Archive for April 17th, 2008

Najib pembawa zaman gelap

Hishamuddin Rais | Apr 16, 08 2:44pm Malaysia Kini
Dr Mahathir Mohamad telah memerangkap Tengku Razaleigh Hamzah  membuka tirai – dengan mesyuarat agung tergempar – untuk mengetepikan Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk entah ke berapa kali Razaleigh telah dijadikan batu loncatan oleh Dr Mahathir. Razaleigh mewakili politik lama, politik era Tunku Abdul Rahman – politik the British clubby gentleman – yang menuntut setiap kata dikotakan.

Era dan zaman itu telah lama selesai. Kita sekarang dalam era peralihan dari zaman gelap ke zaman cerah. Bahayanya,  Dr Mahathir inginkan kita rakyat Malaysia kembali ke zaman gelap, ke zaman ketakutan dan ke zaman autokrasi.

Justeru, Dr Mahathir sedang merancang untuk menobatkan Mohd Najib Razak.

Sayugia, perlu kita berwaspada dan mengetahui kenapa bekas perdana menteri itu memilih Najib? Kita wajib memahami sebab-musababnya agar kita semua akan bersedia menghadapi zaman gelap yang mahu dibawa oleh timbalan perdana menteri ini.

Kenapa Mahathir kini bermati-matian, dengan licik lagi penuh tipu muslihat sedang merancang untuk menaikkan Najib?

Malah minggu lalu media arus perdana juga ‘terjerat’ dengan tipu helah Dr Mahathir apabila melaporkan Najib bukan lagi satu pilihan.

Kenyataan Dr Mahathir ini bertujuan menaikkan syahwat Razaleigh dan Muhyiddin Yassin agar mereka terus berkomplot menentang perdana menteri.

Sebenarnya perkembangan ini suatu tipu helah jenis Si Kitul.

(Siapa Kitul? Sila rujuk Sejarah Melayu, kitab naratif kesejarahan lisan orang-orang Melayu Melaka. Kita merujuk Sejarah Melayu untuk melihat yang lampau, memahami yang kini dan pedoman masa hadapan)

Untuk memahami siapa Najib, kita melihat dan memahami kembali bagaimana Dr Mahathir memilih menteri-menteri kabinet dan para running dog (baca dengan maksud sastera) yang mengelilinginya.

Mahathir dengan selesa akan memilih orang-orang yang dikelilingi masalah besar. Lebih besar masalah itu lebih baik untuk Mahathir.

Contohnya Abdul Rahim Thamby Chik – dengan isu cinta berahi anak gadis bawah umur – menjadi orang kepercayaan Dr Mahathir. Arwah Megat Junid Ayub – dikaitkan dengan kematian wanita pemilik kedai video – menjadi pembantu dan menteri setia Dr Mahathir. Shahidan Kassim, terlibat dengan kemasukan beras ke Perlis, dijadikan menteri besar Dr Mahathir yang setia.

Dr Rais Yatim, seketul mayat politik, telah diberikan nafas oleh Dr Mahathir sehingga sanggup meminum air basuh kaki Dr Mahathir yang pada suatu ketika dahulu dikutuknya.

Rafidah Aziz si tukang lipat terlibat dalam agihan AP (permit kenderaan import), manakala tukang lipat spesies jantannya pula Nazri Aziz yang tersangkut dengan 600 permit teksi.

Mereka ini menteri setia dalam kabinet Mahathir. Mereka ini akan terus menderam dan melolong jika ada sesiapa yang cuba menghampiri Dr Mahathir.

Lihat pula badan kehakiman dan badan kepolisan yang dirasuk rasuah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aktiviti rasuah ini dibiarkan oleh Dr Mahathir kerana si perasuah ini akan terus bersetia kepada Dr Mahathir.

Apa sangkut-paut semua ini dengan Najib?

Najib bersarang di lubuk semua rasuah. Najib ibu kepada semua masalah. Najib terkait dengan keterangan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Dakwaan ini bukan lagi tohmahan – di mahkamah, seorang saksi dari Mongolia telah menerangkan bahawa Najib Razak pernah berjumpa dengan Altantuya.

Najib lebih daripada seketul mayat politik berbanding Rais Yatim. Najib lebih banyak menyondol daripada Rahim. Najib berjuta-juta kali menerima rasuah daripada Rafidah dan Nazri.

