga terpaksa berdepan dengan UMNO yang sentiasa mengintai kesilapan dan kelemahan pentadbiran mereka. Kali ini saat memilih tiba lagi dengan rakyat akan menjadi hakim menentukan siapakah yang akan menjadi taruhan kepimpinan untuk penggal yang akan datang di Kelantan dan Malaysia seluruhnya..

Antara ucapan Datuk Nik Aziz Nik Mat lagi ;

“Dia (BN) meletak rakyat Kelantan macam lembu, kerbau atau macam ayam atau itik yang boleh dijual beli. Program Pas selalunya tak dijanji, apa yang kami buat tak pernah dijanji.”

Jika benar kenyataan ini , ‘pena biasa’ merasa tidak ada guna kempen pilihanraya diadakan…Jika proses pengundian itu didahului dengan kempen selama 2 minggu tentu ia bukan waktu memacak bendera dan berseronok di warung kopi sahaja. Tentu ia menjadi waktu penting bagi setiap parti memperkenalkan calon masing-masing dan memberitahu apakah yang dijanjikan dan akan cuba dilaksanakan jika diberi peluang untuk memerintah pada penggal yang akan datang.

Tempoh kempen amat penting kerana setiap parti akan mengeluarkan Manifesto Pilihanraya yang mengandungi janji-janji yang akan dilaksanakan dalam penggal pemerintahan berikutnya. Barisan Alternatif dan Barisan Nasional masing masing memiliki buku janjinya yang tersendiri bagi memberi keyakinan kepada rakyat agar memberi peluang kepada mereka menjadi wakil mereka. Justeru berjanji adalah lumrah dan tidak menjadikan rakyat Kelantan seolah-olah dihina oleh mereka yang berjanji. Yang hina ialah bila janji tidak ditepati atau tidak mampu melaksanakan apa yang telah dijanji kerana kelemahan pentadbiran dan sebagainya.

Janji satu perkara besar di dalam Islam…Berjanji bermakna kita akan mengotakan apa jua janji yang diucapkan. Kecuali ada halangan besar yang tidak membolehkan janji tersebut dilaksanakan. Bukan berjanji dan berazam menipu dengan janji yang diberikan. Kerana Allah itu tidak ada sesuatupun yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya meskipun sekilas niat di hati manusia yang tidak bersuara dan didengari oleh sesiapa….

Yang penting dakwaan menghina rakyat Kelantan ini mesti diucapkan dengan hati-hati. Kerana kita bimbang ketokohan Datuk Nik Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS tercalar dengan dakwaan bahawa UMNO telah menghina rakyat Kelantan. Sedangkan beliau sendiri yang selalu berkata ; jika diberi gula kacau, kain pakai, lembu sembelih …Apakah apa yang ‘dihulur’ itu bukan satu bantuan yang diperlukan oleh rakyat Kelantan? tentu ia diperlukan kerana pembangunan memerlukan jalinan kerjasama yang erat di antara dua kerajaan iaitu Negeri dan Pusat.

Pemberian kepada rakyat adalah tugas kerajaan memerintah bagi memastikan mereka akan diingati dengan kebaikan dan kebajikan semasa pemerintahan mereka. Tiada kerajaan yang tidak ingin membantu rakyatnya selagi mana ia masih dalam kemampuan dan kawalan mereka. Semakin banyak rakyat menerima  tentu semakin banyak mereka akan bersyukur atas limpahan kurniaan yang diberikan oleh pihak yang menerima amanah memerintah kerajaan..

Ibarat otak dan anggota badan yang akan bertindak mengikut arahan otak jika isyarat dihantar dari tempat yang sama bukannya dari pusat kawalan yang berbeza.

Sudah semestinya masa sudah tiba bagi kita semua melihat pula apakah yang boleh dibawa oleh Barisan Nasional di Kelantan…Apakah ia setanding dengan limpahan kemakmuran di Terangganu yang sudah pesat membangun dan meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi? atau apakah Kelantan akan kembali memiliki disko disko dan pusat judi serta rumah urut jika Barisan Nasional menjadi teraju utama negeri? Atau akan meriah dengan program pendidikan dan pembangunan ?