Manusia seperti Najib ini adalah “model” (bukan model wanita) yang terbaik dalam bacaan politik Dr Mahathir. Manusia Najib ini boleh menjadi running dog (sekali lagi, baca dengan maksud sastera) yang paling setia kepada Dr Mahathir.

Dalam congak politik orang tua itu, Najib akan meneruskan dinastinya – sesudah Najib akan dimasukkan Hishamuddin Hussein, si penjulang keris yang lidahnya belum sanggup menjelir panjang. Akhirnya, Mukhriz Mahathir akan muncul.

Pada ketika ini si Mukhriz sedang belajar menyerang dengan salakan-salakan kecil menghala ke arah Abdullah Ahmad Badawi. Mukhriz inilah klon asli yang dicita-citakan oleh Dr Mahathir.

Jadi siapa sebenarnya Najib?

Najib Razak pembawa zaman gelap dalam budaya politik Malaysia. Najib akan memadamkan semua lampu-lampu pencerahan yang baru ingin menyala di Malaysia.

Dari segi pembudayaan, Najib pasti akan ingin lebih Islam daripada PAS, lebih lebai daripada Lebai Kulup.

Dengan latar belakang keilmuannya yang cetek, Najib demi membuktikan keislamannya akan melakukan apa sahaja yang ‘dianggapnya’ Islam.

Najib Razak yang tidak memahami inti dan falsafah Islam akan hanya berjaya melihat pinggiran dan kulitan Islam.

Ini bermakna Islam garapan Najib akan lebih kolot dan lebih menyusahkan hidup kita semua. Kulitan Islam ala Najib ini bukan lagi fenomena “jantan di barisan lain dan betina di barisan lain” – ia akan terjadi lebih daripada itu.

Keislaman Najib ini bukan hanya membuang patung-patung penyu seperti di Terengganu (dulu) tetapi akan lebih Islamik daripada itu.

Buktinya: Tiga tahun dahulu, ketika Hari Raya dan Deepavali berjalan serentak, seorang insan yang mengakui dirinya sebagai ‘ilmuwan Islam’ telah mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa orang Melayu-Islam tidak boleh berkongsi Deepavali dengan penganut Hindu.

Kenyataan yang kononnya fatwa ini telah disambut dan disokong oleh Najib. Hanya tiga hari kemudian fatwa karut ini telah disangkal oleh Abdullah Ahmad Badawi. Beginilah contoh Islam kapal selam.

Seorang insan yang terkait dalam keterangan kes mahkamah akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan bahawa dirinya lebih suci daripada Kaabah dan lebih putih dari sabun Breeze.

Sila ingat kembali kenyataan-kenyataan Najib beberapa bulan dahulu. Hujan tidak, guruh pun tidak, tiba-tiba Najib menjadi Lebai Najib telah mula mengeluarkan ayat-ayat Furqan untuk membuktikan dirinya lebih Islam daripada kapal selam.

Rasuah? Rasuah itu adalah nama timang-timangan dan nama manja  beliau.

Kalau polis menahan kita dan meminta baksheesh sepuluh dua puluh ringgit maka ini dianggap rasuah. Tetapi jika Najib membeli senjata, membeli kapal selam dan membeli jet pejuang – ini bukan rasuah, mengikut kitab Najib.

Duit berjuta-juta ini bukan duit rasuah tetapi mengikut fatwa Najib, jumlah ini wang komisen.

Inilah dia sosok yang sedang dirancang dan sedang diuli oleh Dr Mahathir untuk dijadikan perdana menteri.

Kenapa Dr Mahathir pilih Najib?

Dr Mahathir sendiri kepala perompak yang mewakili Daim Zainuddin dan sederetan lagi saudagar-saudagar besar. Ada ramai lagi lanun dan penjarah yang berpayung bawah Dr Mahathir. Mereka dengan bantuan kuasa Dr Mahathir telah merompak dan menjarah harta negara selama 22 tahun.

Seperti filem seram Rosemary Baby, semua orang yang diharap-harapkan memberikan bantuan rupa-rupanya sebahagian daripada jaringan lanun.

Polis, kehakiman, media, badan pencegah rasuah, imam-imam – semuanya bersekongkol.

Perompak dan lanun-lanun ini tahu jika era pencerahan yang dibawa oleh Abdullah Ahmad Badawi ini dapat diteruskan, mereka semua akan didakwa di mahkamah. Polis dan para hakim, politikus rasuah, dan sesiapa yang menyalahgunakan kuasa akan juga dihadapkan ke mahkamah.

Salah tanggapan jika kita percaya Dr Mahathir mahu Abdullah berundur kerana warisannya sedang dilupuskan. Menaikkan Najib tiada sangkut-paut dengan legacy. Salah bacaan politik jika menganggap bahawa Dr Mahathir lebih sayangkan United Malays National Organisation.

Dr Mahathir terlibat mengharamkan United Malays National Organisation yang asal. Sejuta kali silap jika menganggap bahawa Dr Mahathir berbuat semua ini untuk orang Melayu.

Dr Mahathir mahukan Najib kerana Najib akan menjadi seketul mayat politik dan tidak akan membuat sebarang dakwa-dakwi terhadap Dr Mahathir dan lanun-lanun yang lain.

Dua puluh dua tahun zaman ganas dan zaman gelap Dr Mahathir akan diteruskan oleh Najib.

Kepada sesiapa yang memiliki ilusi tentang Najib sebagai pilihan tepat Dr Mahathir, sila tanya diri sendiri: Sudah sampaikah masanya Malaysia menerima perdana menteri baru yang terkait dalam keterangan kes Mongolia? Apakah seseorang terkait boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia?

1 comment 17,April 2008

Faisal Tehrani menulis ; Bahasa Politik: PAS Sudah Kalah

15 April 2008


Saya hanya seorang pengarang. Ini pandangan saya. Seorang pengarang.

Mula-mula terima babi, akhirnya PAS akan memperakukan Lina Joy. Saya akan beritahu anda bagaimana ini bakal berlaku. Sila bersabar.

Ini pandangan saya. Seorang pengarang kecil. Bahasa politik melibatkan apa yang dinamai orang Jerman sebagai machtvorming iaitu menghimpun kekuasaan, dan machtaanwending iaitu menggunakan kekuasaan. Nah, suka? Saya juga boleh menggunakan jargon-jargon hebat dalam bahasa Jerman seperti Anwar Ibrahim, memandangkan seluruh dunia termasuk Jerusalem Post memuji beliau, maka saya wajar menjadikan beliau contoh. Sekadar contoh. Saya boleh membawa contoh pengguna jargon politik seperti pencipta kata ‘glokal’, tetapi macam tak relevan. Saya juga boleh menggunakan jargon bahasa Turki kalau mahu, tetapi ya, saya bukan orang politik.

Oleh kerana bahasa politik adalah menghimpun kekuasaan maka di Indonesia, sempena majlis memperingati 100 tahun Hamka saya boleh berkata begini, “Buku Buya Hamka, Tafsir Al Azhar menemani saya selama dua kali di penjara”.

Kemudian kerana saya lebih sastera daripada seluruh orang sastera di dunia ini saya akan berpesan pula dengan penuh kekudusan “Sastra itu baik, dan harus dimulai dari kecil.”

Hebat bukan cara saya memuja ulama besar Indonesia, Profesor Haji Abdul Malik Karim Amrullah alias Buya Hamka? (sila lihat TEMPO Interaktif Rabu, 09 April 2008). Saya beri saudara apa yang saudara mahu, saudara mahu Islam dan ulama? Saya beri. Dengan jargon hebat yang melongokan. Disuntik sedikit emosi: arghhh hari-hari lampau yang menyedihkan itu…

Jua oleh kerana bahasa politik ialah menggunakan kekuasaan, saya akan berkata begini pula di khalayak yang lain, katakanlah di Australia: “I see Shakespeare as a major figure of international and humanitarian dimension. In the solitude of my prison cell clearly Shakespeare appeared to me as a brilliant genius of all times and for all cultures. I am in debt to Shakespeare in that sense because I was able to fly away from that small constraint of those four walls during incarceration to become this major spectator of this classic work of that great genius.”

Begitu lah bunyi ‘keynote di VIII World Shakespeare Congress’ (Rujuk The VIII World Shakespeare Congress, Brisbane City Hall, July 16-21 2006)

Suka bukan? Kerana saudara mahu Barat, saya beri saudara seorang tokoh jenius Barat. Dan untuk lebih membikin hati sayu, saya suntik sedikit kesyahduan untuk membangkitkan keterharuan.