Rasanya dengan slogan dan perlaksanaan Islam Hadhari, kita boleh meletakkan sedikit harapan kepada Barisan Nasional agar berkekalan menjaga keutuhan agama yang majoriti penduduk dari bangsa Melayu yang Islam luarannya.(moga dalaman pun sama ).. Tentu kita telah melihat kesungguhan Pak Lah memerah keringat dan idea untuk merealisasikan impian Islam Hadhari berjaya di semua peringkat dan negeri di Malaysia…Bagilah peluang kepada Barisan Nasional menerajui sepenggal yang berikutnya kerana kita sudah melihat gaya pentadbiran kerajaan Pusat sekarang yang sudah jauh bezanya dengan nada dahulu yang agak menekan dan meminggirkan negeri dan rakyat Kelantan.

Meskipun tidak berjaya dalam pilihanraya, PAS tetap boleh menjadi pembangkang samada dari dalam Dewan Negeri atau luar menerusi ceramah politik, agama , media cetak dan sebagainya. Mereka tetap boleh memberi idea dan teguran dengan penuh hikmah dan berkias agar tiada hati yang akan terasa dengan teguran yang diberikan. Kerana tentunya ketinggian adab itu melambangkan kesucian hati yang lahir dari ketakwaan dan keimanan seseorang. PAS yang sarat dengan ilmu-ilmu tentang Islam tentu dapat menyalurkan idea membangun ummah melalui dakwah yang terancang yang TIDAK akan berhenti sekiranya mereka tidak lagi menjadi wakil rakyat atau pemimpin pentadbiran negeri ..

Moga siapa pun yang dipilih adalah yang terpilih antara pilihan dan calon yang semuanya tidak akan dipilih kecuali dengan izin ALlah Taala…Kita yakin sesiapa yang menjadi pilihan nanti ada kebaikannya yang hanya diketahui dengan tepat oleh Allah akan hikmahnya. Kerana calon yang amanah dan ikhlas dari apa jua parti akan melekat di hati rakyat dan menjadi pilihan serta taruhan bagi pemerintahan untuk penggal akan datang…

Marilah kita Istikharah…..solat dua rakaat memohon siapakah yang akan menjadi payung yang akan menahan kita dari panahan matahari dan kesengsaraan hidup di era moden dan harga melambung tinggi.. Kita mohon yang terbaik akan naik menjadi wakil kepada suara rakyat. Kita harap keamanan dan kestabilan akan berkekalan di Malaysia dan dunia semuanya. Amin

Categories: Politik Malaysia

Petikan blog Anwar Ibrahim, dan ulasan mengenainya…

13,February 2008 Leave a comment

Petikan dari web DSAI http://anwaribrahimblog.com/category/pilihanraya/

Pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi hari ini tidak mengejutkan, memandangkan bahawa kajian menunjukkan bahawa sokongan rakyat teramat rendah. Rakyat semakin dibebankan oleh kenaikkan harga, jenayah dan rasuah yang berleluasa, serta hubungan etnik yang semakin merosot. Semakin Barisan Nasional berlengah membubarkan Parlimen, semakin banyak kerusi akan tumbang.

Pilihanraya ini diisytiharkan lebih daripada setahun awal, semasa perayaan Tahun Baru Cina masih berterusan, dan sebulan sebelum saya dibenarkan bertanding. Menafikan hak saya untuk bertanding hanya mendedahkan bahawa prestasi pimpinan Barisan Nasional telah cukup parah sehingga mereka tidak sanggup mengambil sebarang risiko dalam pilihanraya akan datang ini.

KeADILan siap sedia untuk mengatasi segala rintangan, termasuk halangan akses ke media dan gangguan yang berterusan pada setiap acara umum. Calon-calon kami telah bertungkus lumus untuk mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional dan menyampaikan matlamat kami yang bersandarkan harapan baru untuk Malaysia.

Kami sudah lama bersiap-sedia menghadapi pilihanraya ini. Bersama dengan rakan-rakan pembangkang yang lain, kami bersedia untuk memulihkan prestasi Malaysia yang kian merosot dan membela hak dan nasib semua rakyat Malaysia.