Latar sama. Tapi tema lain-lain. Bergantung apa yang saudara mahu dengar.

Begitulah bahasa yang saya gunakan. Orang akan terpana. Begitu bahasa politik. Untuk khalayak berbeza saya akan ‘temberang’ beza.

Bahasa politik beginilah yang akan memperdayakan PAS untuk mula-mula mempertahankan babi, akhirnya ya siapa tahu mungkin Salman Rushdie, opsss silap…Lina Joy. Bagaimana?

Bahasa politik. Ia adalah permainan politik. Lebih pragmatik bahasa itu, lebih indah karya seni itu. Dan lebih memukau pembaca. Lebih mempersona penganalisis. Rakyat? Damn you rakyat.

Apa yang telah berlaku selepas PRU 12? Penghargaan.

Begini, untuk memberi penghargaan dan ucapan terima kasih, kita mesti mendahulukan yang telah ‘memberi’, yakni yang telah meletakkan kita di ‘tempat kekuasaan’ (walaupun kata Fran, sekadar di pinggiran). Pengundi, dan ‘big boss’ yang ‘memberi’ ini harus diberi hadiah.

Perak telah beri. Pulau Pinang telah beri. Kemudian giliran Selangor.

Saya tidak kata salah hal ladang babi itu. Tidak salah, tambah-tambah kalau betul caranya. Pengikut Theresa Kok makan babi tiga ekor dalam kenduri kemenangan mereka pun saya tak marah. Makanlah. Makan sampai tercekik dan senak pun saya tak larang. Siapa pula marah. Siapalah saya. Harakah dan Timbalan Presiden PAS pun sokong ladang babi. Sampai sanggup pekak telinga rungutan dan rasa marah jijik PAS kawasan Sepang. Bukan begitu Dr Halimah? Tak akan tak ada muslimat Sepang bisik-bisik? Bohonglah kalau tak ada.

Oleh kerana kita bersungguh-sungguh mahu ‘mendahulukan’ kepentingan mereka, kita telah mengajar mereka ini mua. Tahu mua? Buka kamus. Lagipun blog ini temanya ’sastera’.

Kemudian setelah babi, beri betis hendak paha tentunya. Akan ada permintaan lain. Itu ini. Atas nama hak asasi maka akan masuk gereja untuk memberitahu, ya ini hak asasi. Kita pun mahukan kesamarataan. Mahu guna perkataan Allah di gereja? Sila…lagipun ini sekadar bahasa. Kebetulan kata Tuhan dalam bahasa Arab itu Allah.

Tak salah masuk gereja. Siapa kata salah. Sebelum think tank PAS masuk gereja saya dah terlebih dahulu masuk. Di Jerman dulu saya masuk gereja. Bukan gereja biasa tapi gereja Dr Luther. Saya mahu memahami pertelingkahan Protestan dan Katholik. Saya keluar masuk gereja di Munster. Kemudian, saya tulis Tuhan Manusia. Saya beritahu pembaca yang Protestan mula-mula moderat, atau liberalis kemudian jadi esktrimis. George Bush itu Protestan. Paul Wolfowitz sang neo-con Protestan ke? Saya tak pasti. Boleh tanya Timbalan Presiden PAS, dia dokong ladang babi Sepang. Mungkin dia akan dokong juga Wolfowitz dengan agenda ekonomi US supremacy. Kenapa? Sebab itu bahasa politik si ‘dia’. Jaga hati ketua, beri wala’ kepada sang strategis yang memungkinkan semua ini, bukankah afdhal?

Kita utamakan kepentingan mereka dahulu. Kepentingan orang Islam? Ala, kemudianlah. Macam-macam alasan diberi. Maka PAS pun terperangkap. Kasihan Halimah Ali, masuk PAS lalu jadi exco, lalu jadi pembela babi. Tentu dia tak dapat tidur malam.

PAS terperangkap dalam jerat hak asasi, kesemarataan, atau hadiah pemberian. Rai dan rai dan rai segala keraian. Jangan bimbang, atas nama menjaga kesemarataan, atas nama harapan baru, dan berkebajikan maka mungkin Lina Joy yang lain pun kita dapat raikan. Lina Joy yang hari tu dah end of the story. Tambah-tambah alasan hak asasi itu akan jadi lebih berkesan dan munasabah kalau ’si pengguna jargon politik’ datang dan temberang, PAS pun malu alah. PAS pun segan. Maklum, dapat kuasa sedikit-sedikit ini pun kerana pakatan sama-sama.

Bahasa politik. Celaka. Sungguh celaka bahasa politik ini tuan-tuan. Dengan bahasa politik kelak, tuan-tuan akan mengkhianati kata hati tuan-tuan (meski tuan-tuan tahu kebenaran entri saya ini) dengan alasan seperti; satu – ‘ala ft cuma novelis, dia bukan tahu apa’ atau dua – ‘ala budak tu pelik, dia asyik kata nak ikut ahlul bait’ atau macam-macam lagi bentuk diskredit lain. Bahasa politik sentiasa celaka. Teman saya seorang pomen kereta kata, ‘bahasa politik itu babi’. Bezanya pada kata-kata sahaja. Macam beza bahasa politik untuk Majlis Silaturahim Antara Agama (IRGC) dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

Saya janji akan selalu bangun malam dan maki hamun bahasa politik yang merebut kekuatan Islam ini dalam doa. Jangan perlekehkan doa saya. Tak percaya tanya ‘lima orang ulama’ itu. Mereka lebih arif, itu pun kalau mereka tak tahu malu. Kita semua tahu ke mana arah tujuan semua ini. Tak akan berhenti setakat babi. Kesamarataan ini yang Ali Taqi lawan dalam Tuhan Manusia, tetapi PAS akan menobatkan apa yang Ali Taqi lawan. Ali Taqi putus asa? Tidak.

PAS sudah kalah. Dengan melihat bahasa politik iaitu menghimpun kekuasaan dan menggunakan kekuasaan, PAS sudah tidak boleh diharap dengan FASAL 5 nya lagi. Saya pun tidak harap lagi. Meski sejak tahun 87 dulu (seperti syarat parti yakni sebaik sahaja baligh) saya tertarik dengan FASAL 5 itu. Hari ini, tahun 2008 saya tahu FASAL 5 itu hiasan sahaja. FASAL 5 sudah terkorban. Pembetulan: FASAL 5 sudah dikorban.

Kenapa sampai orang PAS kena tipu dengan bahasa politik yang cakap lain sana cakap lain sini? Satu, silibus usrah PAS sudah ketinggalan zaman. Dua, PAS memang sudah tinggalkan usrah. Boleh tanya berapa kerat cawangan yang ada usrah. Tiga, orang PAS tidak peduli falsafah. Macam post-moden, bahasa politik cakap sana lain, cakap sini lain itu ialah bahasa politik post-moden. Orang PAS yang tidak mahu berfikiran global dan asyik mencari massa secara sentimen semata-mata tak dapat menanggapi sepak terajang ala post-moden. Jadi, masuk perangkap semuanya. Dengan tok-tok guru sekali.

Memang jijik bahasa politik ini. Macam Presiden PAS, dua kali sudah saya dengar beliau mengajak ahli-ahli parlimen BN masuk Pakatan Rakyat. Katanya, mereka yang akan jadi katak lompat ini tidak akan dibayar. Fuhh, sudah pandai bahasa politik Machiavelli rupanya. Lompat parti samada berbayar atau tidak berbayar adalah keji, adalah satu korupsi. Ia salah. Yang bermaruah, beretika dan tidak keji ialah letak jawatan dan bertanding sekali lagi. Baru jantan. Aneh, ada ulama mengulang bahasa politik begini. Sudah macam watak Azman dalam drama saya, MISI. Disuruh jalan itik, dia jalan itik, disuruh menyalak, dia pun menyalak. Engku Daffa menunggang Subra, Mary dan Azman. Begitulah semuanya kena tunggang, oleh bahasa politik. Sudahnya Azman yang ingin merawat, jadi korup juga. Jadi penjenayah. Ah persis!

Siapa mengajar? Tolong jawab, siapa ajar tok guru kita jadi korup begini? Pak Syeikh mana? Abuya mana?

Mengapa orang PAS sokong korupsi ini? Ini korupsi moral dalam berpolitik. Sungguh jengkel!

Jangan bersedih. Masih ada harapan.