———————————————————————————————————————–

‘Pena Biasa ‘ berpendapat kenyataan ini menunjukkan seolah olah DSAI amat hebat…Entahlah kenapa begitu tinggi sekali kehebatan DSAI sehingga tarikh pilihanraya ditentukan berdasar kepada faktor insan bernama Anwar Ibrahim..Tinggi sekali kasyafnya sehingga mampu menembusi hari nurani Pak Lah yang mana insan yang telah membebaskan beliau dari penjara. Mungkin kesakitan semasa ditahan telah hilang sehingga lupa kepada jasa PM yang sanggup mengambil risiko membebaskan beliau dari tahanan agar dapat hidup bebas seperti rakyat Malaysia yang lain…

Mungkin pepatah ‘ seperti melepaskan buaya tersepit ‘ ada relevannya dengan senario sekarang.

Kesombongan tidak membawa ke mana mana perjuangan kita. Kerendahan hati dan keikhlasan itulah penentu kepada apa jua perancangan dan tindakan yang kita lakukan…Meskipun di luar sana ribuan jutaan manusia mengingkarinya.

Kita sepatutnya berterima kasih kepada orang yang telah berjasa membebaskan kita dari penjara..Meskipun beliau boleh memberikan seribu satu alasan membenarkan penahannya di dalam sana.

Namun, fakta ini tidak berupaya membuka pintu hati manusia yang kuat menyokong kepimpinan yang semakin pudar ditelan zaman.. Mereka berpaut di dahan yang tidak tahu bila akan patan dan rebah tersungkur di tanah. Mereka masih tenggelam di dalam keasyikan alam fantasi yang mudah dicipta sesiapa pun walau tiada apa apa di dalam poketnya untuk direalisasi.

Banyak hujah membenarkan tetapi ia ditutup agar imej kerajaan akan terus menjunam di kalangan rakyat…Mereka tidak akan memuji dan memberi pandangan positif jika usaha itu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional. Seolah olah nama parti perikatan itu yang berlambangkan neraca atau dacing sudah tidak ada gahnya di pandangan dan pendengaran rakyat jelata. Itulah matlamat dan selagi mereka mampu pasti usaha meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional akan giat dilakukan.

Penulis terbaca kisah di zaman Suharto yang mana mereka telah dilimpahi kebajikan..Tetapi lantaran terpengaruh dengan gerakan reformasi maka mereka telah menjatuhkan dan menjadikan Pak Harto tertekan sehingga membawa kepada perletakan jawatan.

Selepas itu kita dapat lihat suasana kucar kacir di merata rata tempat. Kita melihat semakin banyak keruntuhan dari natijah kejatuhan Pak Suharto. Dakwaan rasuah, kroni dan berbagai bagai lagi dikatakan telah banyak berlaku di zaman pemerintahan Pak Harto. Namun adakah mereka sekarang telah bahagia? adakah kebajikan selepas kejatuhan lebih baik daripada sebelumnya? adakah waktu kekacauan ketika itu mampu diundur kembali hingga boleh menghasilkan sesuatu yang berguna untukkepentingan negara ?

Ada orang berkata, jika kita mahu ke hadapan, pandanglah ke belakang….maknanya sesuatu sejarah itu membawa pengertian mendalam yang harus dihadam untuk langkah kita di masa akan datang.

Tulisan ‘pena biasa’ ini bukan diupah atau disuruh oleh mana mana pihak…Namun bertujuan memberi gambaran yang terhasil di fikiran agar kita dapat memilih pihak mana yang boleh melakukan tugas penting memacu kegemilangan negara menjadi satu negara contoh dan maju di masa akan datang. Sukar dibayang jika huru hara berlaku di negara kita sehingga pihak luar akan bertandang menjaga keamanan atas mandat Persatuan dunia seperti PBB dan sebagainya.

Jangan sesekali menang sorak namun kampung tergadai…

Tidak bermakna jika pendapat anda bertentangan menjadikan anda hina di sisi TUhan…fikir dan zikirlah untuk penglihatan yang terang dalam menjawab kebuntuan di akhri zaman yang amat kelam ini.

Categories: Politik Malaysia