Saya menunggu lebih 500 orang pembeli Tuhan Manusia di Pesta Buku minggu lalu. Saya menunggu pembaca Tuhan Manusia edisi lalu. Lebih tiga ribu naskah terjual. Campur-campur, ada dalam empat ribu orang. Terima kasih. Saya tak perlu banyak. Dapat 12 orang pun jadi. Kalau lebih, bagus lagi. Mereka ini faham Ali Taqi. Mereka faham bahasa pluralisme yang digunakan oleh liberalis. Faham bahasa politik yang bak kata Ziana Zain penuh madah berhelah. Bahasa di mana di depan khalayak suka Islam adalah bahasa Hamka, dan bila bahasa depan khalayak khayal Barat adalah Shakespeare.

Yang saya tidak sangka ialah PAS membiarkan dirinya ditunggangi ke tahap ini. Membiarkan diri ditunggang atau diperbodohkan sepertinya siaran ulangan yang menimpa Masjumi, Jabhah Islam lil Inqas, Ikhwanul Muslimin dan Jamaat Islami (di mana semua gerakan Islam ini berjuang, berjuang, berjuang tetapi last-last kemenangan mereka kena ‘curi’). Orang mukmin konon tak akan masuk dalam lubang yang sama dua kali. Kasihan orang PAS sudah lupa ini semua. Kerana kurangnya bahasa usrah dan tarbiyyah sejak bahasa politik mengambil tempat. Tahniahlah. Kalau tuan-tuan dalam state of denial, tuan-tuan akan buat alasan untuk menolak kebenaran dalam entri ini. Alasan seperti, ala FT tu ikut sekian-sekian. Apa teguran saya sedikit pun tak mahu difikirkan. Sebab? Kepentingan diri. Apa lagi? Kalau nak kata kepentingan Islam, tunjuk mana Islamnya ajak lompat parti?

PAS sudah kalah dan terkehel dari jalan FASAL 5 tak apa. Nak harap ada pimpinan PAS yang berani melakukan ’syahid politik’ menentang arus belum tentu. Tak apalah. Saya tahu kumpulan Ali Taqi ini akan melawan, tambah-tambah melihatkan PAS sudah kalah begini, atau mengalah begitu. Seperti Ali Taqi, protagonis Tuhan Manusia mereka akan matang cepat.

Saudara yang bijak menggunakan jargon politik, saudara ingat saya seorang?

SAUDARA, PAK SYEIKH, BIG BOSS, BRO…apa sahaja gelarnya, SAUDARA SILAP. KAMI TAK AKAN BERI SAUDARA JALAN MUDAH.

Add comment 17,April 2008


AHLI BLOGGER PEMBELA NEGARA

Online sekarang !

web tracker

Terbaru di sini

Anda tetamu ke

  • 104,117 di sini

Lain lain di sini

Top Clicks

Komen Terbaru

Dr Abdullah Yasin, b… on Anwar sokong Wahabi dan Dr Asr…
Hj Hadi, Harun Taib … on Nik Aziz kata Nuzul Quran lebi…
cybross on Teoh Beng Hock dikatakan nak k…
penulis_cyber on Anwar terlajak cakap Pkr = Pkm…
shafifah on Anwar terlajak cakap Pkr = Pkm…
shafifah on Anwar terlajak cakap Pkr = Pkm…
shafifah on Pendirian Mahathir isu PPSMI …
shafifah on Kerajaan Lawak PR bersidang ba…
penulis_cyber on Kerajaan Lawak PR bersidang ba…
rmf7 on Akhirnya Pak Lah melepaskan …
Perkongsian Ilmu … on Hukum Mengumpat – Naib K…
penulis_cyber on Mahathir sudah sasau dan risau…
rmf7 on Mahathir sudah sasau dan risau…
penulis_cyber on Rakyat Perak baca sini, jangan…
aberamly on PAS perlu sertai BN – sa…

RSS Berita Malaysia Kini

 

April 2008
M T W T F S S
« Mar   May »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
282930  

RSS Pedang Berbisa

RSS Panglima Cyber

RSS Ustaz Moden

RSS Raksasa BN

RSS Anwar Ibrahim.com

RSS Che Det @ Tun Mahathir

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Warong Kopi

RSS KPMU

Simpanan Artikel

Jejak Pengunjung